Puisi Tanda Simpati Malaysia

19 Feb

Oleh Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad
bhsastera@nstp.com.my

Perbezaan sempadan geografi tidak mematikan usaha bantu penduduk Gaza

KESUNGGUHAN membantu rakyat Palestin di Gaza yang ditimpa malang, direalisasikan pada Malam Amal Selamatkan Anak-anak Palestin oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan hasilnya terkumpul RM105,696 bagi mengisi Tabung Gaza NSTP.

Acara yang menggabungkan persembahan deklamasi puisi, lagu puisi dan sedutan kezaliman rejim Yahudi di Israel melalui paparan multimedia serta jualan bazar bagi mengutip derma khusus sebagai tanda mengingati setiap nyawa yang terkorban, nyata berjaya mengundang derma daripada beberapa korporat prihatin.

Dawama Sdn Bhd menyumbang RM50,000, Lim Kokwing Universiti menaja nyanyian Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (RM20,000), deklamasi puisi Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan anaknya, Lim Fheng Fheng (McDonald’s RM5,000), Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said (Pengerusi Eksekutif Dawama Sdn Bhd, Mohamad Luqman Che Harun – RM2,000), penyumbang tak bernama RM4,000 dan hasil jualan gerai DBP RM24,696.

Acara pada malam 6 Februari lalu turut membuktikan kepada Duta Khas Palestin ke Malaysia, Abdulaziz Abughoush, betapa prihatinnya rakyat Malaysia kepada rakan seagama mereka meskipun jauh terpisah oleh sempadan geografi, umat Islam tetap bersatu.

Penyair yang juga Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, memecah kesunyian malam dengan kelantangan suara dan kudrat mudanya menerobos episod yang membawa kedukaan rakyat Palestin melalui puisinya, Gaza: Malapetaka Apakah Ini?.

Sebuah duka; dengan bahasa apa lagi
untuk aku bingkiskan
setelah dua puluh dua hari
berhujankan peluru, bom dan fosforus
tanah suci menjadi taman pusara tanpa nisan
kanak-kanak dan warga tua
yang tidak mengerti makna kezaliman
dan makna kekesalan.

Sedih apa lagi yang bisa aku maknakan
setelah sepuluh hari gencatan senjata
di meja damai
air mata dan jerit derita masih kedengaran
saat rindu mendamba
kelahiran Salahuddin al-Ayubi
juga doa kunjungan sekawan ababil.

Peserta Program Penulisan IOWA 2007, Malim Ghozali PK, dengan wajah selamba mengutuk kekejaman Zionis Yahudi Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Britain sehingga meletakkan mereka ke tahap haiwan lewat, Di Gaza Telah Terluka Semuanya Sementara Anjing-Anjing Liar Itu Terus Menggila.

Lapar dahaga dan kematian tak lagi hiraukan geritis selaksa peluru kereta kebal dan mesingan dan langit hitam diterangi cahaya letusan bom dan letusan peluru berpandu Zionis, lalu pahlawan-pahlawan Hamas pun tersenyum menanti panggilan syuhada.

Di Gaza anjing-anjing liar Zionis Yahudi baka kacukan Washington-London-Tel Aviv terus mengganas menggigit dan membunuh segala yang bernyawa.

Penerima Anugerah Penulisan Sea 2004, Dr Zurinah Hassan, memulakan puisinya dengan dodoian yang menggetarkan jiwa khalayak malam terbabit ketika beliau melapah nasib malang kanak-kanak Palestina, mangsa politik di Gaza sehingga mereka menjadi mangsa tanpa diminta melalui, Anakku Yang Bernama Palestina.

Anakku yang bernama Palestina
Seperti anak-anak lain di dunia
Dia manis dan mesra
Seperti anak-anak lain di dunia
Dia pun ke sekolah
Dan diajar menyanyikan lagu setia
Kepada tanah air, agama dan bangsa.

Dan hari ini dia tidak mungkin memahami apa-apa
Dia hanya menangis, meraung
Menggelupur dengan tubuh melecur
Terbujur di bawah rumah yang hancur

Seorang lagi Pensyarah UPM, Prof Madya Dr Lim Swee Tin, menggegarkan pentas malam itu dengan cerita sejarah penderitaan Palestin lewat, Api Zionis, berduet dengan anak perempuannya, Lim Fheng Fheng (Tuhan, Kepada-Mu Kami Memohon Perlindungan).

Palestin, Palestin, Palestin
Kami di sisimu izinkan meriba nestapa purba
Ingin benar kami membalut semua luka sukma
Api Zionis itu sambarnya sinis
Cengkam bumi kalbu dan batinmu terhiris
Palestin, Palestin, Palestin
Teguhkan azam kentalmu, bentengkan juga sempadan terakhirmu
Kutahu keimanan ketaqwaan tak pernah goyah tak akan terpatah, dan, Palestin katakan:
“KAN KUPADAMKAN SELAHAPNYA API KEANGKUHANMU ITU.”

Bingkisan rasa (Dr) A Samad, menyelinap ke tangkai hati khalayak melalui Sumpah El-Atatra dengan penceritaan semangat juang anak El-Atatra dalam memartabatkan bangsa sejurus membina semangat juang melawan serangan Zionis Israel.

Anak-anak lahir di tengah khemah menyala
tekun menafsir isi sejarah rahsia.
Nyata kini titisan darah para pembela
akan mengharumi kafilah di El-Atatra.

Tiada tangga jatuh dibiarkan di Gaza.
Anak-anak El-Atatra cepat membinanya.
Tidak akan ada terowong seharum ini
di mana satu korban, dua bangkit lagi.

Hampir 1,000 khalayak yang memenuhi Balai Budaya Tun Syed Nasir malam itu turut disajikan dengan lagu Damai Yang Hilang oleh Kumpulan Nasyid Rayyan, di samping persembahan Siti Nurhaliza, Ras Adibah Radzi dan Aisyah serta Shazet & SRB.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, yang hadir sama bagi menyerahkan cek bernilai RM105,969 kepada Editor Sastera Berita Harian, Salbiah Ani, turut berpeluang menyaksikan baca puisi daripada Prof Datuk Mahmood Zuhdi, Saroja Theavy, Datuk Ahmad Said, Datuk AlimuddinMohd Dom, Zaen Kasturi, Ahmad Shukri Abdullah, Datuk Dr Kamal Abdullah (Kemala, Puzi Hadi dan Ismail Dahaman.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: