Ketiadaan Abah Masih Dirasai

2 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SITI melancarkan buku The Pink Book tulisan Nor Aziah bersama dengan Pengurus Besar Kanan, Berita Publishing, Zaini Zainuddin.

Siti Nurhaliza pinjam semangat emak yang sentiasa tenang saat kehilangan orang tersayang

AMAT sukar baginya mengikis kenangan lalu. Sehingga kini, wajah bapanya, Tarudin Ismail, 67 yang meninggal dunia lebih dua minggu lalu akibat sakit jantung masih terbayang di depan mata. Bagaikan filem yang berputar, satu demi satu peristiwa manis menjelma di fikiran sekali gus mengundang rindu di dalam jiwa penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Jujur Siti akui, peringkat awal kehilangan ayah tercinta, dia sendiri seperti tenggelam punca. Perasaan rindu pada lelaki yang menjadi idolanya selama ini, tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Dan ada kala, apabila kerinduan itu bertandang, hanya air mata menjadi teman dan lidahnya tidak henti-henti melafazkan ayat-ayat suci supaya tenang rohnya di sana.

“Pemergian abah memang memberi kesan yang mendalam buat diri Siti seperti sampai hilang selera makan kerana dia pergi dalam keadaan mengejut. Ia berlaku tiba-tiba tanpa sempat meninggalkan sebarang pesan buat kami semua.

“Situasi itu membuatkan Siti perlukan masa untuk memulihkan kembali perasaan sedih Siti. Kenangan bersama abah akan terus terpahat dalam ingatan ini,” ujar Siti yang sering menghadiahkan al-Fatihah setiap kali bila teringatkan arwah ayahnya itu.

Memandangkan kini masih lagi dalam tempoh berkabung, Siti berkata dia terpaksa beberapa menolak undangan pertunjukan pentas dan program yang sudah pun dipersetujui awal seperti Konsert Jom Heboh, Kelab Pop, AC Di sini dan Zoom In…Siti.

“Sejujurnya, Siti akui masih belum ada keinginan untuk menyanyi buat masa ini. Begitupun, Siti hanya muncul dalam persembahan berkonsepkan keagamaan seperti Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430 Hijrah di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Sabtu lalu serta Konsert Sirah Junjungan 9 Mac depan.

“Bagi Siti sendiri tak ada masalah membuat persembahan untuk kedua-dua konsert itu memandangkan ia bertujuan amal serta bercorak keagamaan,” jelas penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini ketika ditemui pada majlis pelancaran buku The Pink Book tulisan bekas personaliti TV3, Nor Aziah Jasmin di Mid Valley petang Jumaat lalu.

Ini adalah kemunculan pertama Siti di khalayak selepas bapanya meninggal dunia 15 Februari lalu.

Biarpun suaranya sebak ketika menuturkan setiap ayat itu, namun wanita berusia 30 tahun ini masih kekuatan dalamannya masih ampuh apabila setitis pun air matanya tidak tumpah sepanjang sidang media itu berlangsung.

Mungkin ketabahan itu dipinjam Siti daripada ibunya Salmah Bachik, 57 yang menurut Siti cukup kuat apabila berdepan dengan situasi itu.

“Siti amat mengagumi emak kerana dia seorang yang amat tenang dan langsung tidak menunjukkan kesedihannya di depan kami adik beradik, walaupun Siti tahu dialah yang paling terasa dengan pemergian abah.

“Siti ada juga mengajak ibu tinggal bersama, tetapi nampaknya di lebih selesa untuk tinggal di kampung bersama adik,” cerita Siti yang akan berkabung selama 40 hari.

Sebagai anak, Siti seboleh mungkin akan cuba memenuhi keinginan arwah bapanya yang tidak kesampaian iaitu membuka perniagaan berasaskan pertanian.

“Sebelum ini, arwah abah memang ada memohon untuk membuka syarikat yang dinamakan Saldin Sdn Bhd (singkatan Salmah dan TarudinI dan permohonan itu sudah pun diluluskan.

“Malangnya hasratnya itu tidak kesampaian dan Siti bersama suami (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) akan berusaha menunaikan hajatnya itu nanti. Untuk itu, kami sudah pun membeli tanah di Kuala Lipis bagi menjalankan projek itu,” katanya Siti yang kelihatan kurus namun kejelitaannya masih tetap terserlah.

Tidak kejar wang ringgit

WALAUPUN dia pernah tampil dengan konsert berbentuk keagamaan sebelum ini, namun Konsert Sirah Junjungan yang diterbitkan pelakon dan pengarah Erma Fatima adalah konsert pertama yang Siti muncul sebaik saja dia muncul dengan imej baru, iaitu mengenakan tudung ala selendang di kepala.

Pada konsert itu nanti, Siti akan menyanyikan lagu yang bercorak ketuhanan, selari dengan konsep persembahan yang dijadualkan akan berlangsung di Istana Budaya, 9 Mac depan.

“Ini adalah pertama kali Siti muncul dalam konsert ini walaupun ia sudah memasuki musim kedua penganjurannya.Bagi Siti sendiri, dalam situasi sekarang, bukan wang ringgit yang Siti dikejar.Konsep konsert ini sendiri yang mengetengahkan perjuangan Rasulullah membuatkan Siti sendiri terpanggil untuk sama-sama terbabit dengannya.

“Lagipun projek ini dijalankan bersama dengan Yayasan Nur Jiwa, milik suami.Jadi tak salah kalau Siti turut serta dalam konsert arahan kak Erma ini.

Mengulas pencalonannya dalam kategori Penyanyi Wanita Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang bakal berlangsung 12 Mac depan, Siti menyifatkan pencalonannya itu sebagai pengiktirafan peminat terhadap usahanya.

“Seperti yang pernah Siti nyatakan sebelum ini, Siti tidak mengharapkan sebarang kemenangan. Dicalonkan saja sudah mencukupi.Apapun, Siti mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya Siti dari dulu hingga kini,” tuturnya lembut.

Berita Harian

2 Responses to “Ketiadaan Abah Masih Dirasai”

  1. kutum March 6, 2009 at 2:05 pm #

    tak abis2 dgn cerita recycle

  2. ratno March 6, 2009 at 2:53 pm #

    nampak jambul jugak….I ingatkan dia nak pakai
    tutup terus….rupa2nya majlis yg tertentu je….macam
    org berlakon jugaklah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: