Siti Hela Nafas Lega

13 Feb

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

PELBAGAI kontroversi membabitkan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30, dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang kononnya mendirikan rumah tangga dengan dramatis, Rozita Che Wan sudah lama berakhir.

Bagaimanapun, ramai pihak masih sangsi dengan penjelasan Siti mahupun suaminya sebelum ini sehingga kenyataan mengenainya sekali lagi dibuat sewaktu pasangan ini tampil dalam rancangan Sehati Sejiwa terbitan RTM 1, disiarkan petang kelmarin.

Lebih menarik apabila produksi rancangan itu turut mendapatkan penjelasan daripada Rozita sendiri menerusi talian telefon di hadapan Siti mahupun Khalid atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K.

Dalam perbualan dengan pengacara Sehati Sejiwa, Scha Al-Yahya, Rozita mengakui tidak pernah mengenali Datuk K, dan kereta mewah yang dikatakan dihadiahkan ahli perniagaan itu sebenarnya dibeli dengan hasil wang lakonan.

Kenyataan Rozita mahupun Khalid yang mengakui tidak pernah bertemu pelakon jelita itu sedikit sebanyak melegakan Siti dan penonton setia rancangan itu agar ia tidak lagi menjadi bualan.

Ketika ditemui sebaik rancangan selesai, kata Siti, dia berharap tiada lagi cerita tidak baik dikaitkan dengan dirinya mahupun suami.

“Saya percaya perkara ini tidak akan berakhir kerana cerita panas yang cuba disebarkan ibarat drama bersiri yang mempunyai episod. Orang yang mengada-adakan cerita ini sengaja hendak menguji kami dengan harapan apabila ia tersebar saya akan berasa gundah.

“Apabila percubaan kali ini tidak berjaya mereka akan menanti waktu sesuai untuk melakukannya sekali lagi,” katanya.

Siti akui gosip dikaitkan dengan suaminya turut berpunca daripada salah faham sesetengah pihak.

“Kakak Khalid iaitu Penerbit Global Network Sdn Bhd (GNSB), Zaiton Mohd Jiwa sering berurusan dengan ramai pelakon tempatan. Sementara pejabat suami bersebelahan dengan pejabat urusan GNSB.

“Apabila orang melihat ada artis turun naik ke pejabat GNSB mereka beranggapan mereka bertemu dengan suami saya,” katanya.

Gosip mengenai Khalid dan Rozita turut hangat diperkatakan pada saat album terbaru Siti, Lantera Timur mula dipasarkan. Penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada kerja promosi sedang dilakukan sekarang ini.

“Saya bekerja keras untuk menghasilkan album ini, banyak wang dikeluarkan hingga mencecah ratusan ribu. Apabila cerita peribadi lebih diperkatakan berbanding Lantera Timur, sudah tentu ia membuatkan segala usaha saya terganggu.

“Bayangkan, ini kali pertama saya berpeluang bekerja dengan ramai komposer berbakat besar seperti M Nasir, S Atan, Pak Ngah, Johari Teh dan ramai lagi.

“Tapi sekiranya hal peribadi mengenai saya lebih mendapat perhatian, takut usaha mereka yang bersungguh-sungguh mahu menghasilkan lagu terbaik untuk saya akan menjadi sia-sia. Apabila gosip peribadi lebih diperkatakan, takut peminat tidak ‘ambil pusing’ mengenainya dan lebih berminat dengan cerita panas mengenai kami.

“Begitupun, syarikat rakaman dan pengurusan saya, Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd berusaha untuk mengimbangi kembali cerita tidak berasas itu dengan mengadakan majlis pelancaran dan promosi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai album dihasilkan, jelas Siti, dia bersyukur kerana walaupun berhadapan dengan kontroversi tetapi Lantera Timur tetap mendapat perhatian peminat setia.

“Setakat ini, jualannya mencecah 15,000 dan ada peminat dari seberang turut membuat tempahan dan membelinya menerusi pos. Album ini akan dipasarkan di sana dan perbincangan mengenainya sedang dibuat,” katanya.

Waktu sama, Siti sedang merancang untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya selama empat malam pada akhir Mac nanti dan segala persiapan mengenainya sedang dilaksanakan.

“Tidak banyak yang boleh saya ceritakan kerana ia masih lagi di peringkat perbincangan.

“Ia dilakukan dengan kerjasama Yayasan Mohd Jiwa ditubuhkan suami dan satu lagi pihak penaja. Sidang akhbar mengenainya akan dilakukan nanti apabila segala pengesahan mengenainya diperoleh,” katanya.

Sering bersama Siti punca Khalid jadi sasaran gosip

SEJAK berumah tangga, ke mana saja Siti pergi pasti Khalid ada bersama. Perkara itu turut dianggap menjadi punca kepada pelbagai gosip panas yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Melihatkan kemesraan dan keakraban pasangan ini, menyebabkan ada pihak kurang senang dan mula menimbulkan cerita tidak baik dengan tujuan mahu memporak-perandakan perkahwinan Khalid dan Siti .

Memberikan komen mengenai perkara itu, kata Khalid, kemunculannya bersama isteri hanya membabitkan majlis khas dan tiada kaitan dengan urusan kerja.

“Biasanya ada majlis kami hadiri atas jemputan dan ia tidak membabitkan kerjaya nyanyian Siti. Jarang saya ada bersama kalau isteri mengadakan persembahan.

“Kenyataan mengatakan saya cuba mencampuri urusan kerjaya Siti dengan sentiasa mengikutinya tidak benar. Dia masih diuruskan abangnya, Ayie, malah kakitangan Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Siti.

“Pihak media sendiri sekiranya mahu mengadakan temu bual atau temu janji perlu menghubungi Rozi dan bukan saya.

“Kalau ada pun, saya hanya membantu bagi menyenangkan kerja mereka kerana kebetulan kalau kami berada di rumah atau di luar dan Siti tidak dapat dihubungi, ada wakil media lebih senang mendapatkan dia menerusi saya,” katanya.

Menyentuh gosip perkahwinannya dengan Rozita, kata Khalid, dengan penjelasan dibuat pelakon itu sendiri menerusi Sehati Sejiwa, diharapkan akan melenyapkan spekulasi ditimbulkan sebelum ini.

“Saya tahu ada kala cerita seperti ini datang daripada orang sekeliling saya sendiri atau perkumpulan mak datin yang suka gosip.

“Sikit saja cerita didengar, mereka sudah menjaja dan secara tidak langsung ia menjadi panjang dan tidak ada kesudahannya,” katanya.

Menyentuh kenyataan dibuat Siti sebelum ini yang akan berhenti bernyanyi sekiranya cerita panas yang boleh mengaibkan dirinya mahupun Siti berterusan, kata Khalid, ia dikeluarkan dengan bersebab.

“Apabila pihak media melaporkan perkara seperti itu dan dibaca ramai peminat Siti, ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kerana cerita seperti itu boleh memburukkan nama kami terutama apabila ia memberi kesan kepada kerja saya.

“Kebanyakan pihak media adalah rakan kami dan apabila tersiarnya cerita seperti itu, kami kalau boleh tidak mahu memanjangkan cerita dengan membawa ke mahkamah. Jalan terbaik yang difikirkan Siti mahupun saya waktu itu adalah dengan berhenti daripada terus menyanyi.

“Begitupun, secara peribadi saya kalau boleh tidak mahu Siti berhenti kerana bidang nyanyian sudah menjadi minatnya sejak dulu. Kalau dia tidak buat apa-apa di rumah, takut nanti bosan sedangkan saya sendiri selalu sibuk dengan urusan perniagaan,” katanya.

Harian Metro

2 Responses to “Siti Hela Nafas Lega”

  1. kekwa February 13, 2009 at 2:09 pm #

    rupa2nya tergugat jugak ctot ni dgn RCW…..mula2 kata tak takut dgn gossip, rupa2nya tak caya jugak dgn perangai laki dia tu

  2. Mr Lee February 13, 2009 at 2:11 pm #

    perniagaan apakah Pak Hj jalankan?….peminat jugak nak
    tau, apa salahnya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: