Duet Siti, Rabbani

8 Feb

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
SEJAK ditubuhkan, Rabbani membulatkan tekad menjadikan pentas hiburan sebagai landasan untuk mereka menyebarkan mesej keIslaman.

Selepas lebih tiga dekad memperjuangkan nasyid, jelas Rabbani terus gah di persada seni. Bagi mereka, pentas seni tidak terhad untuk hiburan semata-mata, sebaliknya ia turut menjadi medan terbaik untuk menyampaikan dakwah.

Untuk permulaan 2009, Rabbani bakal menyemarakkan Maulidur Rasul dengan sebuah konsert yang menghimpunkan artis popular di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 28 Februari ini.

Sebagai anggota Rabbani yang turut memikul tanggungjawab sama, Azadan menjelaskan, konsert berkenaan bukan untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia demi pengisian kerohanian umat Islam.

“Konsert dua jam itu bermula jam 9 malam. Antara artis yang turut membuat persembahan ialah Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Akhil Hayy, Datuk Siti Norbaiyah dan Rabbani.

“Menariknya, Rabbani akan mencipta sejarah tersendiri apabila bakal berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu Israq Mikraj. Insya-Allah, kami juga akan berduet dengan artis lain.

“Sebelum persembahan bermula, pengunjung juga akan diserikan menerusi persembahan marhaban dan berzanji daripada persatuan Sinar Murni,” katanya.

Tambah Azadan, acara sampingan seperti persembahan daripada Telekom (TM) selaku penaja, pertandingan marhaban kategori dewasa, pertandingan nasyid peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi serta cabutan bertuah akan diadakan pada hari sama bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

“Pada pagi itu juga, Inteam dan Far East turut sama memeriahkan acara dengan persembahan. Selain itu, kita akan mengadakan satu majlis rasmi penyerahan replika cek daripada pihak penaja kepada Tabung Bersamamu TV3,” katanya.

Yang menarik, persembahan konsert pada malam berkenaan akan turut dihiasi dengan paparan slide multimedia mengenai perjalanan Rasulullah sebelum baginda dilahirkan, ketika hayatnya dan selepas ketiadaan pesuruh Allah itu.

“Ini kali pertama kami memaparkan lakaran semula mengenai perjalanan dan penghijrahan Rasulullah SAW dalam bentuk yang sebenar dan diyakini. Malah, bahan untuk paparan itu diambil daripada sahabat kami dari Jeddah.

“Ia juga menceritakan detik bersejarah pembinaan Masjid Nabawi serta gambaran terletaknya rumah Rasulullah ketika itu,” kata Azadan.

Bagi mereka yang berminat mengunjungi dan menonton konsert berkenaan, tiket boleh didapati secara percuma dengan pembelian I-Talk keluaran khas bernilai RM10, RM30 dan RM50 di cawangan TM Point terpilih sekitar Lembah Klang.

Ia juga boleh didapati secara eksklusif dengan menghubungi Rabbani menerusi talian 03-62721225 atau menerusi laman web http://www.rabbani.com.my. Di samping itu, peniaga yang mahu membuka gerai atau menjual produk sendiri boleh menghubungi talian sama.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: