ABPBH 2008: Sambutan Luar Dugaan

2 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Barisan artis tidak sangka diserbu ramai pengunjung petanda ABPBH 2008 terus menjadi acara yang ditunggu peminat

PERMULAAN yang baik, siri jelajah pertama Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di ruang legar premis Village Mall, Sungai Petani berlangsung dengan jayanya kelmarin.

Ruang legar yang tidak luas itu menyebabkan keadaan sesak tapi suasananya memang mengagumkan, menghiburkan menerusi pelbagai gelagat daripada pengunjung yang ‘sporting’. Kira-kira 5,000 orang dan kerjasama penuh yang diberikan oleh setiap artis yang hadir antara kunci kejayaan persembahan itu.

Persembahan penutup menampilkan finalis Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Meet Uncle Hussain mendendangkan dua lagu mereka, Pari Pari Di Bawah Angin dan Lagu Untukmu menjadi kemuncak pada acara ini . Sekali lagi band ini mendominasi perhatian ramai selepas menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu.

Gimik menampilkan klon bersuara sepertinya Syamsyul Anuar Ismail di Sungai Petani dengan hanya menyanyi secara miming antara kejutan yang dilakukan. Syamsyul juga antara peserta pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Malah kehadiran pelakon dan pelawak paling menyerlah tahun lalu hingga sekarang, Nabil yang turut disenaraikan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sebagai hos dilihat sebagai gandingan mantap. Fazli Zainal yang turut dijemput sebagai penyanyi jemputan bersetuju mengatakan siri jelajah pertama kali ini antara yang terbaik yang pernah dianjurkan Berita Harian dan Persatuan Akademi Muzik Malaysia (AIM).


KEHADIRAN Lan Meet Uncle Hussain dan Nabil menggamatkan Village Mall, Sungai Petani.

“Biarpun persembahan penyanyi dan penampilan personaliti yang terbabit saya andaikan biasa saja, kehadiran Nabil dan Meet Uncle Hussain (MUH) berjaya menaikkan suasana acara ini. Tak mustahil melihat sokongan peminat terhadap mereka, dua profil ini mungkin mempunyai peluang cerah dianugerahkan Bintang Paling Popular,” katanya yang mendendangkan single terbarunya Kalbu dan lagu kumpulan Matta, Ketahuan.

Impak gelombang indie ternyata membawa angin baru aliran muzik ini sejak tiga tahun kebelakangan. Malah, ketika Lan muncul di pentas, jeritan histeria pengunjung jelas menunjukkan betapa kuat populariti MUH hingga menyerang ke utara semenanjung. Biarpun jam hampir menunjukkan 7 malam, pengunjung masih tidak berganjak, hingga MUH menghadiahkan sebuah lagi lagu bonus berjudul Halusinasi sebagai tanda terima kasih.

Menurut tonggak MUH, Lan yang menyanyikan lagu tema Tabung NSTP Untuk Gaza berjudul Putihnya Lukisan berkata, biarpun pertama kali menyertai siri jelajah ini, dia menyifatkan lokasi di Sungai Petani antara yang paling meriah.

Bahkan, MUH turut melakukan inisiatif menjual poskad karikatur gambar mereka yang mana 30 peratus daripada keuntungan jualan disumbangkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Tahun lalu, kumpulan ini hanya diundang membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2007.


KENCHANA dan Nabil bergurau dengan pengunjung.

“Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri ruang legar Village Mall ini menunjukkan tanda sokongan dan sambutan masyarakat sekitar Kedah memang di luar dugaan. Saya sendiri tak sangka sambutan mereka terhadap acara ini begitu hebat.

“Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang masih sayangkan MUH.

Ruang terbaik popularkan diri

Selama dua hari, rakan artis dan media berkampung di Sungai Petani bagi sama-sama memeriahkan acara yang menjadi tradisi sebelum berlangsungnya anugerah kemuncak pada 12 April depan di Genting Highlands, Kota Keriangan. Dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, anggota rombongan di bawa dengan bas rasmi ABPBH 2008 tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Seperti lazimnya, kehadiran calon akhir anugerah berprestij ini menjadi landasan terbaik untuk melobi dan berkempen persis calon wakil rakyat untuk meraih undian dan kepercayaan peminat mengundi mereka menerusi borang undian Top5 ABPBH 2008 yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Kehadiran finalis ABPBH 2008 lain seperti, Mila, Kenchana Dewi dan Ashraf Muslim masing-masing memberi isyarat seolah mereka sudah lama dinantikan. Malahan artis jemputan yang turut hadir membuat persembahan seperti Syazliana, Farah Asyikin, kumpulan Nitrus dan Sheila Abdull bagai ruang udara yang memberi nafas baru kepada pengunjung yang datang.

Calon akhir bagi finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular ABPBH 2008, Kenchana Dewi berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, dia akan cuba sebaik mungkin untuk terbabit di lima lokasi seterusnya.

Menariknya Kenchana sepanjang di Sungai Petani, dia juga turut mendapat perhatian ramai. “Saya sudah dimaklumkan awal oleh pihak Akademi, lalu saya akan cuba turun padang bertemu peminat.

“Tahun lalu, saya tidak dapat langsung memeriahkan jelajah ini kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Tanpa peminat, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini. Lalu demi menghargai mereka, saya bersedia menemui mereka di setiap lokasi jelajah.

“Saya bersyukur kerana peminat sedar mengenai kehadiran saya. Saya rasa setiap lakonan saya tidak kiralah untuk watak komedi atau serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penonton. Sudah tercalon, ia sudah memadai,” katanya yang sudah 18 tahun berada di dalam industri.

Pemenang Artis Baru Wanita Terbaik ABPBH 2007 ini, Mila yang kali ini tersenarai dalam senarai calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, selepas melihat saingannya terdiri daripada nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza.

Selain persembahan artis, turut diselit ialah sesi soal jawab mengenai Berita Harian dan ABPBH kepada pengunjung bertuah. Syazliana mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Atas Nama Cinta dan Dalam Alam Bercinta, Farah Asyikin (Hello dan Seribu Penipuan) dan Nitrus (Bintang-Bintang dan Cinta).

Bukan setakat Kenchana saja yang menjadi perhatian, Ashraf Muslim yang dikenali dengan watak Ustaz Amirul di dalam drama Puaka Niyang Rapik turut digilai kerana wajah kacaknya. Pada saat akhir, Ashraf sudi menjadi pengacara ‘bidan terjun’ bersama Nabil mengendalikan majlis.

Anak didik komposer Adnan Abu Hassan, Shila Abdull memilih single terbarunya, Semuanya Keranamu dan lagu Mungkinkah yang memperkenalkan dirinya ke persada seni. Persembahan akhir berlabuh apabila semua artis terbabit bergambar kenangan di atas pentas utama. Akibat pengunjung yang ramai, sesi autogeraf yang dijadualkan pada mulanya terpaksa dibatalkan.

Selesai majlis, rombongan artis dan media menaiki bas menghala ke Restoran D’Jetty 8 Beradik, Sungai Merbok yang sudi menaja makan lam. Terima kasih daun keladi kepada semua yang terbabit. Siri jelajah ABPBH 2008 akan ke Pasir Gudang minggu ini.

Corat coret sepanjang dua hari

Empat staf Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd termasuk pemandu begitu mesra melayan artis dan media sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan balik ke Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Nitrus, Eddie hanya datang pada hari Sabtu kerana terbabit dengan hari keluarga syarikat tempat dia bekerja.

Fazli Zainal sempat mempromosikan single terbarunya, Kalbu di dalam bas dengan menyerahkan cakera padat kepada rakan artis dan media.

Ashraf Muslim dan Kenchana Dewi masing-masing membawa ahli keluarga menemani mereka ke Sungai Petani. Ashraf ditemani adiknya, Mujib Muslim manakala Kenchana Dewi membawa kakaknya, Selvee.

Ashraf Muslim menjadi penyeri apabila tiba-tiba bergelar deejay di dalam bas menghiburkan penumpang dan mini karaoke yang ada. Ada saja ideanya memberi keceriaan dan usikan kepada staf Sinarmas dan yang lain.

Teman baik Sherry Ibrahim ini menunjukkan kemahirannya bermain seruling apabila mengalunkan lagu Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain. Katanya, dia belajar sendiri bermain seruling sejak setahun lalu.

Ashraf juga tidak betah duduk diam kerana dia juga menjadi jurugambar tak rasmi mengambil pos dan aksi penumpang dengan meminjam kamera jurugambar Hip Berita Harian, Hasriyashah Sabudin.

Kenchana Dewi, Ashraf Muslim dan Fazli Zainal cepat serasi dan sepanjang di dalam bas mereka mengupas pelbagai isu termasuk isu kegawatan ekonomi, gosip yang melanda industri seni, hubungan artis dan media,

Hip difahamkan di Cinta Sayang Resort, Syazliana diminati seorang lelaki mat salih berusia lingkungan 28 tahun. Bukan setakat meminati dan cuba menghubunginya dengan telefon di bilik hotel, nota ‘cinta’ turut diselitkan di bawah pintu bilik.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan jika berminat boleh singgah ke sana atau menghubungi talian: 012-5904585.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: