Siti Nurhaliza – Datuk K Berkucupan Setiap Pagi

12 Jan

Oleh MALIAH SURIP
maliah.surip@kosmo.com.my


“”HANYA Siti yang tahu manisnya menjadi isteri kepada Khalid,” kata Siti tentang keutuhan ikatan cinta antara dirinya dan Datuk K. “

KASIH sayang bagi pasangan ini bukan harta benda. Cinta mereka juga bukan kerana wang ringgit. Maka, apabila taufan datang dan terus menghempas bahtera rumah tangga tanpa lelah, mereka masih terus berdakapan. Masih utuh dan masih seperti dahulu.

“Masalah rumah tangga selalunya akan kami selesaikan secara baik di bilik tidur,” ujar Datuk Siti Nurhaliza tanpa selindung lagi.

Selepas tiga tahun bernikah dengan usahawan Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa, barangkali bukan sesuatu yang terlarang buatnya mengaku akan hal itu. Ia juga pernyataan yang cukup jelas melambangkan betapa mereka rasional berhadapan dengan fitnah yang tidak pernah surut menerjah tembok kebahagiaan.

Datuk K pula bercerita: “Setiap pagi, sama ada saya atau Siti, kami akan mulakan hari baru dengan satu kucupan dan ucapan I love you. Ia lambang kasih sayang kami.”

Ini adalah resipi kebahagiaan mereka. Ia bukan sengaja bagi menampan fitnah-fitnah yang hebat melanda. Ini adalah realiti, bukan sebuah dongeng.


“ROMANTIK. Rona putih dan merah jambu menjadi tema majlis hari jadi Siti yang ke-30. “

Biar bimbang banyak pihak tersalah tafsir, Siti akhirnya akur untuk membuka rahsia rumah tangga mereka kerana khalayak semakin galak bercerita yang bukan-bukan tentang kerukunan cintanya dan Datuk K.

Ia juga adalah rentetan daripada isu kononnya mereka sedang dalam proses penceraian. Fitnah itu nyata telah menyemarakkan sensitif dalam hati Datuk K sehingga memaksanya bersuara.

“Pada saya, fitnah itu sudah melampau. Saya begitu cintakan isteri saya. Saya tak mungkin berbuat demikian. Saban hari, kami bahagia dan tiba-tiba kami dikatakan bercerai.

“Dulu, saya fikir berdiam diri itu lebih baik. Namun impak negatif daripada penulisan seperti itu memberi tekanan buat kami. Jadi saya fikir saya perlu bersuara demi sebuah kebenaran dan kebaikan kami bersama” jelas Datuk K.

Dia yang segak berpakaian putih sempena meraikan ulang tahun ke-30 Siti di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa dekat Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu kemudian memberitahu, bukan dia tidak tahan dengan asakan gosip.


” ”

Malah sebelum bernikah dengan penyanyi tersohor negara itu, dia sudah memikirkan implikasi yang bakal dihadapinya.

“Hanya janganlah melampau seperti ini. Doakanlah kebahagiaan kami. Impian kami tahun ini juga untuk menimang cahaya mata. Doakanlah ya,” katanya lagi.

Siti yang manis dalam busana merah jambu asyik tersenyum dan mengangguk mengiyakan bicara suaminya. Matanya bercahaya. Ada cahaya cinta. Bibirnya tersenyum mekar, penuh bahagia.

Kemudian penyanyi yang baru muncul dengan album Lentera Timur itu mengambil alih bicara. Katanya, dia memang bahagia. Orang boleh berkata yang kelat tentang rumah tangga mereka. Namun sebagai isteri yang tidur sebantal dan hari-hari berhadapan dengan lelaki ini, kata Siti, dia yang berasa manisnya.

“Siti bahagia. Tiga tahun hidup bersama, suami Siti adalah pelengkap hidup Siti. Hanya Siti yang tahu manisnya menjadi isteri kepada Khalid.

“Malah Siti bersyukur kerana keluarga mentua juga menerima dan menjaga Siti dengan baik. Tidak ada hal-hal negatif seperti yang difitnah orang,” jelasnya yang arif mengenai onak yang akan ditempuhinya selagi bergelar anak seni.

Majlis penuh romantik

Diraikan oleh keluarga dan sahabat terdekat dalam suasana intim dengan tema putih dan merah jambu, nyata majlis ulang tahun yang diilhamkan Datuk K buat Siti malam minggu lalu membangkitkan romantis tak terperi.


“BERKONGSI minat yang sama mengumpul jam tangan, Siti dan Datuk K melihat setiap detik mereka bersama sebagai sesuatu yang bermakna untuk diraikan. “

Alunan muzik dan nyanyian silih berganti daripada teman-teman artis seperti Syed Sobry dan isterinya Azie, Diana Danielle, Imran Ajmain serta teman-teman media pula mewujudkan suasana santai yang menceriakan majlis serba sederhana namun penuh bermakna itu.

Siti sendiri mengaku dia malu apabila parti ulang tahun kelahirannya kali ini dihiasi belon. Pemilihan warna merah jambu yang cukup jarang digayakannya pula, kata Siti, memberi dimensi baru saat dia melangkah usia 30 tahun.

“Ia seperti warna seorang wanita,” katanya yang kemudian menyambung cerita tentang impian ulang tahunnya. “Siti bersyukur dengan semua pencapaian yang pernah Siti lalui selama ini.

“Jadi apabila memasuki fasa baru ini, Siti hanya berdoa agar menjadi manusia yang lebih baik dan mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Signifikan seutas jam

Tanpa berselindung, Datuk K memberitahu, dia menghadiahkan isteri kesayangannya itu seutas jam buatan Switzerland sempena ulang tahun ke-30.

Saat ditanya signifikan seutas jam buat Siti, kata Datuk K, mereka berdua begitu meminati jam tangan. Sebagai pengumpul jam, dia juga menyimpulkan bahawa setiap detik masa yang berlalu dan bakal ditempuhi mereka adalah amat bermakna untuk diraikan bersama.

“Sebenarnya Siti tak minta apa pun, kecuali kasih sayang yang berpanjangan daripada Datuk K. Tapi apabila dia nak bagi Siti jam, Siti terima kerana Siti juga memang suka pakai jam,” katanya yang turut pernah dihadiahkan seutas jam sempena ulang tahun perkahwinan mereka tahun lalu.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: