Gelisah Lelaki

15 Feb

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

MESKIPUN hanya gosip, hati mudanya tetap diburu gelisah. Rasa bersalah bersarang di hati apabila dia dikaitkan dengan adik perempuan penyanyi tersohor negara.

Itulah luahan hati pelantun lagu Seribu Tahun, Imran Ajmain, apabila khabar angin dia hangat bercinta dengan Siti Saerah Taruddin bertiup kencang hingga menjadi perbualan hangat di Internet.

Menjelaskan kedudukan sebenar, anak jati Kota Singa ini berkata, hubungannya dan Saerah tidak lebih daripada persahabatan. Mereka bertemu buat pertama kali di konsert Akademi Fantasia musim ke-enam disusuli dengan pertemuan di beberapa majlis.

“Saya hairan bagaimana boleh timbul gosip kononnya kami bercinta hanya kerana kami dilihat berpasangan ketika Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 18 Januari lalu.

“Lebih kelakar, kami dikatakan berpegangan tangan dan memakai baju warna sedondon. Hakikatnya memang kami jalan bersama tetapi tidaklah berpegangan tangan seperti diuar-uarkan. Baju pula kebetulan ada warna sama di mana dia memakai busana merah jambu dan hijau.

“Sebaik saja mengetahui gosip ini, saya segera menghubungi Saerah untuk bertanya kedudukan sebenar. Saya risau dengan penerimaan Saerah, maklumlah dia datang daripada keluarga baik-baik. Ternyata Saerah juga terkejut dengan cerita tidak berasas itu dan paling dikesalkan, peminat kami mula bergaduh di Internet.

“Lebih menyedihkan bila ada yang mereka-reka cerita kononnya saya diundang menyanyi pada majlis sambutan ulang tahun Datuk Siti Nurhaliza kerana saya teman lelaki Saerah. Padahal saya dapat peluang itu tanpa bantuan Saerah, sebaliknya kerana Datuk K dan Siti suka lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang.

“Sebagai peminat Siti, sudah tentu peluang ini tidak saya lepaskan, bahkan sangat berbesar hati apabila dapat menghiburkan tetamu pada majlis yang sangat istimewa itu,” katanya yang mengharap perkara ini tidak diperbesar-besarkan.

Jelas Imran lagi, itu bukan gosip pertamanya kerana sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Cheryl Samad. Bagaimanapun, khabar angin itu reda dengan sendirinya apabila masyarakat mengetahui dia dan Cheryl diuruskan oleh pengurus sama. Justeru, bukan menghairankan apabila mereka akrab dan sering dilihat bersama.

Mengulas perkembangan terkini, penyanyi berdarah kacukan Melayu-Belanda ini rancak mempromosi single terbarunya, Selamat Ulang Tahun Sayang yang kian mendapat perhatian ramai.

Dalam masa sama, Imran sibuk menyiapkan beberapa lagu untuk melengkapi album terbaru berjudul Punca dan Tindakan yang dijangka menembusi pasaran, April depan.

“Berbeza dengan album terdahulu, kali ini saya diberi ruang yang sangat selesa merancang kreativiti serta strategi pemasaran. Terima kasih diucapkan kepada Metadome (M) Sdn Berhad kerana memberi kebebasan ini.

“Sebelum album penuh keluar, saya tampil dengan single pertama iaitu Selamat Ulang Tahun Sayang, Disember lalu. Insya-Allah, single kedua iaitu Jika Engkau Pergi akan menyusul tidak lama lagi. Lagu ini turut menjadi lagu tema siri Kisah Yusuf untuk slot Samarinda TV3, Mac ini.

“Ada yang berpendapat tuah saya datang daripada slot Samarinda. Dulupun lagu Seribu Tahun popular kerana ia menjadi lagu tema drama Kerana Cinta Saerah.

“Tidak dinafikan ramai artis berlumba-lumba mahu lagu mereka jadi lagu tema slot ini kerana ia ditayangkan pada waktu perdana dan ramai penonton. Secara tidak langsung ia menjadi medium promosi yang bagus. Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah Kisah Yusuf kerana memilih lagu ini,” katanya.

Sambungnya, single ketiga, Radio cukup istimewa kerana dia berkolaborasi dengan juara Raja Lawak musim kedua, Nabil. Proses rakaman lagu yang menggabungkan irama 1950-an dan 1980-an ini akan dilakukan dalam waktu terdekat.

Penyanyi bertubuh tinggi ini turut melahirkan rasa syukur apabila percubaannya mencipta nama di Malaysia mendapat maklum balas positif. Sepanjang setahun memahat nama, rezekinya tidak pernah putus bahkan dia mendapat laluan selesa.

Justeru, dia nekad untuk terus setia menyanyi selagi diterima dan dalam masa sama melebarkan sayap sebagai penggubah lagu.

“Mungkin ramai tidak tahu, menyanyi bukan minat sebenar saya, sebaliknya saya mahu dikenali sebagai penggubah lagu. Saya akui tidak memiliki suara hebat tetapi ia menjadi demo kepada orang lain untuk mempromosi lagu ciptaan saya.

“Syukur, setakat ini ramai mula memberi perhatian terhadap karya saya dan meminta saya menghasilkan lagu untuk mereka. Buat masa ini saya menyiapkan lagu untuk Dina dan beberapa kumpulan nasyid.

“Sebagai penggubah, saya lebih terpanggil menghasilkan karya bersifat membina. Saya mahu lari daripada tema lagu Melayu yang sinonim dengan perkara menyedihkan seperti tinggal atau ditinggalkan. Bagi saya, perlu ada perubahan dalam lirik, di mana kita perlu memberi harapan kepada pendengar supaya meneruskan hidup dengan tabah.

“Selamat Ulang Tahun Sayang misalnya, ramai menyangka ia lagu ucapan selamat hari jadi daripada seorang kekasih kepada buah hatinya. Hakikatnya, skop lagu ini lebih luas di mana ia mengenang kembali perkara yang pernah berlaku dalam kehidupan seharian.

“Ia boleh jadi persahabatan atau adik beradik dan tidak terbatas kepada hubungan cinta saja,” katanya yang mendapatkan khidmat Ahmad Fedtri Yahya untuk melengkapi lirik lagu berkenaan.

Sebagai tanda penghargaan terhadap peminat, Imran menganjurkan peraduan mencipta lirik untuk lagu yang bakal dimuatkan dalam album terbarunya.

“Saya sudah menyiapkan promo lagu ini dan akan menyiarkannya dalam laman web saya iaitu imranajmain.com. Ia mungkin menjadi lagu terakhir dalam album saya. Peminat yang berjaya menghasilkan lirik terbaik akan dicatatkan sebagai penulis lirik lagu ini.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman web yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Data

NAMA: Ahmad Imran Husaini Ajmain

UMUR: 27 tahun

LAHIR: 25 April 1981 di Hougang, Singapura

ALBUM: Sudah Tu Sudah, Dengan Secara Kebetulan dan Dengan Secara Kebetulan (Edisi Deluxe)

KERJAYA: Penyanyi, komposer dan penerbit album

LAGU POPULAR: Seribu Tahun, Kata Orang, Ghaib Mu dan Malu

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: