28 Muka Baru Bersaing

20 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SENARAI penuh pencalonan terakhir, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) bagi edisi ke-22 sudah diumumkan, kelmarin.

Ternyata, bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan, sekali gus bersaing dengan nama popular sedia ada untuk merebut gelaran Bintang Paling Popular dalam majlis yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan.

Antara artis realiti TV yang disenaraikan ke peringkat Top 5 ialah Nabil, Zizan (Raja Lawak); Aiman (Akademi Nasyid); Stacy, Nubhan, Aizat, Riz (Akademi Fantasia) dan Ayu (One In A Million). Band indie tempatan disenaraikan ialah Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain.

Barisan muka baru lain ialah Fizo Omar, Diana Danielle, Lisa Surihani, Sari Yanti, Scha, Liyana Jasmay, Juliana Evans, Nurul Alis, Amyza Aznan, Fabulous Cats, Norkhiriah, Ruminah Sidek, Sheila Mambo, AG, Akhil Hayy dan gandingan M Nasir dan Malique.

Jika Nabil dicalonkan menerusi dua kategori iaitu Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular, Stacy juga tidak kurang hebatnya tercalon menerusi dua kategori iaitu Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Bagi kategori Artis Baru Wanita Popular, Stacy bersaing dengan Ayu OIAM, Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Kategori Penyanyi Wanita Popular pula, Stacy berhadapan dengan cabaran sengit daripada Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana.

Bagi Stacy, dia cukup bersyukur apabila namanya disenaraikan pada peringkat akhir ABPBH 2008.

“Ia permulaan yang baik buat artis baru seperti saya kerana kali pertama dicalonkan dalam acara berprestij ini. Persaingan cukup hebat terutama kategori Penyanyi Wanita Popular kerana Siti, seperti yang kita sedia maklum tidak pernah dikalahkan calon lain.

“Kategori Artis Baru Wanita Popular juga menampilkan calon yang muda dan berbakat besar dalam bidang nyanyian. Justeru, kalau tewaspun saya tidak akan putus asa dan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Riz yang tersenarai dalam satu kategori iaitu Artis Baru Lelaki Popular juga terpaksa bersaing dengan artis baru seperti Nabil, Fizo Omar dan Aiman.


Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan SMS Cup Prix Teka dan Menang

“Saya tidak sampai setahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air. Justeru, tersenarai dalam Top 5, sudah cukup bermakna buat saya.

“Pencalonan ini menyuntik semangat untuk saya bekerja lebih keras untuk mengukuhkan nama dalam industri muzik tanah air.

Apatah lagi, saya akan muncul dengan bingkisan album penuh tidak lama lagi. Fokus saya ingin berikan yang terbaik buat peminat setia yang sentiasa menyokong dari belakang sejak saya melangkahkan kaki dalam AF lagi,” katanya.

Pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Kaisara, Sari Yanti dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.

Dia juga bersaing dengan artis seperti Ayu OIAM, Lisa Surihani, Scha dan Stacy dalam kategori berkenaan.

Sari yang baru bergelar isteri berkata, pencalonannya itu sebagai hadiah perkahwinannya yang cukup bermakna.

“Saya gembira kerana dapat tersenarai ke Top 5 kerana saya tidak pernah rasa diri popular.

Saya juga menganggap pencalonan ini sebagai rezeki dan pada masa sama, tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Juliana yang dikenali menerusi program Remaja dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular.

Sebagai orang baru, Juliana juga tidak menyangka dirinya tercalon dalam senarai akhir itu.

Dia yang dikenali dalam siri Hooperz dan Kasut Tumit Tinggi ini dicabar nama besar dalam kategori itu iaitu Abby Fana, Cheryl Samad, Fara Fauzana dan Nurul Alis.

“Berbanding calon lain, saya anggap diri masih baru di persada seni tempatan. Saya tidak menaruh harapan untuk menang kerana kategori ini begitu sengit sekali terutama Fara Fauzana dan Cheryl Samad, dua nama besar yang tidak asing dalam acara berprestij ini.

“Kalah atau menang, soal kedua kerana apa apa yang penting, fokus saya pada projek baru tahun ini iaitu sebagai pengacara Bintang RTM musim baru, penampilan khas dalam Ghost 2 dan Rosli Dobi,” katanya.

Naib juara pertandingan realiti tarian musim kedua, Sehati Berdansa Amyza Aznan yang tercalon dalam kategori Artis Komedi Wanita popular berkata, ini kali pertama dia tercalon dalam ABPBH sepanjang 13 tahun bergelar anak seni.

Dalam kategori itu, Amyza bersaing dengan Kenchana Dewi, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo.

“Bila tersenarai dalam top 5, ia membuktikan, peminat masih setia menyokong saya dari belakang.

“Seperti calon lain, sudah pasti saya menaruh harapan untuk menang. Saya percaya, peminat menilai menerusi hasil kerja saya sebelum ini. Saya juga banyak berlakon dalam sitkom sepanjang tahun lalu, antaranya Geletek dan Ketupat Penyek.

“Kalau tewas, saya tidak kecewa kerana apa yang penting, saya ingin orang melihat saya masih aktif selepas bergelar ibu kepada dua anak,” katanya.

Sementara itu, antara artis popular yang tersenarai pada peringkat akhir ABPBH 2008 ialah Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor dan Aznil Nawawi.

Bintang Paling Popular ABPBH tiga tahun berturut-turut sejak 2005, Asmawi Ani atau Mawi tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Mawi yang hadir ditemani isterinya, Ekin juga tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana menyedari persaingan sengit daripada muka baru yang dicalonkan kali ini.

“Antara calon yang beri saingan sudah pasti Amy Search bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular kerana dia legenda rock tanah air. Selain itu, muka baru seperti Aizat dan Nubhan.

“Saingan juga sengit bagi kategori Bintang Paling Popular. Sekalipun sudah bergelar isteri, Siti masih popular dan mendapat sokongan berterusan daripada peminatnya sampai sekarang. Kehadiran Nabil juga tidak boleh dipandang ringan kerana dia muka baru yang popular dan mewarnai industri seni sekarang,” katanya.

Apapun, kata Mawi, dia mengharapkan peminat terus memberi sokongan berterusan padanya sekalipun dia sudah berkahwin.

“Kalau saya menang pada malam kemuncak itu nanti, ia juga rezeki selepas berkahwin,” katanya.

Aznil yang sudah mengungguli sebanyak lima kali kategori, Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH berkata, soal kalah atau menang perkara kedua kerana apa yang penting orang menilainya daripada hasil kerja dilakukan.

Dia juga dicalonkan menerusi dua kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Penyampai Radio Lelaki Popular.

“Bila nama berada dalam Top 5, ia membuktikan saya masih diperlukan dalam industri seni tanah air,” katanya.

Kategori pengacara menyaksikan senarai tradisi calon seperti AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Masing-masing mempunyai peminat tersendiri dan terpulang pada peminat untuk membuat penilaian siapa yang layak untuk menang.

“Saya tidak terfikirpun untuk menang kategori Bintang Paling Popular kerana saya sedar tidak mampu mengatasi populariti Saiful Apek, Mawi dan Siti yang pernah mengunguli kategori itu sebelum ini,” katanya.

Majlis pengumuman lima finalis ABPBH 2008 diumumkan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail merangkap Penaung Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2008 di Hotel Palace Of The Golden Horses, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah, selaku Pengerusi ABPBH 2008.

ABPBH 2008 bakal menyaksikan 16 kategori dipertandingkan. Kategori terbabit ialah Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Penyanyi/Artis Nasyid Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular.

Selain itu, kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular, Pelakon Komedi Wanita Popular, Pengacara TV Lelaki popular, Pengacara TV Wanita popular, Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Borang peraduan Undi dan Menang pencalonan akhir ABPBH 2008 disiarkan dalam Berita Harian/Berita Minggu bermula semalam hingga 3 April nanti.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: