Hanya Tinggal Kenangan

16 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


PENGHORMATAN terakhir daripada Siti Salmah, Siti dan Saerah.

KEGEMBIRAAN menjamah makanan kegemaran bapanya iaitu hidangan kari kepala ikan bersama-sama suami tersayang, minggu lalu kini hanya tinggal kenangan buat Siti Nurhaliza.

Malah, tiada lagi gurau senda yang selalunya membuatkan seisi keluarga ketawa kelucuan apabila Tarudin Ismail, 67, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa, baru minggu lalu dia dan Siti pulang ke kampung halaman di Kuala Lipis, Pahang, untuk bertemu dengan kedua-dua ibu bapa mentuanya.

Tidak disangka pertemuan itu merupakan saat terakhir mereka bersama arwah, apatah lagi kepulangan mereka berdua disambut cukup luar biasa oleh arwah.


DATUK KHALID

“Masa kami balik, arwah beli tiga ekor ikan dan masak tiga jenis lauk termasuk kari kepala ikan. Kegembiraannya pada saya lebih daripada kebiasaannya.

“Arwah tidak makan, sebaliknya gembira bila tengok kami makan. Sempat juga kami habiskan masa dengan arwah dan arwah ada juga menyebut tentang cucu daripada Siti dan kata boleh cari ikhtiar pelbagai cara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, seluruh keluarga tidak dapat menerima pemergiannya kerana begitu cepat kerana ketika dibedah kami semua yakin yang dia akan pulih.

Ini termasuklah isterinya, kerana terdapat dua tiga perkara yang belum sempat diberikan kepada arwah.

“Siti terkilan kerana arwah mengingin cucu daripadanya dan hajatnya itu tidak sampai.


SUASANA pilu menyelubungi Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang Puteri. Datuk Khalid dan Siti berkongsi emosi bersama ahli keluarga.

“Selain itu Siti dan abangnya Ayie ada merancang untuk membawa arwah pergi menunaikan Haji tahun ini, tetapi apa nak buat Tuhan lebih menyayanginya,” tuturnya.

Dalam pada itu, kesedihan jelas terpancar di wajah Siti, kerana saat ditemu bual Siti gagal mengawal emosi dan air matanya jatuh berlinangan apabila mengenangkan sejak kebelakangan ini arwah bapanya gemar pergi memancing bersama abangnya, Ayie.

“Kami adik-beradik sempat pujuk dia supaya jalani pembedahan kerana pada mulanya dia tidak mahu dibedah, kami katakan padanya lepas abah sihat abah boleh pergi memancing dan buat apa yang abah nak buat sebelum ini, tetapi dia pergi dulu.

“Memang waktu itu kami jangka dia akan pulih seperti biasa kerana pesakit di sebelahnya sihat selepas jalani pembedahan pintasan jantung walaupun doktor beritahu risikonya tinggi dan hanya ada peluang sebanyak lima peratus sahaja.

“Tetapi nak buat macam mana, saya reda dan selepas ini kami adik-beradik akan menjaga emak. Kami tidak akan paksa emak untuk ikut kami tinggal di sini tetapi kami tidak akan biarkan emak bersendirian, kami akan ikut saja kehendaknya,” tutur Siti.

Selain Siti, kakaknya Siti Nursaida dan adiknya Siti Saerah juga gagal mengawal emosi dan mengelak untuk ditemu bual.

Saida pula hanya sempat mengatakan, arwah bapanya memintanya jangan bersedih kerana dia masih hidup (sebelum pembedahan), manakala Saerah pula gagal mengeluarkan kata-kata, hanya deraian air mata mampu menggambarkan isi hatinya.


SAIDA (kiri) dan Siti gagal mengawal emosi dengan pemergian mengejut arwah bapa mereka.

Kakak ipar Siti, Rozie Abdul Razak sempat menceritakan detik-detik terakhir arwah bersama suaminya Ayie.

Beritahu Rozie, sejak dua bulan kebelakangan ini arwah lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti memancing bersama suaminya di Klang.

Malah, dua hari sebelum arwah rebah di kediamannya di Kuala Lipis, Pahang, arwah sempat lagi pergi memancing dan mengatakan hanya itu kenangan yang mampu diberikan kepada Ayie apabila dia sudah tiada kelak.

Tidak disangka, kata-kata yang disangka gurauan dan tidak diambil serius olehnya dan suami benar-benar menjadi kenyataan dalam masa yang singkat.


HANYA deraian air mata yang mewakili isi hati Saerah.

“Kami tidak pernahlah ambil serius bila arwah katakan begitu, tetapi memang jelas arwah suka memancing bersama Ayie, kerana sebelum ini arwah memang tidak betah untuk datang ke Kuala Lumpur jika tiada urusan penting.

“Arwah sebelum ini sihat dan kami semua tidak tahu dia ada pelbagai penyakit, selepas pembedahan baru dapat tahu dia ada penyakit darah tinggi, paru-paru dan buah pinggang.

“Arwah memang agak takut dengan hospital, sudah beberapa kali kami memintanya jalani pemeriksaan kesihatan tetapi tidak diendahkan sehinggalah dia mengadu tidak sedap badan pagi Jumaat lalu,” katanya.

Arwah meninggal kerana pembedahan pintasan jantungnya mengalami komplikasi dan menyebabkan arwah mengalami masalah buah pinggang, paru-paru selain mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Takziah daripada Kosmo!.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: