Air Mata Mengalir Tiba-Tiba

13 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BARISAN tenaga yang menggerakkan Sirah Junjungan musim kedua.

Erma Fatima tunduk kepada emosi tatkala berbicara mengenai cabaran mementaskan Sirah Junjungan Tahajud Cinta

SUKAR untuk melihat air matanya menitis. Biar apa juga dugaan yang merintangi perjuangannya, sering terpamer di raut wajah Erma Fatima adalah gambaran kekuatan dan ketenangan seorang wanita yang tidak sesekali tunduk kepada dugaan.

Semua kekalutan yang mendepaninya cuba disembunyikan, tidak pernah sekali dikongsi meskipun ketika itu dia berperang dengan dugaan yang cukup hebat. Namun ketika menceritakan kekentalan semangatnya untuk mementaskan teater muzikal, Sirah Junjungan Tahajud Cinta, Erma tunduk kepada emosi.

Tidak mampu lagi membendung gejolak yang bermain di benak perasaannya, lalu perlahan air mata yang selama ini cuba dikekang gugur membasahi pipinya.

Suara yang pada awalnya mengalir tenang dan penuh kekuatan, mula bergetar menahan sebak. Namun, dia tidak membiarkan emosi mengawal diri sebaliknya dicekalkan hati untuk meneruskan ucapan.

Bagi Erma, apa yang dilaluinya hanya ujian kecil sedangkan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW menempuh dugaan lebih besar dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.


BIAR diuji pelbagai halangan, Erma teguh dalam usahanya untuk memuliakan Rasulullah menerusi Sirah Junjungan.

Dibandingkan dengan dugaan yang diturunkan Ilahi kepada Nabi Muhammad, apalah kesukaran yang ditempuhi Erma untuk kembali mementaskan muzikal Islam itu.

Kongsi Erma pada sidang media teater muzikal Sirah Junjungan, dia berdepan saat yang cukup menguji ketika pementasan itu berlabuh di Panggung Sari, Istana Budaya selama lima hari pada musim pertamanya bermula 19 Mac tahun lalu.

“Saya diuji dengan kehilangan ayahanda tercinta, Rahmat Ali ketika persiapan pementasan sedang berada di peringkat akhir. Hanya Allah yang tahu perasaan saya untuk meneruskan pementasan itu.

“Saya kembali diuji apabila pementasan itu tidak mendapat sokongan penajaan. Alasan diberi ketika itu negara baru selesai pilihan raya membuatkan saya hampir hilang kekuatan.


GANDINGAN Amy, Siti Nurhaliza dan Jamal turut mencurahkan keringat untuk pementasan Sirah Junjungan.

“Sampai satu peringkat, saya tidak mampu membendung lagi segala cubaan ini lalu saya ke Istana Budaya bertemu Ketua Pengarahnya, Mohammed Juhari Shaarani memaklumkan hasrat untuk menarik diri.

“Namun, menatap wajahnya membuatkan saya tidak sampai hati apatah lagi apabila mengenangkan beberapa pementasan lain turut dibatalkan berikutan tiada penajaan.

“Saya tidak mahu menghancurkan hatinya. Atas semangat dan harapan yang diberikannya, pementasan Sirah Junjungan tetap diteruskan meskipun ketika itu kami tidak punya dana yang cukup untuk menampung keseluruhan produksi,” katanya tanpa perlu lagi menyembunyikan segala kesulitan dan keperitan yang ditempuhi.

Enggan menoleh lagi kekalutan silam, Erma teguh menempuh badai dan sejak Oktober lalu, dia berazam untuk memulakan semula Sirah Junjungan dengan mengemukakan kertas kerja kepada 40 syarikat korporat.

Seperti pementasan pertama, percubaan kedua Erma juga tidak membuahkan hasil seperti yang diimpikan. Malah kertas cadangan yang dihantar sepi tanpa jawapan.

Namun jiwa penerbit wanita gigih ini tidak goyah dengan segala cubaan kerana bermula 9 Mac ini, selama dua minggu Sirah Junjungan akan kembali bersemayam di Istana Budaya.

“Saya tetap teruskan untuk memaparkan perjuangan dan pengorbanan Rasulullah demi Islam. Kekuatan itu hadir apabila saya merenung semula perjalanan hidup Rasulullag. Apalah sangat dugaan yang saya hadapi kerana gagal mendapat penaja.

“Alhamdulillah, dalam kegelapan ada sedikit sinar kerana usaha ini mendapat dokongan daripada Istana Budaya dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang begitu prihatin kepada pementasan seni Islam.

“Sokongan mereka memberi kekuatan kepada saya untuk memartabatkan teater Islam di lokasi persembahan bertaraf antarabangsa seperti Istana Budaya,” katanya.

Semangat itu, kata Erma, turut ditiupkan oleh teman yang bersamanya dalam membangunkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia ketika Islam dicabar dan diperlekeh oleh musuhnya.

“Apa yang berlaku membuatkan kita marah, melaungkan rasa tidak puas hati kerana Islam dan nabi junjungan dipersenda.

“Tetapi apakah yang kita lakukan untuk membuktikan kecintaan serta mempertahankan agama suci dan kekasih Allah?

“Saya percaya Sirah Junjungan dapat membuka mata, malah mengimbas semula keagungan serta perjuangan Rasulullah untuk membina satu umat yang teguh di bawah panji Islam,” katanya.

Akui Erma, sekali pun Sirah Junjungan terpaksa dipentaskan tanpa sebarang keuntungan dia reda kerana mahu orang ramai hadir menyaksikan sebuah pementasan yang menceritakan keagungan perjuangan Rasulullah.

“Mungkin saat ini saya gagal namun saya pujuk hati kerana ini jihad saya untuk Islam dan Rasulullah. Merealisasikannya memberikan saya kepuasan yang tiada tolok bandingnya.

“Dulu saya sering terfikir, wang bukan segala-galanya namun ketika menjayakan pementasan saya sedar tanpa duit, kita tidak mampu melakukan apa-apa.

“Tetapi saya percaya, Allah mendengar doa dan rintihan saya lalu Dia hadirkan ramai manusia yang ikhlas membantu untuk merealisasikan Sirah Junjungan,” katanya.

Pelancaran Sirah Junjungan disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memuji pendekatan Erma dalam memperluaskan risalah Islam.

Bagai terjawab doanya, rintihan Erma turut mendapat perhatian Zahid yang berjanji untuk membantu sedaya mungkin malah berharap usaha wanita itu akan dicontohi penerbit lain.

“Saya akan berusaha supaya penaja yang memberi sokongan terhadap pementasan ini diberi pengecualian cukai kerana apa dilakukan adalah untuk meninggikan syiar Islam,” katanya.

Gandingan penyanyi hebat

TIDAK seperti musim pertama yang hanya menampilkan Jamal Abdillah sebagai penyanyi utama, pementasan kali ini turut disokong tiga penyanyi popular lain iaitu Amy Search, Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza.

Erma berkata, selain menumpukan perhatian kepada set dan persembahan multimedia yang dipertingkatkan kehadiran tiga penyanyi ini diharap dapat menarik lebih ramai khalayak pencinta seni untuk sama menghayati Sirah Junjungan.

“Banyak kekurangan dalam teater ini kerana halangan utama adalah wang, namun kami berusaha keras memberikan yang terbaik dengan segala peruntukan yang ada.

“Jujurnya, kami hanya melakukan setakat yang termampu pada pementasan pertama tahun lalu. Namun tahun ini kami cuba mempertingkatkan aspek penerbitan dengan memberi penekanan kepada muzik, lagu serta barisan pelakon yang mantap,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan empat penyanyi ternama itu, Erma berkata, kesemua mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam industri hiburan.

Pengaruh besar mereka, kata Erma, mampu menarik khalayak ke Istana Budaya sekali gus memperlihatkan keprihatinan masyarakat untuk menggalakkan pertumbuhan pementasan bercirikan keislaman.

Jamal kata Erma, akan membuat persembahan dari 9 hingga 14 Mac, diikuti Siti Nurhaliza pada 18 hingga 20 Mac. Mawi pula akan muncul pada 21 Mac dan pementasan terakhir pada 22 Mac menampilkan Amy sebagai penyanyi utama.

Seperti kata Amy, persembahan dalam teater adalah satu daripada impiannya dan Sirah Junjungan memberikannya lebih emosi kerana menyanyikan lagu memuji Rasulullah.

Sirah Junjungan dipentaskan dari 9 hingga 22 Mac menampilkan nama seperti Ahmad Yatim, Mazlan Tahir, Vanidah Imran, Rebecca Nur Islam, Wong Sip Nen, Aman Graseka dan Shahronizam Noor sebagai pelakon utama.

Info:

Tarikh pementasan: 9 – 22 Mac 2009, jam 8.30 malam

Lokasi: Panggung Sari, Istana Budaya

Tiket: RM30, RM50, RM80, RM100, RM150 dan RM200

Pertanyaan: 03-41498600/03-41428035

Laman web: sirah@yayasansenikarya.com

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: