Zon Abie: Apabila Artis Bersatu

31 Jan

Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Kurang lebih tiga bulan kolum ini ‘beristirahat’, alhamdulillah kini bersiaran semula. Maafkan ‘kekurangan’ saya selama ini ekoran tidak dapat memenuhi tuntutan Zon Abie. Ramai juga yang bertanya, tetapi apakan daya belum waktu untuk kita bersua.

Mungkin penghujung Januari ini ‘jodoh’ sesuai untuk saya mulakan coretan Zon Abie.

Percayalah, semua ketentuan-Nya yang mempunyai hikmat di sebalik setiap kejadian. Bukan niat untuk bertazkirah, tetapi hakikatnya memang nyata yang kita lihat saban hari di depan mata sendiri.

Seperti apa yang kita lihat hari ini, kesengsaraan warga Palestin di Semenanjung Gaza akibat kekejaman manusia bangsa angkuh Zionis Israel. Dari jauh kita mendengar berita dan melihat gambar derita mereka yang terpampang di dada akhbar, didedah di kaca TV dan disebar melalui Internet.

Sayu dengan perkembangan tidak berperikemanusiaan ini. Sehingga kini sudah 1,285 nyawa penduduk Gaza termasuk 280 kanak-kanak melayang kerana serangan tentera rejim Zionis. Rejim ini dikecam dunia kerana ‘keseronokan dalam kerakusan’ mereka menghala senjata ke arah mereka yang tidak berdosa.

Pun begitu, nampaknya mereka tidak kisah, malah gencatan senjata yang diumumkan lebih seminggu itu dilanggar mereka.

Rasanya saya bukanlah yang sesuai untuk meneruskan isu ini di sini kerana saya percaya, setiap hari kita menerima berita sedih ini.

Namun saya cuba mengaitkan peristiwa ini dengan usaha beberapa kumpulan artis yang menyingsing lengan mencari dana bagi tujuan membantu mereka yang malang di bumi Gaza.

Baik para Artis Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) mahupun Erma Fatima melalui Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, masing-masing dengan tujuan yang satu – menambah tabung untuk Palestin.

Hari ini, bintang ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Mawi, Erra Fazira, Anita Sarawak, Aizat dan Meet Uncle Hussain antara yang turun ke Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya sehingga jam 6 petang ini.

Saya difahamkan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk lelongan barangan artis untuk mencari tambahan dana Tabung NSTP Untuk Gaza.

Esok dan lusa pula di perkarangan Istana Budaya, Erma dan artis-artis lain seperti (antaranya) Umie Aida, Zahida Rafik, Fazli Zainal, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Aqasha, Rabbani dan Jamal Abdillah tampil untuk membantu mangsa di Gaza.

Semuanya turun padang atas nama kemanusiaan sejagat. Saya melihat perkembangan ini sebagai suatu yang manis dan sihat bagi artis tempatan. Mereka tidak hanya melihat kesengsaraan manusia lain dari jauh, sebaliknya membantu semampu kudrat yang ada demi nilai kemanusiaan itu.

Alangkah lebih manis dan indahnya kalau kita terus bersatu sebegini.

Jarang untuk kita melihat artis bersatu berganding bahu kalau tiada apa-apa kejadian atau malapetaka. Inilah yang saya katakan hikmat di sebalik apa yang berlaku.

Bukan mendoakan atau meminta perkara yang buruk berlaku hanya semata-mata untuk mewujudkan ‘kesatuan’ artis, tetapi apabila adanya ujian Allah sebegini, pasti ada benda lain di sebaliknya.

Sehingga kini, walaupun 2009 sudah sebulan membuka tirai, saya percaya masih ramai artis kita yang terkepung dalam percakaran hati sesama sendiri. Ada yang tidak puas hati, ada yang sakit hati dan tidak kurang yang makan hati dengan kejayaan rakan seperjuangan.

Bukan semua, tetapi hakikatnya, kita selagi bernama manusia, selagi itulah kita dibelenggu dengan ketidakpuasan dengan apa yang ada. Sehingga timbul perasaan hitam dengki mendengki yang tidak berkesudahan dan membangkitkan puak-puak tertentu.

Wujud antara artis kita yang bangga diberi gelaran mulut lancang, mulut bertih dan mulut tempayan. Walhal kerana mulut itulah menularkan ketidakselesaan di kalangan yang lain baik yang mendengar mahupun yang dituju. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Mulut yang tidak dikawal inilah yang memecahbelahkan artis kita. Mereka bangga mencanang keburukan manusia lain tanpa menyedari satu jari yang ditunjukkan kepada seseorang itu dan empat lagi kepada diri sendiri. Mana lebih baik?

Mencanang keburukan orang juga seperti mempertikaikan kejadian ciptaan Allah. Sanggupkah kita menidakkan ciptaan-Nya? Sendiri mahu ingat! (Catatan ini juga untuk saya sendiri)

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: