Interaksi: 'Kami Tidak Boleh Berundur'

11 Feb

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN

Rap
HASRAT yang baik bukan mudah untuk dilaksanakan apatah jika berkaitan perjuangan menegakkan syiar Islam. Ada saja halangan dan tidak banyak yang sanggup melabur harta dan wang ringgit ke jalan Allah.

Sebagaimana halangan kali pertama Sirah Junjungan – Tahajud Cinta dipentaskan tahun lalu, pementasan kali kedua sempena sambutan Maulidur Rasul juga menerima halangan dan dugaan sama iaitu tiada penaja.

Namun, pengarah teater itu, Erma Fatima pantang menyerah. Menerusi Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, sekali lagi teater itu akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), bermula 9 hingga 22 Mac ini.

Tidak mudah hendak mementaskan karya di IB kerana belanjanya bukan sedikit namun atas sokongan Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani, Sirah Junjungan dapat dipentaskan dua tahun berturut-turut.

Bagi menaikkan semangat tenaga produksi untuk meneruskan usaha murni ini, Erma tidak henti-henti mengkaji dan melihat semula getir hidup Rasulullah dalam usaha Baginda menegakkan syiar Islam. Bukan kepalang ujian diterima Rasulullah namun sedikit pun tidak mematahkan semangat juangnya.

Kekuatan Rasulullah menghadapi kaum kafir Quraisy menjadi tunggak kekuatan Erma dan mereka yang terbabit dalam pementasan itu. Erma mementaskan teater itu tanpa memikirkan keuntungan kerana apa dilakukan lebih kepada jihad menuju jalan Allah.

Untuk memancing penonton menyaksikan pementasan itu, Erma meletakkan barisan nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Amy Search dan Mawi untuk menyanyi sepanjang 13 hari pementasan. Wartawan Rap, NOR AKMAR SAMUDIN cuba menyelami suka duka Erma menjayakan pementasan kali kedua Sirah Junjungan dalam ruangan ini.

Soalan (S): Apakah halangan menerbitkan Sirah Junjungan kali kedua ini?

Jawapan (J): Sama seperti saya menerbitkan Sirah Junjungan pertama tahun lalu iaitu sukar mendapatkan tajaan. Untuk Sirah Junjungan yang bakal dipentaskan ini, saya sudah menghantar 40 surat memohon penajaan daripada syarikat korporat tetapi sampai kini tiada jawapan.

Namun, atas niat ingin menegakkan syiar Islam saya perlu teruskan apa yang sudah dirancang. Saya tidak boleh menjadikan ketiadaan penajaan itu satu halangan kerana saya tahu hasrat yang baik pasti akan mendapat bantuan Allah Taala.

Saya ingat lagi, tahun lalu ketika sibuk membuat persiapan akhir Sirah Junjungan, bapa saya meninggal dan negara kita sibuk membuat persiapan pilihan raya umum. Jadi macam mana saya hendak mendapatkan tajaan masa itu. Memang buntu hendak mencari sumber kewangan tetapi saya tidak boleh tewas dengan keadaan dan apa yang sudah dirancang terpaksa diteruskan meskipun tanpa penajaan. Oleh itu dengan sedikit kekuatan yang ada saya teruskan juga pementasan itu. Alhamdulillah ia berjalan dengan baik.

Begitupun, terlintas di hati untuk menarik diri dan ingin beritahu hasrat itu kepada Abang Jo. Kebetulan tahun lalu, banyak pementasan besar di IB juga menarik diri kerana tiada penaja. Selepas berfikir saya tidak sampai hati menghampakan Abang Jo kerana beliau antara yang paling banyak memberi semangat dan dorongan untuk mementaskan teater itu. Tak sampai hati saya hendak memberi alasan sama macam produksi lain iaitu menarik diri kerana tiada penaja. Saya tak mahu menghancurkan hati Abang Jo kerana ia juga seolah-olah menghancurkan hati sendiri. Sehubungan itu, saya teruskan juga pementasan itu. Tahun ini kami sekali lagi dibantu IB.

S: Bentuk bantuan diberikan IB?

J: Mengenai kos sewa Panggung Sari belum dirundingkan, tetapi yang pasti saya perlukan bantuan dari segi kepakaran dan tenaga kerja IB seperti pemuzik, artis tari, kostum dan set pentas. Tahun lalu IB adalah penerbit bersama Sirah Junjungan, jadi saya tidak begitu terbeban mengeluarkan bajet sewa panggung dan sebagainya. Saya berharap tahun ini pun sama juga kerana kos pementasan di IB sangat tinggi.

Selain itu saya juga mendapat bantuan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan harap Jakim sekali lagi dapat menghulurkan tangan meringankan beban saya ini. Saya dan kru penerbitan teater ini tidak boleh berundur kerana apa yang kami adalah untuk Rasul Junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Apa jua halangan pementasan ini mesti diteruskan supaya penonton dapat melihat perjuangan Rasulullah s.a.w yang melalui terlalu banyak halangan dan dugaan. Dengan itu juga saya minta jasa baik wartawan menguar-uarkan pementasan teater ini di akhbar kerana kami tiada duit hendak beli iklan. Pada pementasan pertama dulu pun, kutipan tiket hanya cukup untuk membayar pelakon saja. Bagaimanapun, saya berterima kasih kerana artis yang terbabit dalam pementasan ini tahu misi dan visi saya menerbitkan teater ini demi agama dan Rasulullah.

Inilah jihad saya terhadap Islam. Antara pengalaman ‘mahal’ yang dikutip mementaskan teater ini, jika dulu saya berasakan duit bukanlah

segalanya tetapi kini saya rasa perit tanpa duit. Tanpa duit tiada apa dapat dilakukan dengan selesa. Abang Jo pun ada beritahu, saya boleh minta apa saja dengan IB tetapi bukan duit kerana IB tidak berduit.

S: Kenapa program bercorak agama sukar mendapatkan penaja?

J: Sebabnya masyarakat Islam tidak menyokong antara satu sama lain. Sedangkan saat ini kita tahu Islam diperlekehkan bangsa asing dan kita marah. Bagaimanapun, dalam pada itu pun, untuk tujuan murni seperti ini kita masih sukar mendapat sokongan dan bantuan. Masyarakat Islam tiada penyatuan untuk kerja baik seperti ini.

S: Kelainan pementasan dan pemilihan pelakon kali ini?

J: Ada beberapa muka baru menggantikan pelakon terdahulu. Kali ini saya menampilkan Rabecca Al-Islam menggantikan tempat Elly Suriati dan Vanidah Imran (Vee) pula menggantikan Norish Karman. Rabecca sebagai Hendon iaitu musuh utama Rasulullah dan Vee membawakan watak Siti Khadijah. Tiada sebab lain cuma ingin memberi sentuhan baru kepada Sirah Junjungan kali ini. Jalan cerita tetap sama kerana sejarah Rasulullah adalah fakta yang tidak boleh ditokok tambah.

Jika Sirah Junjungan pertama saya tampilkan Jamal Abdillah untuk menyanyi kisah Rasulullah tetapi kali ini saya turut tampilkan Siti, Mawi dan Amy Search. Mereka akan muncul pada malam persembahan berbeza dan ia juga strategi untuk menarik orang ramai menyaksikan pementasan ini kerana saya yakin mereka mempunyai daya tarikan dan peminat sendiri.

Siti muncul selama tiga malam dan sebahagian kutipan pada malam persembahannya itu akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa dan Rumah Anak Yatim Bakawali. Universiti Multimedia juga banyak membantu untuk mencantikkan lagi set pentas.

S: Daripada seorang pelakon glamor kenapa sekarang beralih minat dan kecenderungan kepada perkara yang lebih Islamik?

J: Saya tengok kurang program agama jadi saya tak boleh tunggu orang lain buat. Ia juga persediaan saya menuju akhirat. Jika ada yang tanya kenapa saya beralih minat ia adalah kerana perlu lakukan sesuatu untuk agama saya. Tak ada tragedi yang menimpa sehingga saya mengubah haluan hidup. Apa yang saya lakukan bertitik tolak daripada kesedaran sendiri.

S: Harapan terhadap usaha anda ini?

J: Dengan usaha yang tidak mengenal jemu dan putus asa ini, saya berharap akan ada syarikat sudi menaja dalam apa segi sekalipun kerana apa yang dilakukan bukan untuk kepuasan sendiri tetapi bagi membela agama Islam yang kian dipandang serong. Saya pentaskan Sirah Junjungan bukan untuk buat duit. Ia adalah tanggungjawab saya sebagai umat Islam. Saya berharap kita sama-sama berasakan Sirah Junjungan milik kita dan bukan saya seorang.

Pelakon, penyanyi dan tenaga kerja teater ini juga sangat memahami tujuan Sirah Junjungan dipentaskan dan mereka tidak bertanya mengenai bayaran. Tidak seperti berlakon drama atau filem apabila mereka mendapat bayaran pendahuluan. Mereka kena tunggu habis pementasan barulah masing-masing dapat bayaran berdasarkan hasil kutipan.

Tahun lalu pun sama. Setiap malam kami kira duit kutipan untuk menjelaskan segala bayaran dan barulah bayar artis dan tenaga kerja. Walaupun tiada untung tetapi syukur kami tidak berhutang dengan sesiapa. Harap tahun ini pun begitu juga semoga Allah restui usaha dan perjuangan kami kerana saya buat untuk agama dan Rasulullah.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: