Tak Lepas Peluang Kedua

18 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@ bharian.com.my

Vanidah teruja watak Siti Khadijah walaupun hanya lontarkan suara dalam Sirah Junjungan

BARANGKALI itu yang dinamakan rezeki kerana tawaran yang dulu terpaksa dilepaskan disebabkan komitmen lain, kembali mengunjungi membuatkan Vanidah Imran enggan melepaskan peluang kedua yang bertandang.

Cuma dua babak peranan membabitkan dirinya, itu pun hanya bermain di balik tabir namun aktres yang mesra disapa Vee ini begitu teruja apabila berbicara mengenai pementasan muzikal Islam, Sirah Junjungan.

Zahirnya kata Vee, watak isteri Rasulullah, Siti Khadijah mungkin tidak menuntut kemampuan luar biasa daripadanya tetapi hakikatnya, peranan kecil itu amat menguji.

“Saya hanya berlakon menggunakan suara dan itu lebih susah kerana lontaran dialog saya perlu sampai tepat kepada khalayak yang menonton.

“Itu yang memberikan cabaran kerana saya bergantung sepenuhnya kepada pengucapan dialog, tanpa dibantu gerak lakonan untuk menghidupkan peranan sebagai Siti Khadijah.

“Paling utama saya perlu mengenal pasti nada suara bagaimana yang mahu diberikan. Wanita berusia 40-an, intonasi suaranya agak mendalam dan itu yang perlu saya cari untuk memastikan lakonan yang diberikan nanti meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya.

Isteri kepada pemuzik dan pelakon, Rashidi Ishak itu menambah, biarpun mempunyai pengalaman luas di pentas teater namun ia tidak sama dengan Sirah Junjungan yang dibawakan buat kali kedua ke Panggung Sari, Istana Budaya oleh Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dari 9 hingga 22 Mac ini.

Menjauhi persamaan serta ingin mengelak daripada mengulangi apa yang pernah dipersembahkan Norish Karman pada musim pertama, Vee mengelak daripada menonton rakaman pementasan itu.

“Memang saya nak tahu tetapi rasanya lebih baik tidak menonton supaya tidak terpengaruh dengan cara Norish. Biar saya tidak tahu kerana itu lebih mudah untuk memberi interpretasi watak Siti Khadijah kerana pemahaman seseorang pelakon terhadap sesuatu naskhah berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Pernah menjayakan pementasan seperti Megat Terawis, Selendang Umi, Laila Majnun, Keris Sang Puteri, Lantai T Pinkie, Tun Perak dan Visits, Sirah Junjungan bagi pelakon yang meraih pelbagai pengiktirafan itu terlalu istimewa.

Kekurangan pementasan berunsur keIslaman membuatkan Vee teruja untuk kembali beraksi di bawah arahan Erma Fatima, tambahan pula sudah hampir dua tahun bakat lakonannya tidak diasah di pentas teater.

“Tahun lalu ketika Erma menawarkan watak ini, saya terpaksa menolak kerana sibuk dengan penggambaran lain. Kali ini tawaran kedua tidak dilepaskan. Lebih mengujakan apabila ditawarkan watak isteri kesayangan Rasulullah dan saya sendiri tidak sabar menanti bagaimana hasilnya nanti,” katanya.

Erma katanya, agak tegas ketika latihan menuntut Vanidah supaya melakukan persediaan rapi kerana tidak mahu berlebih kurang sebelum memulakan latihan.

“Saya perlu pastikan dapat memberi tuntutan watak yang dimahukan Erma. Disebabkan sudah sering bekerjasama, saya sudah faham dengan kerenahnya. Adatlah jika dijerit kalau dia tidak berpuas hati,” katanya.

Bagaimanapun, kata pelakon kelahiran Pulau Pinang ini dia senang bekerja dengan Erma kerana pengarah itu seorang yang dedikasi dan tidak pernah kenal erti putus asa.

“Tidak ramai pengarah yang berani menumpukan kepada produksi bercorak keislaman. Erma berani menongkah arus dan mengambil cabaran.

“Sebenarnya saya sendiri mengimpikan beraksi dalam filem yang mempunyai mesej keislaman seperti filem Ayat-Ayat Cinta.

“Pengisiannya ringkas namun mesej yang dibawakan sangat kuat. Saya masih menanti penerbit filem tempatan mengangkat tema seperti itu, cuma mungkin ada yang belum berani untuk melakukannya kerana bimbang ia tidak diterima meluas,” katanya.

Turut melakukan pengorbanan apabila terpaksa melepaskan beberapa tawaran, Vanidah berkata, memang hasratnya untuk memberi tumpuan kepada pementasan itu apatah lagi kebelakangan ini dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonannya.

“Kebetulan Shidi agak sibuk dengan beberapa tawaran menyebabkan saya perlu berkorban memberi tumpuan kepada anak-anak.

“Jika pun menerima tawaran, saya ambil peranan kecil dan tidak memerlukan berada lama di lokasi. Perancangan penting supaya dua anak saya, Mikail Aimran, 8 dan Maryam Rashika, 5 tidak terabai disebabkan kesibukan kedua ibu bapa mereka,” katanya.

Info:

Tarikh Pementasan: 9 – 22 Mac 2009

Lokasi: Panggung Sari, Istana Budaya

Barisan pelakon: Ahmad Yatim, Mazlan Tahir, Vanidah Imran, Rabeeca Nur Al-Islam, Wong Sip Nen dan Aman Graseka

Penampilan istimewa: Amy Search (22 Mac), Datuk Siti Nurhaliza (18-20 Mac), Jamal Abdillah (9-14 Mac) dan Mawi (21 Mac)

Tiket: RM30, RM50, RM80, RM100, RM150 dan RM200

Tempahan dan pertanyaan: 03-41498600/41428035 atau sirah@yayasansenikarya.com

Profil:

Nama Penuh: Vanidah Imran

Tarikh Lahir: 1 Oktober 1973

Tempat Lahir: Pulau Pinang

Profesion: Pelakon, pengacara

Status: Berkahwin

Suami: Rashidi Ishak

Anak: Mikail Aimran dan Maryam Rashika

Filem: Perempuan Melayu Terakhir, Putera, Cinta Metropolitan, The Red Kebaya, Anak Mami, Hingga Hujung Nyawa, 7 Perhentian, Akhirat, Stamp dan Sepi

Drama: Salam Taj Mahal, Cinta Athirah, Doa Untuk Jessie, Hadiah Seorang Ibu, Pondok Buruk

Teater: Siti Di Alam Fantasi, Anugerah, Lantai T Pinkie dan Wangi Jadi Saksi

Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) di Pulau Pinang

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: