Kecoh Kerana Aznil, Din Beramboi

2 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

AZNIL dan Din Beramboi semakin serasi mengendalikan slot Pagi di Era.

SEAWAL jam 10 pagi lagi, pekarangan pintu masuk gedung membeli belah terkenal, Sogo sudah dipenuhi orang ramai. Kelihatan pentas kecil yang dibina di hadapan pintu masuk digantung poster memaparkan wajah dua penyampai radio Era, Aznil Haji Nawawi dan Din Beramboi.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui apakah acara yang bakal berlangsung selepas paparan daripada akhbar dan mendengar sendiri hebahan daripada stesen radio Era menghebahkan acara itu sebelum ini.

Keadaan sekitar Sogo semakin sesak pada jam 12 tengah hari kerana pada waktu itu jugalah Aznil dan Din Beramboi muncul. Sebaik personaliti itu muncul di pentas, kesempatan itu jugalah diambil pengunjung untuk mengambil gambar mereka berdua sebagai tanda kenangan. Namun, siapa yang ingin mengambil gambar bersama personaliti itu diatas pentas, mereka harus membayar sebanyak RM10 dan wang itu sekali gus akan dimasukkan ke dalam tabung amal yang disediakan.

Aznil muncul dengan menggayakan pakaian tajaan Astro untuk bertindak sebagai Orang Iklan Era selepas memenangi undian tertinggi mengalahkan Din Beramboi dalam Kempen Cabaran Aznil dan Din Beramboi melalui slot Aznil Riuhkan Pagi Era Bersama Din Beramboi sejak 10 Februari lalu lagi.

Penentuan kempen itu berakhir apabila kedua personaliti itu melaksanakan kerja amal yang dijanjikan pada Sabtu lalu bagi mengutip dana mengisi tabung Pusat Perlindungan dan Aktiviti untuk kanak-kanak terbiar di Jalan Chow Kit iaitu Rumah Nur Salam.

Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran berkata, program itu adalah projek amal yang bertujuan membantu insan yang sangat memerlukan bantuan dan sokongan bagi meneruskan hidup.

“Selepas mengemukakan idea, Aznil adalah antara personaliti yang pertama menyatakan kesediaannya untuk mengambil bahagian, lalu ia dimuatkan ke dalam segmen Riuhkan Pagi Era.

“Sebenarnya Aznil sudah menyatakan hasratnya untuk melakukan kerja amal ini sudah lama namun dia sangat sibuk dengan pelbagai komitmennya dalam bidang seni ini. Dan kebetulan inilah masanya,” katanya yang ditemui di perkarangan Sogo minggu lalu.

Aznil yang ditemui selepas dua jam melayan pengunjung sebagai Orang Iklan Astro kelihatan puas walaupun terpaksa berpanas dengan pakaian yang dipakai itu.

“Melalui segmen Riuhkan Pagi di Era, saya dan Din Beramboi berentap sesama sendiri, siapa yang dapat mengutip markah tertinggi melalui panggilan telefon daripada pendengar Era, dia akan menjadi Orang Iklan Astro sekali gus melakukan kerja amal.

“Selepas diumumkan saya adalah pemenangnya, setiap bahagian tubuh badan saya akan dijual untuk diiklankan. Siapa yang ingin meletakkan iklan di tangan saya harus dibayar, begitu juga dengan bahagian lain.

“Tetapi pihak Astro bertindak pantas dengan membeli seluruh tubuh saya dengan harga RM5,000 lalu saya terpaksa memakai pakaian Astro sepanjang hari.

“Walaupun Din kalah pada pengundian ini, namun dia juga harus membantu saya mengumpul seberapa banyak duit dengan membuat persembahan busking dengan lagu-lagu yang diminta oleh pengunjung,” katanya.

Bagi Din Beramboi pula, dia sangat bertuah apabila berpeluang bersama digandingkan dengan Aznil mengacarakan Riuhkan Pagi di Era.

“Saya dan Aznil sudah mengenali cukup lama, namun tidak pernah bersama. Cara saya dan dia sangat berbeza namun mungkin ada kelebihan membuatkan Era mengambil saya untuk digandingkan bersama Aznil.

“Saya cukup bertuah kerana dapat bekerja bersama pengacara nombor satu negara. Memang melalui segmen Riuhkan Pagi di Era saya ditugaskan untuk meriuhkan suasana pagi dengan lawak-lawak merapu.

“Di sebalik lawak merapu itu sebenarnya ada pengajaran yang hendak disampaikan. Lebih lagi sekiranya keadaan terlalu tertekan, Aznil akan bertindak mengimbangi keadaan itu dengan caranya,” katanya.

Selain melihat sendiri telatah Aznil secara dekat, orang ramai juga dihiburkan oleh Din Beramboi yang menyanyi bersama gitarnya. Mengambil peranan seorang penghibur jalanan, Din Beramboi terus mengutip sumbangan untuk Rumah Nur Salam. Penyampai radio Era seperti Adi, Ray, Nana, Cham, Burn dan Reza turut hadir memberikan sokongan.

Antara yang menarik perhatian ialah acara bidaan untuk kunjungan individu dan istimewa daripada Aznil ke rumah. Raja Norziha yang hadir bersama anaknya Puteri Nabilah Azizi dari Taman Tun Teja, Rawang berjaya membuat bidaan tertinggi pada nilai RM370.

Sebelum acara berakhir, sut berlogo Astro yang dipakai oleh Aznil sepanjang hari itu turut dilelong dengan nilai tertinggi sebanyak RM310.

Sebanyak RM12,394.60 berjaya dikumpulkan untuk Rumah Nur Salam melalui Kempen ini yang disampaikan ceknya oleh Nazri kepada Pengarah Eksekutif Rumah Nur Salam, Raja Azizan Suhaimi Raja Abd Latiff.

Drama Sebabak dapat sambutan

Sementara itu, Era yang memperkenalkan program Drama Sebabak sejak Januari lalu menerusi segmen Riuhkan Pagi di Era bersama Aznil dan Din Beramboi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pendengar.

Menurut Nazri, program ini mencatat rating yang tertinggi setakat ini kerana gandingan Aznil dan Din ketika mengendalikan segmen itu cukup menggamatkan studio setiap pagi.

“Sebenarnya program ini cukup mudah. Pemanggil hanya perlu menelefon Aznil dan Din di studio dan berlakon bersama mereka selama lima minit saja. Selain itu kita juga mengundang beberapa artis terkenal untuk berlakon bersama mereka seperti Mawi, Dina, Dinas, Farah (AF), Awal, Azhar Sulaiman, Rosyam Nor dan Datuk Siti Nurhaliza untuk sama memeriahkan pagi bersama Era.

“Apabila ia mencatat rating tertinggi kami mendapat idea untuk memperluaskan lagi segmen ini dengan memperkenalkan Drama Sebabak Edisi Khas yang menawarkan RM50,000 kepada pendengar setia kami,” katanya.

Menurutnya, bermula hari ini (2 Mac), sesiapa saja pemanggil yang ingin berlakon bersama Aznil dan Din Beramboi menerusi Drama Sebabak boleh menelefon ke studio. Ia akan berlangsung selama dua minggu untuk mencari 10 peserta terbaik.

“10 peserta akhir ini akan beradu bakat mereka pada 14 Mac depan di Maju Junction bagi membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000,” katanya.

Berita Harian

One Response to “Kecoh Kerana Aznil, Din Beramboi”

  1. Ariana March 5, 2009 at 1:58 pm #

    Assalamualaikum… Memang best gandingan Aznil & Din Beramboi! Memang ceria giler pagi2 kat Era. Tahniah aznil & Din…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: