Impian Diana

15 Feb

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

BERWAJAH manis dan petah berbicara melayakkan gadis ini menduduki tempat kedua program realiti Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene dua tahun lalu.

Bagaimanapun, itu bukan pendedahan pertama Rusdiana Rusdi dalam dunia glamor kerana seawal usia 13 tahun, dia diberi peluang menjayakan dokumentari berjudul First Aid Kit. Bahkan, sejak empat tahun lalu wajahnya menghiasi beberapa drama dan komersial.

Bermula sebagai pelakon tambahan siri Wakaf, dia kemudian muncul sebagai pelakon pembantu dalam Keranamu Anis Suraya, Dilema Wanita dan Kasih Suci.

Berikutan kejayaan yang dikecapi menerusi program anjuran Pantene, rezekinya semakin murah malah dia diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Doktor Siti dalam siri perubatan Ampang Medikal dan terbaru digandingkan sebagai adik beradik tiri Faezah Elai menerusi drama komedi kekeluargaan, Hartamas.

Jelas anak jati Kuala Lumpur ini, pembabitannya dalam dunia hiburan bukan atas dasar minat semata-mata, sebaliknya mahu mencari modal untuk merealisasikan impian yang dibajai sejak kecil.

“Meskipun anak bongsu daripada empat beradik, saya bukan anak manja yang sentiasa mengharapkan bantuan orang tua. Dari kecil saya belajar berdikari dan mencari duit sendiri. Seboleh mungkin saya tidak mahu menyusahkan orang tua dan adik beradik.

“Kalau ikutkan, saya boleh minta bantuan kakak untuk menonjol dalam bidang ini kerana kakak bekerja di belakang tabir, tetapi saya memilih untuk berusaha sendiri. Sejurus tamat pengajian, saya menghadiri beberapa uji bakat drama dan iklan.

“Laluan saya semakin mudah selepas menyertai Pantene. Banyak tawaran berlakon, mengacara dan iklan menyusul, dan hasil daripadanya dapat saya kumpul untuk dijadikan modal menubuhkan syarikat perhubungan awam yang diidam-idamkan selama ini,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Hartamas, baru-baru ini.

Mengulas lanjut penggambaran Hartamas arahan Kabir Bhatia yang bakal ke udara di saluran ntv7 bermula hari ini, Diana berkata, tawaran membintangi siri ini hadir ketika dia sibuk menyiapkan rakaman program kanak-kanak Whoa!. Meskipun jadual padat, gadis periang ini tidak melepaskan peluang menghadiri uji bakat yang dikendalikan pengarah itu.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya dapat bekerja di bawah Kabir selepas drama Kasih Suci. Terus-terang, saya selesa bekerja dengan produksi Kabir kerana mereka sangat profesional dan teliti. Banyak perkara saya pelajari di lokasi, termasuk bagaimana mahu menjiwai watak dan selok-belok belakang tabir.

“Hartamas sebuah komedi ringan yang kaya dengan nilai kekeluargaan dan kasih sayang. Meskipun berlatarbelakangkan kehidupan penduduk Hartamas, ia masih boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian orang ramai.

“Saya sangat teruja beraksi di samping Ida Nerina dan Rashidi. Walaupun popular dan ramai pengikut, mereka tidak lokek ilmu. Saya bertuah dapat berguru dengan mereka di lokasi,” katanya.

Selain berpotensi sebagai pelakon pelapis, Diana yang dilahirkan di Den Hague, Belanda ini juga berkebolehan dalam dunia pengacaraan. Sikapnya yang ceria berjaya menarik perhatian peminat cilik untuk terus setia menonton program terbitan ntv7, Whoa!.

“Kalau ikutkan, ntv7 minta saya mengendalikan program ‘lifestyle’, tetapi jiwa saya lebih dekat dengan kanak-kanak. Justeru, saya diberi tanggungjawab mengacarakan Whoa!.

“Kontrak saya bersama Whao tamat Disember lalu dan insya-Allah selepas ini saya akan mengacarakan program remaja pula. Bagaimanapun, tidak banyak boleh diceritakan kerana ia masih dalam perbincangan. Kemungkinan besar kata putus dicapai selepas penggambaran Hartamas selesai bulan depan,” kata Diana.

Ditanya apa sasaran 2009, lulusan Diploma Pengiklanan dan Pemasaran, Institute Advertising Communication Training ini berhasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah.

“Sudah lama saya mahu melanjutkan pelajaran, tetapi terpaksa menangguhkannya berikutan terikat dengan beberapa komitmen,” katanya.

Profil

NAMA: Rusdiana Rusdi

PANGGILAN: Diana

LAHIR: 26 Mei 1985 di Den Hague, Belanda

TINGGI/BERAT: 5’2″/48kg

PENDIDIKAN: Diploma Pengiklanan dan Pemasaran (Institute Advertising Communication Training)

IKLAN: Syurah, Hotlink, Head & Shoulders dan Mobile Wallet

HOS: Whoa!

DRAMA: Wakaf (2005), Keranamu Anis Suraya (2005), Dilema Wanita (2006), Kasih Suci (2007), Ampang Medikal (2008) dan Hartamas (2009)

DOKUMENTARI: First Aid Kid (RTM2/1998), Be Excellent (RT2/2006) dan Get Set Go (RTM2/2006)

PENCAPAIAN: Tempat kedua program realiti Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: