Dunia Baru Idola Kecil

23 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Ridzuan Haqiem Rusli (kiri) dan Wan Shuhada Md Amin.

Wada, Haqiem sedia terima teguran bagi perkukuh nama dalam bidang seni

BIARPUN ini pertemuan pertama, langsung tidak tergaris rasa kekok di wajah dua bintang cilik yang menjadi sebutan selepas menamatkan perjuangan mereka dalam Idola Kecil, awal Januari lalu.

Hadir ditemani ibu bapa masing-masing pada sesi fotografi pada petang Sabtu itu, namun mereka selesa menjawab semua soalan diajukan tanpa bantuan sesiapa.

Berbanding Wada atau nama penuhnya, Wan Syuhada Md Amin, 12, yang petah menghuraikan setiap soalan yang diajukan, Ridzuan Haqiem Rusli, 10, atau Haqiem pula hanya mampu memberikan jawapan dan terbatas.

Wada yang merangkul gelaran juara Idola Kecil memang meminati dunia nyanyian. Sejak berusia sembilan tahun, pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur ini sudah aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Acap diangkat sebagai juara, Idola Kecil membawa Wada meneroka sebuah dunia baru yang sentiasa menjadi anganan setiap insan yang ingin memperluaskan bakat mereka.

“Setiap minggu pertandingan memberikan debaran tetapi saya tanamkan dalam diri supaya mengatasi perasaan itu dan fokus untuk memberikan yang terbaik.

“Saya bernasib baik kerana pernah menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini, jadi pengalaman itu banyak membantu ketika berdepan penonton.

“Mungkin itu membuatkan saya lebih yakin ketika di pentas,” katanya, sesekali menguntum senyuman terutama tatkala mengimbas detik dua bulan berada di Idola Kecil.

Haqiem dan pertandingan juga bukan perkara baru kerana sejak usia tujuh tahun, dia sudah mula berani mempertaruhkan bakatnya.

Bahkan untuk memantapkan mutu vokal dan penyampaiannya, dua bulan sebelum menyertai Idola Kecil, keluarganya menghantar Haqiem untuk mengikuti kelas vokal bersama seorang guru di Cheras Indah.

Pemenang tempat kedua Idola Kecil itu berkata, banyak kenangan tidak mampu dilupakan sepanjang dua bulan bersama.

“Paling seronok ketika dibawa berjalan-jalan. Saya paling suka ketika kami dibawa ke Aquaria. Ia antara saat cukup manis sepanjang menyertai Idola Kecil.

“Lagi satu, setiap hari kami dihidangkan makanan yang enak dan saya sangat menghargai apa yang kami lalui selama bersama Idola Kecil,” katanya.

Walaupun semakin dikenali malah, saham mereka berdua melonjak selepas membuat persembahan selingan pada malam Anugerah Juara Lagu lalu, senario itu tidak mengubah apa-apa dalam diri Wada dan Haqiem.

Seperti teman sebaya lain, kebanyakan waktu mereka ditumpukan kepada alam persekolahan. Cuma pada hujung minggu, jadual harian mereka agak berubah.

“Agak sibuk dengan permintaan persembahan, cuma saya masih menanti peluang merakamkan album. Siapa saja mempunyai impian itu dan saya juga tidak terkecuali,” kata Wada yang mengagumi Datuk Siti Nurhaliza.

Semakin dikenali, Wada tidak sesekali membiarkan dirinya hanyut. Gelaran yang diterima tidak membuatnya lupa akan siapa dirinya.

Di sekolah, seperti teman lain dia tidak mendapat sebarang keistimewaan. Andai ada yang menyapa, Wada menerima kehadiran mereka dengan ikhlas.

“Ada kalanya saya rasa segan juga tetapi saya boleh menangani perubahan ini. Bahkan ada yang macam tidak percaya saya yang menjuarai Idola Kecil sampai bertanya apakah saya Wada mereka lihat di kaca televisyen?

“Cuma mungkin saya seronok dapat menempuh pengalaman baru ini kerana tidak semua diberi Tuhan peluang seperti ini,” kata Wada yang mewarisi bakat nyanyian daripada bapanya, Mat Amin Bahari disokong ibunya, Raja Habibah Raja Taib.

Menyokong pendapatnya, Haqiem berkata, apa yang menyeronokkan mengenai kehidupan baru ialah dapat bertemu artis pujaannya.

Pengagum Jamal Abdillah dan Nash, tawaran menjayakan persembahan pentas membuka ruang untuk dia bertemu mereka.

“Sejak dulu lagi saya suka menyanyikan lagu Nash. Saya suka kerana suaranya hebat dan lagu dibawakannya juga menarik.

“Kalau dulu saya cuma dapat melihat mereka di televisyen. Tetapi sejak menyertai Idola Kecil, saya berkesempatan berkongsi pentas dengan mereka.

“Saya cukup seronok apabila dapat bertemu abang Jamal Abdillah ketika AJL, tempoh hari. Ia antara saat manis tidak mungkin saya lupakan,” katanya yang turut diundang menjayakan persembahan di depan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Zainal Abidin ************** di Putrajaya, 21 Februari ini.

Ditanya impian, Wada mengimpikan untuk menggapai cita-cita mencipta nama pada peringkat antarabangsa, malah mahu mendalami bidang muzik untuk melengkapkan dirinya sebagai insan seni.

Biarpun membesar dengan lagu kontemporari, jiwa Wada lebih terarah kepada irama klasik kerana lagu seperti itu memberi lebih kepuasan apabila dibawa.

Suatu pegangan mereka berdua, apabila berada di atas jangan lupa rumput dipijak. Pesanan itu sentiasa melekat dalam kotak fikiran mereka.

“Banyak yang perlu dititikberatkan terutama penampilan dan tingkah laku kerana sekarang banyak mata yang memerhati.

“Jika ada yang tidak berkenan, keluarga akan memberi teguran. Keluarga banyak menyokong dan jasa mereka tidak akan dilupakan,” kata Haqiem, berterima kasih kepada ibu dan bapanya, Rosli Abdul Manaf dan Nazrah Ahmad Nordin.

Berita Harian

2 Responses to “Dunia Baru Idola Kecil”

  1. Genius.YYY March 2, 2009 at 3:19 pm #

    kasihan tgk bebudak ni. Masa sekolah rendah, idola kecil. Sekolah Menengah pulak, akademi fantasia. Then ada jugak, Mentor, Star LG, One in A Million etc. Aku rasa nanti kita ni nanti akan ada lagi banyak penyanyi dari yang nak mendengarnya. Yg paling tak tahan, aku rasa kebanyakan bakatnya pulak hanya sekadar so so atau lebih teruk.

  2. funky gurkz October 16, 2009 at 12:20 pm #

    teruskan usaha anda dalam bidang nyanyian dan sekolah..gud luck

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: