Sumbangan Amal Menerusi Fesyen

17 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Jovian jual, lelong koleksi rekaannya dengan sebahagian kutipan disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

FESYEN bukan sekadar ikutan peredaran zaman, limpahan glamor atau simbol imej yang ingin ditampilkan semata-mata, kerana melalui skop ini juga membuktikan langkah murni boleh dimulakan jika ada kesedaran.

Seiring dengan niat yang dimulakan kerajaan, selebriti, media dan badan korporat, pereka fesyen pilihan golongan selebriti, Jovian Mandagie turut terpanggil untuk melakukan amal dengan menjual dan melelong koleksi rekaannya demi satu tujuan murni mengumpul dana bagi mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)

Berkat acara yang dianjurkan pereka fesyen kelahiran Indonesia tetapi dibesarkan di Malaysia ini di butik miliknya di Bangsar, sebanyak RM5,500 berjaya dikumpul.

Sokongan rakan artis termasuk Anita Sarawak dan tetamu kehormat, Tan Sri Othman Merican yang dianggap Jovian sebagai tetamu dan ikon istimewa acara yang berlangsung pada 3 Februari lalu cukup menggembirakan hatinya.

Pereka yang mula mendapat perhatian di Malaysia sejak 2006 menerusi acara Anugerah Era berkonsepkan kulit dan denim ini cuba mengubah persepsi bahawa untuk menunjukkan perasaan simpati seterusnya membantu mengurangkan kesengsaraan orang yang kurang bernasib baik, bukan hanya melalui demonstrasi atau rusuhan sebaliknya melalui pendekatan yang lebih lembut dan beradab.

“Sebagai manusia, ini cara dan ruang untuk saya membuktikan serta menyahut seruan untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan, terutama kepada mangsa peperangan di Semenanjung Gaza.

“Seperti orang lain, saya memberi sumbangan peribadi dan untuk lebihkan sedikit saya anjurkan acara amal ini. Alhamdulillah majlis tempoh hari berjaya melelong lima pasang pakaian yang mana keuntungan jualan semuanya disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Selain itu, 20 pasang pakaian berjaya mendapat perhatian tetamu dan dijual yang mana 20 peratus jualan ke atasnya akan dimasukkan ke tabung,” katanya sewaktu dihubungi Hip baru-baru ini.

Ternyata puas dan bersyukur majlis yang dirancang berjalan dengan lancar, Jovian mengakui tidak menyangka majlis itu akan mendapat sambutan di luar dugaan.

Apatah lagi tetamu yang hadir memberi sokongan dianggap kawan-kawan yang cukup rapat dan dekat di hatinya. Sepanjang masa majlis berjalan, tabung khas turut diarak memohon derma ikhlas tetamu yang hadir.

Antara rakan selebriti yang hadir seperti Erra Fazira, Ning Baizura, Umie Aida, Zahida Rafik dan Linda Onn. Malah selebriti yang hadir ini antara nama besar yang sering menggunakan khidmat Jovian bagi membaluti tubuh mereka dalam menghadiri pelbagai acara.

“Saya sendiri terkejut dan tidak menyangka dapat mengutip dana sedemikian jumlah. Mungkin juga nilai itu tidak sebanyak yang diharapkan, tapi memadai ia dilakukan dengan niat dan hati yang tulus. Jumlah derma hanyalah bersifat subjektif dan selagi kita mahu membantu mengurangkan kesusahan orang, itu sudah mencukupi bagi saya.

“Terima kasih kepada rakan artis dan tetamu yang sudi hadir pada majlis itu. Malah ada yang tidak dapat hadir pun tetapi sudah memberikan pengesahan untuk membeli koleksi yang dijual dan dilelong,” katanya.

Majlis yang bermula pada jam 4.30 petang itu berlarutan hingga ke 8.30 malam. Turut diadakan solat Isyak secara berjemaah selain solat hajat dan bacaan Yasin.

Selain rakan artis, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran sosialit dan pihak penting di dalam dunia hiburan. Acara minum petang itu turut menyaksikan Jovian mempersembahkan koleksi terbarunya “Blossoms” Spring Summer 2009.

Info Jovian Mandagie

Butiknya terletak di nombor 95, Jalan Telawi, Bangsar

Antara selebriti yang pernah menggayakan rekaannya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dynas, Amber Chia, Maya Karin, Misha Omar dan artis seberang, Kris Dayanti dan Rossa.

Namanya pernah terpalit dalam kancah kontroversi apabila penyampai radio Sinar FM, Linda Onn yang menggunakan khidmatnya mereka busana untuk digayakan bagi acara permaidani merah Anugerah Academy 2007 di Los Angeles tetapi akhirnya Linda tidak muncul seperti yang dirancang di acara itu. Busana itu yang menjadi perhatian akhirnya digayakan Linda sendiri sewaktu hadir di Anugerah Erra pada 8 September 2007.

Pernah mereka pakaian untuk hari bahagia Ning Baizura dan Erra Fazira.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: