TM Taja Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul

23 Feb

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

PENAJA bersama Rabbani dan barisan artis menyokong konsert Malam Sinar Maulidur Rasul.

Syarikat korporat tampil bantu persembahan Rabbani

MASALAH mendapatkan penajaan menganjurkan konsert penyanyi tempatan bukanlah perkara baru dalam industri hiburan tanah air. Sehingga kini, masalah itu masih menjadi isu besar dan kekangan utama seseorang penyanyi untuk mempunyai konsert sendiri.

Bukan tidak ada penaja tetapi seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Entah mengapa, kebanyakan syarikat korporat lebih banyak menaja penyanyi dari luar negara.

Sebelum ini pun sudah banyak kali terdengar rungutan dan luahan perasaan artis tempatan terhadap isu itu namun semuanya bagaikan sia-sia saja. Lebih mengecewakan, konsert berkonsepkan keagamaan juga turut dipandang sebelah mata.

Perkara ini diakui sendiri vokalis kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang juga mengalami masalah sama ketika pertama kali mahu menganjurkan Konsert Sinar Maulidur Rasul sekitar dua tahun lalu.

Ketika itu, katanya, dia berdepan dengan pelbagai cabaran dan hampir saja berputus asa apabila tidak ada satu syarikat pun yang mahu menyumbangkan tajaan untuk konsert ini.

“Ada yang menarik diri pada saat akhir dan paling menyedihkan apabila ada yang mengatakan acara ini (konsert Maulidur Rasul) tidak sesuai dengan jenama mereka. Memandangkan konsert itu harus diteruskan juga, jadi kami pun mengeluarkan belanja sendiri.

“Banyak juga nilainya, mencecah RM100,000 sehingga kami terpaksa berhutang selama setahun. Tapi tak mengapa kerana yang penting tujuan kami menganjurkan konsert itu adalah untuk mendidik masyarakat untuk mengenali Rasulullah dan menyintainya,” kata Asri ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Malam Sinar Maulidurrasul 1430 Hijrah di Restoran Cheng Ho, Wangsa Maju, Rabu lalu.

Asri berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media mengenai apakah benar konsert berbentuk kerohanian sukar mendapat penajaan daripada syarikat korporat.

Perkara ini timbul apabila pengarah dan pelakon Erma Fatima turut meluahkan perasaan sama apabila acara Malam Sirah Junjungan yang bakal dianjurkannya sukar untuk mendapatkan sokongan penaja.

Begitupun, menurut Asri untuk konsert kedua ini, mereka tidak menghadapi masalah kerana Telekom Malaysia Berhad (TM) sudi menjadi penaja utama konsert berkenaan.

“Alhamdulillah kerana mereka sudi untuk menaja keseluruhan konsert ini tanpa sebarang masalah. Sekurang-kurangnya usaha mereka ini menunjukkan ada juga badan korporat yang sanggup bekerjasama untuk menegakkan syiar Islam, sekali gus memberi pendidikan berguna kepada penonton,” ujar Asri.

Bercerita lanjut mengenai konsertnya itu, dia berkata untuk tahun ini jumlah penyanyi yang terbabit semakin bertambah. Selain mereka dan Datuk Siti Nurhaliza yang kekal, konsert ini juga menyaksikan vokalis kumpulan Search, Amy bersama Mawi berkongsi pentas bagi menjayakan konsert itu.

“Dalam konsert ini Rabbani akan berduet dengan mereka setiap seorang sebuah lagu, nyanyian solo mereka sendiri serta sebuah lagu nyanyian beramai-ramai,” jelas Asri mengenai konsert yang bakal diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 28 Februari ini.

Aksi pertama Amy dalam muzik nasyid

JIKA sebelum ini suara dan aksinya hanya dapat dilihat di konsert rock, kini buat pertama kalinya Suhaimi Abdul Rahman atau Amy membuat penampilan pada sebuah program bercorak keagamaan seperti ini. Sambil meluahkan perasaan terujanya kerana berpeluang membuat persembahan dalam konsert itu, Amy berkata, keinginannya juga adalah disebabkan konsert ini berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Saya rasa terpanggil untuk menjayakan program bercorak keagamaan seperti itu kerana ia bakal memberi pengalaman berbeza. Lagipun konsert ini bukan sekadar konsert biasa sebaliknya untuk mengingati junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,” kata Amy sambil mengharapkan peminatnya di kalangan rockers akan datang memeriahkan konsert ini.

Bakal menyanyi secara duet bersama Rabbani menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, Amy berkata, dia juga akan menyanyi secara solo malam itu.

“Apabila difikirkan kembali sebenarnya saya ada banyak juga lagu yang berunsurkan ketuhanan. Contohnya Mentari Merah Di Ufuk Timur yang mesejnya mengenai Hari Kebangkitan dan Meniti Titian Usang dengan mesej tersirat mengenai meniti titian Siratul Mustaqim,” cerita Amy.

Sementara itu, Mawi juga akan membuat persembahan pada malam itu. Lebih istimewa, inilah konsert pertamanya selepas mendirikan rumah tangga Januari lalu. Untuk konsert itu nanti, dia akan menyampaikan lagu baru dimuatkan dalam album Rabbani berjudul Saksi.

Pada majlis sidang media itu juga Rabbani turut melancarkan album berjudul Nostalgia Nada Murni. Album yang mengandungi 10 lagu itu adalah rakaman semula lagu kumpulan Nada Murni yang cukup popular suatu ketika dulu.

Album terbitan Inteam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Rabbani Productions (M) Sdn Bhd ini kebanyakannya adalah hasil karya Asri sendiri, selaku vokalis utama kumpulan Rabbani. 10 lagu yang Bila Nur Melimpah Di Hati, Ibu Mithali, Al-Hijrah (feat Amal), Sunnah Berjuang, Sifat 20, Nun Di Sana, Indahnya Hidup Bersama Ilahi, Mana Milik Kita, Jasa Petani dan Ayyu Zikraa (feat Amal).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: