Rasa Takut Hanya Permainan Fikiran

2 Feb

Oleh
Abdul Rauuf Maskhazin
Pelajar Aljunied Al-Islamiah

CUBA anda teka, apa agaknya yang berbunyi, ‘dap dup dap dup’?

Aik! Bunyi kentutkah? Isy… Bedeklah bunyinya gitu.

‘Dap dup dap dup.’ Bunyi mercun? Hari Raya sudah habislah. Mercun Tahun Baru Cinakah?

‘Dap dup dap dup.’ Itulah bunyi jantung berdegup! Cuba anda dengar jantung anda. Berbunyi tidak? Kalau tidak dengar, cuba rasakan denyutannya dengan tapak tangan anda. Berdegup tidak? Kalau tidak juga… innalillah.

Bunyi jantung. Mungkin ada yang bertanya: Apa agaknya bahan yang si Rauuf hendak tulis kali ini ya?

Saya bukanlah pakar dalam bidang kedoktoran untuk membincangkan tentang masalah degupan jantung ini tetapi saya hendak kongsi dengan anda tentang waktu yang biasanya degupan ini boleh didengari.

Takut itulah waktunya. Kadangkala, saya berasa agak hairan mengapa kita berasa takut. Perasaan takut terhadap Pencipta alam maya ini mestilah ada dalam setiap diri seorang Islam. Buktinya, kita melakukan perintahnya dan meninggalkan larangannya. Walau bagaimanapun, saya bukan hendak perkatakan tentang takut terhadap Tuhan. Bukanlah tidak mahu tetapi ‘takut-takut’ tersalah. Iyalah, belum cukup kemahiran tersebut.

HANTU. Saya sengaja besarkan huruf-hurufnya. Itulah yang akan saya bincangkan pada kali ini.

Mungkin ada yang menganggap mauduk ini remeh untuk diperbualkan kerana tidak semua yang percaya kewujudannya tetapi tidak apalah. Pernahkah anda berdepan dengannya?

Walaupun saya belum pernah berdepan dari mata ke mata dengannya, perasaan seram tetap ada sampaikan pernah demam gara-gara tengok cerita hantu!

Gigi bertaring, muka bernanah, baju koyak rabak lagi berdarah, ulat keluar sana sini, rambut macam mi maggi, jalan terlompat-lompat dan macam-macam lagi.

Itulah dia gambaran atau imej sebuah lembaga. Takutkah anda padanya? Saya… err… boleh tahanlah.

Sebenarnya, faktor inilah yang boleh dikatakan punca terhadap takutnya kita pada hantu itu. Faktor yang dimaksudkan itu ialah daya fikir kita sendiri. Cuba anda bayangkan hantu itu secantik Siti Nurhaliza ataupun sekacak Anuar Zain.

Saya confirm, anda pasti tidak takut dengan hantu seperti itu. Bahkan, saya rasa, hantu yang takut dengan manusia. Bukannya apa. Manusia akan terkejar-kejarkan hantu-hantu seperti itu. He… he… he…

Selain daripada daya fikir kita, satu lagi faktor punca ketakutan adalah kegelapan. Kadang-kadang saya terfikir juga, mengapa agaknya hantu keluar pada malam hari? Mungkin waktu malam akan lebih membuat kita berasa seram dan takut!

Menurut Paul Arden dalam bukunya, God Explained In A Taxi Ride, ‘People are scared of the dark because they don’t know what’s there. As soon as they put the light on, they can see and feel safe.’

Jika diterjemahkan, ia bermaksud: ‘Manusia berasa takut terhadap kegelapan kerana mereka tidak tahu apa yang ada dalam kegelapan itu. Sejurus mereka membuka lampu, mereka boleh melihat dan berasa lebih selamat.’ Mungkin, ada benarnya kata-kata beliau. Kegelapanlah yang membuat kita berasa takut.

Daripada rencana saya yang pendek, sebahagian daripada pembaca mungkin menyatakan ‘Ia mengarut atau merapik…’ Tetapi mesej yang ingin saya sampaikan adalah fikiran kitalah yang menguasai kita.

Seperti dalam masalah takut dengan hantu ini, fikiran kita sudah dicemari dengan tanggapan bahawa hantu itu menggerunkan sebab itulah kita berasa takut.

Sekiranya kita tidak tahu-menahu tentangnya, tentu sekali kita tidak akan berasa takut.

Begitulah fikiran kita. Jika kita berkeyakinan dan berfikir bahawa kita boleh melakukan sesuatu itu walaupun sesukar manapun rintangannya atau halangan yang terpaksa dihadapi, kita pasti boleh melakukannnya dan ia berlaku sebaliknya jika kita rasa diri kita terlalu lemah dan tidak berdaya.

Jadi, mulalah untuk berfikiran positif!

Cyberita

2 Responses to “Rasa Takut Hanya Permainan Fikiran”

  1. nisa February 2, 2009 at 11:32 am #

    Salam

    Terima kasih kerana terkejar-kejarkan Anuar Zain & Dato Siti
    Kalau Sheikh Hamdan Al Maktoum & Haifa Wahbi entah bagaimana lagi
    Harapan saya, hentikanlah mengejar cantik2 ni
    Kaum yang tertindas di Palestin pun ramai yang lebih cantik

    Islam berkata manusia dinilai dpd amal
    Sepatutnya kaum x hensem yang terdahulu menyokong ini, kan
    (^-^)

  2. nisa February 2, 2009 at 11:34 am #

    Harap maaf jika mengusik
    Benar2 minta ampun
    Tapi kasihankanlah bagi mereka yang cacat
    Hidup di dunia yang obsesi cantik

Leave a reply to nisa Cancel reply