Detik Pilu

17 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com

Gurauan terakhir masih terngiang-ngiang di telinga menyebabkan Siti Nurhaliza amat terasa kehilangan bapanya

AIR matanya tidak putus-putus mengalir membasahi pipinya yang gebu. Kadang-kadang kelihatan seperti hilang punca. Begitulah keadaan Datuk Siti Nurhaliza kerana kehilangan bapanya, Tarudin Ismail, 67, yang meninggal dunia kerana sakit jantung.

Siti yang matanya agak kemerahan kerana digenangi air mata, pada mulanya seperti susah hendak mengeluarkan kata-kata. Bukan kerana tidak mahu ditemu bual tetapi mungkin kerana terlalu hiba.

Biar berdepan dengan situasi getir, sebelum pembedahan dijalankan, bapanya saling mengusik mereka sekeluarga seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku. Usikan dan gurauan itu masih segar dalam kenangan Siti.

“Seperti biasa, abah sempat bergurau sebelum dia ke bilik pembedahan. Malah abah ada cakap kepada Siti, dia belum mati lagi dan tak perlu menangis.

“Kami juga sempat mengusik sesama sendiri untuk mengajaknya pergi memancing selepas ini kerana abah memang gemar melakukan aktiviti itu.

“Tapi Tuhan lebih sayangkannya dan kehilangan abah dalam sekelip mata, tiba-tiba. Itu yang sedikit sebanyak membuatkan Siti terkilan dan berasakan kehilangannya,” katanya dalam nada sebak sambil memberitahu mereka sempat berbisik ke telinga Allahyarham selepas menjalani pembedahan dan tidak sedarkan diri.

Apabila keadaan menjadi semakin tenang, penyanyi itu berkata, sebelum pembedahan dilakukan, bapa dan emaknya kelihatan berbelah bagi terutama apabila doktor yang merawatnya berterus terang bahawa peluang dan risiko yang diambil hanyalah lima peratus.

“Abah sendiri bertanyakan pendapat kami, malah selepas diyakinkan oleh doktor yang bertugas, dia sendiri yang menandatangani borang kebenaran melakukan pembedahan itu,” katanya.

Kata Siti, mereka juga ramai-ramai membacakan Yasin dan berselawat. Menurutnya, sepanjang hari kelmarin, ruang wad hospital dipenuhi dengan keluarga dan saudara maranya. Ketika bapanya berada di dalam keadaan kritikal, seluruh insan yang menyayanginya berada dekat untuk menatap wajahnya di tepi katil.

Secara kebetulan pemergian bapa kandungnya itu ketika Siti masih berada dalam kedukaan kerana kira-kira tiga bulan sebelum itu, penyanyi itu kehilangan bapa mentuanya, Muhammad Jiwa Abdullah pada 22 November tahun lalu.

Tarudin Ismail meninggal dunia kerana jantung, komplikasi buah pinggang dan kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, pada Ahad lalu (15 Februari) kira-kira jam 11.50 pagi.

Ternyata sekebal mana pun hatinya, kali ini Siti tidak dapat menahan kepiluan sehingga air matanya tidak henti-henti mengalir kerana kehilangan orang yang disayanginya.

Air matanya jatuh bercucuran dan dalam keredaan serta akur dengan ketentuan Yang Maha Esa, terbit juga rasa terkilan di hati penyanyi yang baru saja melancarkan album baru berjudul Lentera Timur ini.

Malahan kali terakhir, Siti dilihat bersama arwah bapanya di mata umum ialah sewaktu melancarkan album terbarunya itu pada 14 Januari lalu. Tarudin meninggalkan seorang balu, Salmah Bachik, 57, dan enam anak.

Sementara itu, pengurus yang juga kakak ipar kepada Siti, Rozi Abdul Razak, sekitar jam 2 pagi lagi bapa mentuanya mula mengadu berasa ‘lain macam’, menyebabkan dia dibawa ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mereka kembali ke rumah di Kuala Lipis kira-kira jam 4 pagi dan keadaan semakin tenat apabila Tarudin rebah di ruang tamu, akibat serangan jantung pertama jam 5 pagi.

Kata Rozi, ibu mentuanya menghubungi semua anak dan menantunya yang berada di Kuala Lumpur untuk memaklumkan keadaan bapa mereka.

Seterusnya, Siti dan suaminya, Datuk Mohamad Khalid menghubungi pihak hospital pakar di Ampang untuk ke Kuala Lipis mengambil Tarudin.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis yang memakan masa lebih dua jam lebih akhirnya tiba kira-kira jam 11 pagi. Van itu tiba di pekarangan hospital pakar kira-kira jam 1 tengah hari.

Pada jam 7 malam, Tarudin menjalani pembedahan pintas biarpun terpaksa melalui pertimbangan risiko yang terlalu tipis.

Abah adalah Siti

SITI berkata, walaupun hampir semua adik- beradiknya menetap di Kuala Lumpur, tapi demi memenuhi permintaan emaknya, mereka bersepakat untuk mengebumikan jenazah bapa mereka di Kuala Lipis, Pahang.

Jenazah Tarudin dimandikan dan disembahyangkan di kediaman menantunya, Datuk K di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang sebelum di bawa ke Kuala Lipis untuk dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang selepas solat Maghrib.

Menurut Siti, dia dan adik-beradik yang lain akan sama-sama menjaga ibunya sebaik mungkin dan pada saat genting ini, keputusan sama ada ibunya mahu tinggal di Kuala Lumpur atau Kuala Lipis masih dalam pertimbangan. Tapi jelas Siti, anak-anak lebih suka jika ibu mereka tinggal di sini.

Bagi Siti, terlalu banyak kenangan indah bersama Allahyarham yang masih diingati, bahkan kerjaya seni yang diperjuangkan Siti selama ini berkat dorongan dan sokongan ibu termasuk arwah bapanya.

Katanya, arwah bapanya yang gemar memancing ini adalah pembakar semangat kepada bakat seninya.

“Abah selalu cakap dekat Siti, abah adalah Siti dan Siti adalah abah. Maksudnya, abah mahu Siti jadi kuat menjalani kehidupan sepertinya. Mungkin juga selama ini Siti banyak mewarisi semangat yang ada di dalam dirinya.

“Walaupun orang mungkin nampak abah macam garang dan serius, tetapi sebenarnya abah sangat sensitif dan mudah menangis terutama perkara yang membabitkan anaknya.

“Kebelakangan ini terutama sejak dua bulan lalu, abah kerap datang ke Kuala Lumpur. Selain bertemu anak dan cucunya, abah gemar memancing. Bayangkan dua hari sebelum dia rebah kerana serangan jantung, dia masih lagi pergi memancing di Klang bersama abang Siti, Ayie,” katanya.

Sementara itu, Datuk K yang ditemui di kediamannya memberitahu kehilangan bapa mentuanya cukup dirasai apatah lagi selang tiga bulan sebelum ini bapa kandungnya juga kembali ke rahmatullah.

Akur dengan suratan Ilahi, usahawan terkenal ini menyifatkan arwah bapa mentuanya sebagai seorang yang sangat kelakar, tetapi amat sensitif dan mudah terasa hati.

“Pernah satu hari, dia (Allahyarham) meminta bantuan saya untuk menggantikan tayar keretanya yang sudah lama. Lalu, saya bersedia menghantar pemandu membereskan hal itu. Bagaimanapun, pada hari yang dijanjikan untuk menunaikan permintaannya, saya ada hal pula hingga melambatkan bantuan yang ingin diberi.

“Alih-alih, dia sendiri yang menukar gantikan tayarnya di kedai. Ketika bertemunya kembali, mujur dia tidak sentap, cuma saya sendiri yang mula rasa tidak senang hati.

“Minggu lalu, saya dan Siti ada berjumpanya di Kuala Lipis. Ketika itu, gembiranya bukan kepalang dan kedatangan kami disambut dengan hidangan tiga ekor ikan paling sedap di sana. Ikan itu dimasak emak Siti dengan menu pelbagai seperti masakan kari, masak lemak tempoyak dan digoreng,” katanya.

Menurut Datuk K lagi, kalau ada masa terluang bersamanya, arwah suka bercerita mengenai anak-anaknya terutama Ayie kerana mereka selalu pergi memancing bersama.

“Memancing ibarat satu terapi keseronokan untuknya. Dia ada menyebut untuk membeli alatan memancing baru bersempena hari lahir Ayie, baru-baru ini. Lalu, Siti nak bagi duit tetapi ditolak, tetapi Siti tetap berkeras dengan tindakannya. Keesokan harinya, mereka pergi membeli alatan memancing itu dan hasilnya ketika memancing di Klang, tangkapan yang diperoleh cukup banyak,” kata Datuk K yang menganggap Ayie seorang anak yang baik kerana mampu menjaga bapanya dengan baik sekali.

Terkilan tak penuhi hajat arwah

Datuk K juga memberitahu ada beberapa perkara yang yang belum dipenuhi hingga wujud perasaan terkilan kepada dirinya dan Siti. Katanya, arwah bapa mentuanya pernah meminta beliau membuka sebuah syarikat berasaskan pertanian di Kuala Lipis untuk bekalan isteri dan anak-anaknya pada masa depan.

“Permintaannya dapat dipenuhi dan kami menubuhkan syarikat itu yang dinamakan Saldin (singkatan Salmah dan Tarudin), cuma belum sempat untuk beroperasi.

“Allahyarham gembira dengan usaha ini dan saya akan teruskan juga sebagai janji saya kepadanya. Selain itu, niat Siti dan Ayie untuk membawa Allahyarham ke tanah suci tidak dapat dipenuhi. Perkahwinan kami juga belum mampu untuk memberikan cucu kepadanya. “Allahyarham memang sudah lama menantikan cucu daripada kami, tapi belum rezeki lagi. Malah, Allahyarham pernah memasang ikhtiar untuk membantu Siti berusaha mendapatkan anak kerana simpati dengan nasib, Siti terutama apabila membaca artikel di akhbar atau majalah yang mempersoalkan isu ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: