Bukti Selebriti Prihatin

2 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Farihad Shalla Mahmud
bhnews@bharian.com.my

caption image1

Artis, personaliti ketepi glamor untuk bantu insan malang di bumi Palestin

KARNIVAL Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 untuk Gaza jelas membayangkan betapa golongan selebriti tanah air begitu prihatin pada penderitaan yang dialami mangsa kezaliman tentera Israel di Semenanjung Gaza, Palestin, apabila hampir 100 insan popular tampil memberikan sokongan kepada acara kebajikan kelolaan kumpulan New Straits Times Press Bhd (NSTP) di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Dalam keghairahan penyanyi, pelakon, pelawak, pengacara televisyen dan penyampai radio berkenaan mengejar kejayaan dalam karier seni, jauh di lubuk hati, nasib malang insan lain tidak pernah dilepas pandang. Glamor bagi mereka hanyalah seketika, justeru sifat belas kasihan dan beramal itu lebih dimuliakan.

Lalu, sepanjang hari Sabtu lalu, kelihatan golongan terkenal ini basah bermandikan keringat tatkala menjual barangan peribadi, merayu pembaca, peminat atau pengunjung menghulurkan derma, serta berserak suara ketika mengajak khalayak membida pada acara lelong, semata-mata untuk sama-sama membantu penduduk Palestin yang ditimpa musibah.

Daripada sebungkus biskut sehingga gaun penuh labuci yang akhirnya mencecah RM4,000 apabila dibida, semua itu cukup bernilai kerana setiap sen yang disumbangkan, besar maknanya buat mangsa perang yang menderita.

Bagi Aznil Nawawi, pada ketika insan lain dilanda petaka, usah lagi diri mereka kini dianggap berbeza kerana hanya status artis yang dibawa.


AZEAN IRDAWATY bersama anggota keluarganya menyerahkan hasil jualan spageti kepada Pengarang Hiburan Berita Harian,
Hanizam Abdullah untuk dimasukkan ke dalam tabung NSTP untuk Gaza.

“Menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bukan hanya tanggungjawab insan biasa, tetapi golongan artis juga. Apabila setiap hari kita dihidangkan dengan berita mengenai penderitaan rakyat Palestin, kita tidak boleh lupa wajah sengsara mereka dengan begitu saja. Ketika inilah kami golongan artis juga memikul beban yang sama, sebagaimana insan lain.

“Apatah lagi golongan seni ialah mereka yang mempunyai jiwa cukup sensitif. Justeru, apabila usaha murni sebegini dianjurkan, seharusnya kamilah golongan yang lebih terasa dengan apa yang diperjuangkan, lalu sama-sama bangkit menghulurkan bantuan,”ῠkata Aznil yang melelong sehelai jaket pernah digayakan olehnya pada Anugerah Skrin.

Memuji usaha yang dikelolakan kumpulan NSTP, Aznil berkata, agak sukar untuk artis sama-sama tampil membantu secara berkumpulan sekiranya aktiviti amal sedemikian tidak dianjurkan. Dia amat berbesar hati apabila dapat turut serta mengajak orang ramai beramal demi menyatakan rasa keinsanan serta membantu golongan dalam penderitaan.

Turut sama melelong koleksi peribadi miliknya sebagai usaha membantu mengisi tabung NSTP Untuk Gaza adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Biarpun sebelum ini Siti banyak terbabit dalam acara seperti ini, namun menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia ini, majlis lelongan ini adalah acara amal membabitkan selebriti paling ramai yang pernah dihadirinya.


GELAGAT Mawi dan isterinya, ekin menjual ais krim menarik perhatian pengunjung.

“Siti gembira melihat ramai selebriti mengambil bahagian dalam acara ini. Walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza namun atas nama kebajikan mereka sanggup mengetepikan perbezaan itu,” katanya yang mengumpul sebanyak RM900 hasil lelongan dua helai jaketnya.

Sementara Mawi yang tidak menang tangan melayan peminat yang mengerumuni gerai aiskrimnya mengakui dia terharu dengan sambutan yang diberikan peminat terhadap hasil jualannya itu.

“Memang berdebar juga. Iyalah ini pertama kali saya muncul sebagai seorang suami dan sebelum ini memang ada yang kata selalunya lepas kahwin akan hilang aura. Tapi ternyata tidak. Banyak jugalah aiskrim yang berjaya dijual hari ini. Berkotak-kotak. Mungkin faktor harga yang murah membuatkan orang ramai berpusu-pusu beli.

“Situasi seperti ini membuatkan saya bersemangat untuk terus melakukan kerja amal. Selepas ini saya terbabit dengan satu lagi kerja amal iaitu konsert khas di Istana Budaya,” kata Mawi yang ditemani Ekin dalam acara itu. Pasangan pengantin baru ini juga baru saja pulang berbulan madu di Korea selepas berada di sana lebih kurang seminggu.

Corat coret Karinval Anugerah Bintang Popular berita Harian 2008 untuk Gaza:

SELAIN Misha yang hadir berimej baru, iaitu berambut lebih pendek, Eja juga tampil dengan rambut yang bukan lagi panjang mengurai. Sepatutnya Eja menjual kek bersama Fahrin, namun pasangannya itu hanya dapat hadir pada sebelah petang, bersama-sama Scha.

DI suatu sudut, peminat dapat bergambar bersama artis pujaan mereka dengan membayar hanya RM10. Antara pasangan selebriti yang menjadi perhatian peminat untuk bergambar ialah Fahrin-Scha, Zahid-Nita, Erra-Engku Emran dan Mawi-Ekin. Giliran Faizal Tahir pun tidak kurang menyaksikan peminat berbaris panjang menunggu giliran.

ALMY NADIA mempunyai cara sendiri untuk menggalakkan peminat menderma. Sesiapa yang ingin bergambar dengannya dikenakan bayaran RM1. Nampaknya cara itu berhasil menggalakkan pengunjung menderma. Dayang Nurfaizah juga turut menggalakkan peminatnya menderma sebelum bergambar dengannya.

BIARPUN tidak dapat menghadirkan diri, Rozita Che Wan tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan dalam bentuk cek bernilai RM1,000 yang dihantar melalui wakilnya.

SEHARIAN di Amcorp Mall, kebajikan artis dan petugas dijaga apabila beberapa restoran milik selebriti seperti Restoran Haslam milik Datuk Yusof Haslam, My Mom’s Chicken Rice (Linda Onn) dan Restoran Baso – Indonesian Cuisine (Sharifah Zarina) turut menaja makanan buat mengalas perut mereka.

PALING meriah adalah gerai penyanyi Diddy yang menjual album serta single terbarunya yang dinyanyikan secara duet bersama Nur Fatima berjudul Sudah. Kemeriahan itu berpunca apabila petugas melaung-laungkan keistimewaan yang bakal diperoleh pembeli apabila membeli album berkenaan walaupun semuanya itu hanyalah gurauan semata-mata.

LELONGAN pertama yang berjaya dibida pembeli adalah cermin mata milik penyampai Hot FM, Fara Fauzana bernilai RM120, manakala lelongan terakhir adalah peluang untuk berduet dengan penyanyi Faizal Tahir yang berjaya dibida dengan harga RM250.

PENGANTIN baru, Ekin turut kelihatan membantu suaminya menjual aiskrim dalam acara amal itu.Seperti biasa, pasangan ini tetap hadir dengan berpakaian sedondon.

ANTARA gerai yang menyumbangkan seratus peratus kutipan kepada tabung NSTP untuk Gaza ialah Casa Impian, Diddy, Amir Luqman, Liyana Jasmay dan Aizat, Hot FM, Kartel, Rosyam Nor, Jaclyn Victor, Misha Omar, Siti Sarah dan Akma AF3.

SELAIN Faizal, turut menghangatkan acara persembahan adalah Nabil, Meet Uncle Hussain, Atilia, Salamiah Hassan,Aizat, Ikhwal, Farawahida, Coda, Saerah, Saida, Sofaz, Kuman & Geng Jahat, Winnie K dan Anis Aneesa.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: