Rabbani Tambah 'Perisa' Konsert Maulidur Rasul

13 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

MESEJ penganjuran Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430H (MSM 1430H) yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam tanggal 28 Februari ini begitu mulia iaitu untuk mendidik masyarakat supaya mengingati kelahiran, perjuangan dan jasa Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, tidak hairanlah, Rabbani Productions (M) Sdn Bhd (RPSB) berasa terpanggil untuk menganjurkan konsert sempena sambutan Maulidur Rasul ini buat kali kedua sebagai meneruskan kesinambungan konsert ini pada 2007.

Selain Rabbani, konsert ini bersandarkan nama besar seperti legenda rock Amy Search, Datuk Siti Nurhaliza, Mawi dan Ustazah Siti Nor Bahyah. Jika pada 2007, konsert ini menampilkan Waheeda, tahun ini, mereka menampilkan Akhil Hayy pula sebagai tarikan kepada orang ramai.

Pengarah Urusan RPSB selaku vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim berkata, bersandarkan nama besar itu pihaknya yakin konsert ini akan mencapai objektifnya seperti penganjuran kali pertama pada 2007.

“Selaku penganjur kami berhadapan dengan cabaran untuk menganjurkan program bercorak keagamaan ini. Pada peringkat awal, kami memang merancang menganjurkan konsert ini setiap tahun tapi disebabkan kesukaran untuk mencari penaja, kami hanya dapat menganjurkannya dua tahun sekali.

“Penganjuran konsert ini pada 2007 berjaya mencapai objektifnya dan menarik lebih 8,000 pengunjung. Namun, apa yang menyedihkan kami, sebulan sebelum konsert ini berlangsung, penaja menarik diri dengan alasan program Maulidur Rasul bukan ‘brand’ mereka.

“Justeru, kami terpaksa keluarkan duit sendiri mencecah RM100,000 untuk menjayakan konsert berkenaan termasuk berhutang selama setahun,” katanya.

Bagaimanapun, kata Asri laluan mereka menjadi mudah kerana Telekom Malaysia Berhad (TM) berminat menjadi penaja utama konsert MSM 1430H ini.

“Konsert MSM ini bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya kami mengharapkan keikhlasan penaja untuk bekerjasama dalam program bercorak ketuhanan ini. Ini kali pertama kami bekerjasama dengan TM.

“Pihak TM begitu teruja untuk menjadi penaja konsert ini. Malah, apabila kami menghantar kertas cadangan, mereka bersetuju untuk menaja konsert yang mencecah kos ratusan ribu ringgit ini. Semoga konsert ini menjadi titik permulaan untuk kami terus bekerjasama dengan TM pada masa akan datang,” katanya.

Apapun, kata Asri, mereka tetap berpuas hati sekalipun terpaksa bersusah payah menganjurkan program Maulidur Rasul itu. Apa yang penting bagi mereka, ada penaja yang membantu merealisasikannya dan berharap kali ini lebih ramai berkunjung ke Stadium Malawati.

Mengenai pemilihan artis menjayakan konsert MSM 1430H, kata Asri, antara kelainan tahun ini ialah penampilan Amy Search, Mawi dan Akhil Hayy berbanding hanya Rabbani, Datuk Siti Nurhaliza dan Waheeda tahun lalu.

“Bagi kami, Rabbani nama ‘kecil’ dan kami perlukan artis besar dan popular lain untuk memberi sokongan menjayakan konsert ini. Pemilihan artis yang menjayakan konsert ini mengikut kekuatan masing-masing dan mereka juga ada peminat tersendiri.

“Saya juga memilih artis yang sesuai untuk berduet dengan Rabbani. Pemilihan Amy tepat kerana imej barunya selepas kembali dari Tanah Suci Makkah. Amy juga pernah berduet dengan kami menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Kami yakin Amy boleh menarik orang ramai kerana kami pasti ramai peminat yang ingin melihat otai rock ini beraksi di konsert itu nanti.

“Sebelum ini kami juga cuba mendapatkan Mawi, tetapi hanya tahun ini kesampaian. Pemilihan Akhil Hayy kerana dia juga mempunyai peminat tersendiri untuk menarik pengunjung nanti,” katanya.

Kata Asri, setiap penyanyi akan menyampaikan satu lagu duet dengan Rabbani, satu lagu sendiri dan lagu nyanyian beramai-ramai dalam konsert selama dua jam itu.

“Apa yang menarik, konsert ini membabitkan empat segmen iaitu peristiwa imbas kembali sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, penghijrahan sehinggalah kewafatan Baginda.

“Antara kelainan ialah persembahan multimedia diperoleh dari Jeddah yang menggambarkan saat penghijrahan Rasulullah ke Madinah termasuk paparan rumah isteri Rasulullah, Siti Aisyah.

“Konsert ini berkonsepkan hiburan yang diselitkan unsur pendidikan rohani selaras dengan moto utama Rabbani iaitu hiburan untuk mendidik rohani.

“Ia dipersembahkan tanpa henti membabitkan lima elemen utama persembahan iaitu nyanyian, qasidah, tazkirah, pentorama dan persembahan multimedia. Selain stesen TV3 menjadi penyiar rasmi konsert ini buat kali kedua, penyerahan tabung TV3 Bersamamu juga diadakan pada malam itu nanti,” katanya.

Bagi Amy pula, dia berasa terpanggil untuk menjayakan program bercorak keagamaan seperti itu kerana sedar ia bukan sekadar konsert biasa sebaliknya untuk mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Katanya, konsert ini juga akan memberi pengalaman berbeza daripada apa yang pernah dilalui sebelum ini dan jiwanya kini juga lain.

“Selain lagu duet dengan Rabbani lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, saya juga akan menyampaikan lagu solo tapi belum putuskan lagu yang akan disampaikan nanti.

“Mungkin lagu cinta yang saya akan pilih. Sebenarnya, lagu dendangan saya banyak yang ada mesej keagamaan yang tersirat di sebaliknya. Contohnya Mentari Merah Di Ufuk Timur yang mesejnya mengenai Hari Kebangkitan dan Meniti Titian Usang dengan mesej tersirat mengenai meniti titian Siratul Mustaqim,” katanya.

Sekalipun agenda seninya padat, Mawi juga tetap tidak ingin melepaskan peluang menjayakan konsert MSM 1430H itu. Sebelum ini Mawi tidak dapat menjayakan konsert ini kerana ada komitmen lain. Ia juga konsert pertamanya selepas berkahwin.

Mawi akan menyampaikan lagu duet dengan Rabbani berjudul Saksi yang juga dimuatkan dalam album terbaru Rabbani. Satu lagi lagu solo daripada album terbarunya dan satu lagu disampaikan beramai-ramai.

Sempena konsert ini, RPSB dan TM menganjurkan karnival di pekarangan Stadium Malawati. Pihak juga akan mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti kad i-talk, Streamyz Combo, pakej Let’s Talk danDEL, jam 10 pagi hingga 7 malam.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert ini boleh membeli kad i-talk edisi khas konsert pada harga RM10, RM30 dan RM50. Kad i-talk yang dijual di booth i-talk juga juga berperanan sebagai tiket masuk ke konsert ini.

Selain itu, orang ramai boleh membeli kad i-talk di beberapa TM Point di 12 lokasi terpilih seperti Kajang, Serdang, Pandan Indah, Ampang, Kepong, Rawang, Damansara Utama, Shah Alam, Menara TM, Setapak dan Muzium Jalan Raja Chulan serta RPSB sendiri. Sementara itu, sidang media konsert MSM 1430H turut disemarakkan dengan pelancaran album Nostalgia Nada Murni-Rabbani di restoran milik Amy di Wangsa Maju. Hadir sama, Naib Presiden Produk Marketing TM, Datuk Mohd Taib Hassan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: