Hati Siti Mudah Tersentuh

19 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Siti Nurhaliza

Sedih bukan kerana gosip, tetapi melihat budak kecil jadi mangsa kekejaman Israel

HATI kecilnya begitu mudah tersentuh sejak kebelakangan ini. Bukan kerana gosip keretakan rumah tangganya tetapi kesedihannya itu berpunca apabila melihat serta mengenangkan sikap manusia ketika ini yang lebih kejam dari binatang.

Melihat wajah si isteri yang kehilangan suami, ibu kematian anak dan kanak-kanak kecil yang tidak berdosa menangis ketakutan dan kebingungan menjadi mangsa bedilan bom dan peluru tidak bermata gara-gara kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza, membuatkan perasaan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza semakin dibuai pilu.

“Memang setiap hari saya mengikuti perkembangan penduduk Palestin yang menderita di Semenanjung Gaza menerusi berita dilaporkan media cetak dan elektronik. Tidak dapat dinafikan setiap kali melihat wajah kanak-kanak yang tidak berdosa itu menjadi mangsa, Siti sedih sangat sehinggakan Siti berdoa semoga Tuhan turunkan bala buat tentera Israel itu sebagai balasan atas kekejaman mereka itu,” ujar Siti yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke 30, pada 11 Januari lalu.

Nyata, keprihatinan Siti terhadap isu itu bukanlah sekadar ikut-ikutan semata-mata tetapi penyanyi berdagu lekuk ini membuktikannya dengan menyokong usaha kerajaan memboikot produk Amerika Syarikat yang didapati menyalurkan bantuan kewangan kepada tentera Israel.

“Macam Siti sendiri, Siti turut memulaukan beberapa barangan yang sebelum ini Siti gunakan dalam kehidupan seharian. Dan kesempatan ini Siti ingin menyeru kepada rakan artis di luar sana untuk sama-sama membantu usaha ini.


Siti bersama komposer dan penulis lirik yang menyumbangkan karya dalam album Lentera Timur.

“Siti percaya, jika semua umat Islam di seluruh dunia bersatu untuk memboikot barangan terbabit, tentera Israel akan merasai kesannya,” kata Siti bersungguh-sungguh.

Jelas Siti lagi, usahanya itu tidak akan berhenti setakat itu. Katanya lagi, dia juga akan terbabit dalam sebuah majlis amal yang akan di adakan di Istana Budaya, 31 Januari ini bagi mengutip tabung untuk membantu mangsa kekejaman di bumi Palestin itu.

“Projek ini adalah naungan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan saya harap akan lebih ramai lagi rakan artis menyokong projek ini. Membantu rakyat Palestin bukan saja dari segi pemberian wang ringgit tetapi mereka boleh membabitkan diri dalam persembahan amal bagi mengutip dana,” katanya.

Siti yang anggun dengan busana mewah rona hijau, hitam rekaan Amir Luqman itu ditemui pada majlis pelancaran album album kontemporari tradisionalnya, Lentera Timur di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Rabu lalu.

Sebagai tanda prihatinnya juga, Siti menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) menyumbangkan RM2,000 untuk Tabung NSTP Untuk Gaza kelolaan The New Strait Times Press (M) Bhd (NSTP).

Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar menerima sumbangan berkenaan mewakili kumpulan NSTP.

“Setiap tahun syarikat Siti memang ada peruntukan sejumlah wang untuk membantu mereka yang memerlukan. Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa tapi syarikat ikhlas memberikannya.

“Mungkin selepas ini Siti dan suami juga akan menderma secara peribadi iaitu menerusi yayasan kami iaitu Yayasan Nur Jiwa nanti,”katanya.

Sanggup turun padang demi Lentera Timur

BARANGKALI tentu ada suara nakal yang akan mempertikaikan kenyataan penyanyi terkenal ini sanggup turun padang terutama di luar bandar semata-mata ingin mempromosikan album Lentera Timur.

Iyalah, mana mungkin Siti yang kini sudah berada di tahap diva masih ingin membuat persembahan seperti itu.

Bagaimanapun, menurut si empunya diri, dia tidak kisah untuk berbuat demikian asalkan buah tangan terbarunya itu berjaya mendapat sambutan.

“Mungkin Siti boleh bekerjasama dengan Jaya Jusco dalam soal ini. Lagipun tak salah rasanya untuk Siti berbuat demikian kerana inilah juga kesempatan Siti untuk bertemu peminat Siti yang sebelum ini begitu sukar untuk berjumpa Siti.

“Dalam keadaan pasaran album yang kurang memberangsangkan ini, Siti kena fikir banyak perkara dan andai benda itu mampu menarik minat pembeli, tak mustahil untuk Siti lakukannya,” kata Siti yang mensasarkan jualan Lentera Timur sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan.

Album terbitan SNP dan edaran Suria Records ini turut menampilkan lagu seperti Di Kayangan Kita (Johari Teh/Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/Amran Omar) Ada Masa Mata (M.Nasir/Ad Samad), Bulan Yang

Mesra (Khairil Johari Johar/Zubir Ali), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/Azam Dungun), Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali),

Senyum Minang Manis (Zul Mahat/Abot), Joget Menanti Kasih (S.Atan/Habsah Hassan) dan Di Taman Teman ( Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun).Dua lagi lagu yang dipilih ialah Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah) dan Cinta

ini, ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia Katon Bagaskara.

“Adalah menjadi impian Siti untuk menghimpunkan nama besar dalam album ini dan Alhamdulillah impian itu menjadi kenyataan dalam Lentera Timur.

“Siti juga berpuas hati dengan apa yang mereka hasilkan dan yang lebih membanggakan sembilan lagu dari album ini adalah ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal tanah air menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP-Berirama Malaysia bersama Siti Nurhaliza, Januari lalu,”cerita Siti lagi.

Ditanya apakah usahanya bagi memastikan lagunya itu disiarkan di stesen radio tempatan yang diketahui sejak kebelakangan ini tidak lagi memutarkan lagu berirama tradisional, Siti berkata dia sudah pun menyusun strategi bagi berdepan dengan perkara itu.

“Album ini berbeza dengan album tradisional Siti sebelum ini. Ia berkonsepkan tradisional kontemporari dan kebanyakan lagunya mempunyai sentuhan pelbagai. Walaupun melodinya berkonsepkan tradisional tetapi susunan muziknya tetap ada sentuhan moden,” kata Siti yang menggunakan “live strings” dalam album ini.

Berita Harian

2 Responses to “Hati Siti Mudah Tersentuh”

  1. uncle January 21, 2009 at 11:25 am #

    macam lah dia sorang tersentuh….kalau ambik laki org
    tidak tersentuh ke hati you?….mesti rasa terkilan jugak
    kan you

  2. handsome January 30, 2009 at 12:35 pm #

    macam nak masuk politik pulak dah……tak payah nak
    nasihat, org lain pon tau jugak….cakap pon bukannya ada modal pon…..dok cakap recycle je…..bukannya
    belajar takat PHD ke, master ke, diploma ke

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: