Aziah Bersabar 6 Tahun

2 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ENAM tahun merancang, impian bekas personaliti TV3, Aziah Jasmin Azizul, 37, untuk melihat ‘The Pink Book’ berada di pasaran akhirnya menjadi kenyataan.

Tambah bererti, majlis pelancaran bukunya diadakan di MPH Bookstore, Mid Valley dirasmikan biduanita negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Dengan tema merah jambu, Siti hadir dengan pakaian menepati tema malah tahun ini untuk majlis ulang tahun Siti ke-30 turut memilih tema merah jambu.

Aziah berkata, tiada kata mampu diungkapkan, melainkan lega dan gembira yang dirasakan saat ini.

Katanya, perancangan selama enam tahun lalu akhirnya dapat disiapkan.

“Tempoh enam tahun memang lama. Bukannya apa, sebenarnya saya malas menulis namun kerana keinginan yang tinggi untuk berkongsi pengalaman untuk membantu wanita, saya gagahkan juga.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih pada semua yang terbabit dalam penerbitan buku ini. Keluarga, rakan-rakan personaliti, pihak penerbitan serta Datuk Siti kerana sudi melancarkan buku ini sekali gus menjayakan sesi tandatangan untuk 100 pembeli terawal meskipun masih bersedih dengan kehilangan ayah tercinta, dua minggu lalu,” katanya.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti dan bekas personaliti TV3 antaranya Azizah Ariffin, Zalina Azman, Nor Azlina Redzuan dan Dang Suria Zainurdin.

Memilih ‘The Pink Book’ sebagai judul, Azizah melihat merah jambu sebagai warna yang cukup sinonim dengan wanita selain mencerminkan ciri-ciri kelembutan dimiliki kaum hawa.

Isi kandungan buku berharga RM45 ini berkaitan panduan pembentukan dan penampilan imej terbaik untuk seseorang individu yang sememangnya perlu dititikberatkan kaum wanita khususnya remaja.

“Selepas berhenti dari TV3, saya menceburi bidang perunding imej dan modul yang diketengahkan dalam kursus saya merangkumi penampilan, etika dan komunikasi.

“Justeru saya menjadikan tiga perkara asas itu sebagai komponen utama dalam buku ini. Modulnya juga menepati cara masyarakat Malaysia,” katanya.

Kata Aziah, dia mendapat ilham menerbitkan buku ini melalui ikon fesyen kesayangannya yang juga supermodel antarabangsa, Cindy Crowfard.

The Pink Book mengutarakan pembentukan imej, fesyen dan penampilan mengikut bentuk tubuh dan wajah serta majlis yang dihadiri.

Tidak ketinggalan memberi tips sebelum menghadiri temu duga dan acara penting yang lain.

“Saya memang seorang peminat dia dan sebelum ini Cindy pernah menerbitkan buku berkaitan solekan. Selepas membacanya, saya terfikir untuk menerbitkan konsep bacaan yang sama cuma bezanya isu diketengahkan.

“The Pink Book sebenarnya tidak banyak penulisan. Sengaja saya elakkan perkara itu kerana jika terlalu banyak penggunaan ayat bukan saja menyusahkan malah membuatkan pembaca bosan.

“Kalau kita lihat bahan bacaan dari luar negara, banyak menggunakan ilustrasi dan gambar tetapi saya memilih untuk memakai gambar asli supaya lebih terkesan dan contoh yang diberi mudah difahami,” katanya.

Aziah juga yakin, naskhah pertama tulisannya itu akan diterima ramai. Selain ringkas ia juga mengenengahkan penggunaan dwi bahasa iaitu Melayu dan Inggeris yang relevan untuk semua kategori pembaca.

Ditanya mengapa buku ini tidak memuatkan panduan untuk wanita bertudung, Aziah menjelaskan, dia belum bersedia melakukannya kerana dia sendiri belum bertudung.

Bagi wanita jelita ini, setiap penulisan memerlukan kajian, justeru dia enggan menyentuh perkara yang tidak dipraktikkan dirinya. Bagaimanapun, Aziah tidak menolak satu hari menerbitkan buku imej untuk mereka yang bertudung.

Melalui frasa kehidupan baru, Aziah yang mendirikan rumah tangga dengan Azlan Shah Jaffril, 37, sejak tiga tahun lalu, belum dikurniakan cahaya mata. Katanya, kehidupannya kini jauh dari dunia glamor tetapi tempiasnya masih ada apabila kursusnya mendapat sambutan.

“Alhamdulillah kerjaya saya dulu banyak membantu kerana orang mengenali nama saya. Sekarang ini misalnya, saya terikat kontrak dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah naungan Kementerian Sumber Malaysia untuk memberi ceramah kewartawanan kepada graduan pada 24 April ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: