Malam Puisi Untuk Palestin

20 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Trio Harmoni menanti tawaran rakaman album.

Zubir Ali akan laungkan semula lagu Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden

LAGU nyanyian mereka pernah mencuri perhatian peminat muzik tanah air suatu ketika dulu. Siapa sangka, hanya berbekalkan lagu berbentuk puisi, kumpulan Harmoni pernah mengecap kemanisan populariti suatu ketika dulu.

Lagu seperti Penantian, Balada Seorang Gadis Kecil cukup sinonim dengan mereka. Namun, jodoh kumpulan yang dianggotai Zubir Ali, Dzulkeflee Zakaria atau Joei, Ogy dan Azie ini tidak berpanjangan apabila tahun 1985 menyaksikan kumpulan ini mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Ada yang memberikan tumpuan terhadap kerjaya tetap, rumah tangga dan ada yang membawa diri berhijrah ke luar negara seperti Joei. Hanya yang kekal dan meneruskan perjuangan mereka dalam dunia seni adalah Zubir dan Azie, yang kini sering dilihat membuat persembahan di majlis makan malam bersama suaminya, Syed Sobrie.

Walaupun Harmoni sudah lebih dua dekad berkubur, namun semangat kumpulan ini masih lagi wujud. Lalu atas usaha pengasasnya, sekitar 2007, lahirlah kumpulan Trio Harmoni yang selain Zubir, ia turut dianggotai anggota asalnya Joei serta seorang vokalis wanita baru, Shafa’atusaara Silahudin atau Shafa.

“Kumpulan ini ditubuhkan kembali pada tahun 2007 iaitu selepas saya bertemu kembali dengan Joei yang pulang ke tanah air selepas lebih 20 tahun dia luar negara. Hilang tak dapat dikesan.

“Manakala Shafa pula adalah bekas pelajar saya sewaktu di Universiti Malaya dulu. Sebelum memilih dia menganggotai kumpulan ini, dia perlu menghadiri sesi uji bakat. Bukan saja dia dinilai dari segi vokal, tetapi juga dari segi disiplin serta ketahanannya untuk berdepan dengan dunia seni ini,” jelas Zubir ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Puisi Demimu Palestin di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sepanjang hampir tiga tahun ditubuhkan, menurut Zubir, Trio Harmoni banyak terbabit dalam persembahan nyanyian puisi dan mereka juga menunggu peluang untuk merakamkan lagu dalam bentuk album.

“Setakat ini lagu sudah ada, hanya tunggu tawaran untuk merakamkannya saja. Walaupun saya tahu keadaan pasaran kurang memberangsangkan, namun saya percaya lagu puisi masih ada penggemarnya,” kata Zubir yang sudah menghasilkan 200 buah lagu.

Mengulas pembabitannya dalam acara mendeklamasi puisi itu, Zubir berkata apa yang dilakukannya itu semuanya atas nama kemanusiaan sejagat.

“Ini bukan soal agama dan bangsa semata-mata. Agama apapun, dalam dunia ini menentang keganasan sesama manusia dan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam.

“Dan saya sendiri memang sudah lama mengecam tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini dengan mencipta lagu yang berkaitan dengan rakyat Palestin.

“Antara lagu yang popular adalah Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden. Lagu Tuan Presiden adalah lagu protes yang saya tujukan kepada kuasa-kuasa besar dunia yang memandang hal kekejaman tentera Israel ini sebelah mata saja,” jelasnya sekali gus melahirkan kekesalan di hati.

Malam Puisi Demimu Palestin sebagai manifestasi mengutuk tindakan kejam rejim zionis membunuh rakyat Palestin di Laman Santai, perkarangan Istana Budaya pada 23 Januari ini, mulai pukul 8.30 malam.

Selain Trio Harmoni, program bercorak amal itu turut menggabungkan tetamu kenamaan, penggiat sastera dan budaya serta artis popular tanah air.

Antara yang terbabit ialah penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Yusof Haslam, David Teo, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Puzi Hadi, Shukri Abdullah dan Rahimidin Zahari.

Malam puisi itu dianjurkan dengan dengan kerjasama Kementerian Luar; Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Perpaduan dan Warisan; Istana Budaya dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

INFO: Malam Puisi Demimu Palestin diadakan di Laman Santai, Istana Budaya pada Sabtu ini, 23 Januari, jam 8.30 malam. Ia diadakan secara percuma. Antara yang terbabit menjayakan Malam Puisi Demimu Palestin nanti ialah Datuk A Samad Said, Dr Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Puzi Hadi, Shukri Abdullah, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Siti Nurhaliza, David Teo dan Freddie Fernandez.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: