Siti Rela Turut Kehendak Suami

9 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sebagai isteri saya harus menuruti kata suami walaupun sebenarnya belum sedia berhenti menyanyi,” kata penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, mengulas gosip yang melanda rumah tangganya sejak akhir-akhir ini.

Siti berkata, dia belum bersedia meninggalkan bidang seni dan masih mahu berbakti kepada industri.

“Bagaimanapun, saya perlu mematuhi keputusan suami jika itu dirasakan tepat dan terbaik untuk menghentikan segala fitnah ditaburkan terhadap rumah tangga kami.

“Datuk K ada menyuarakan pandangan kepada saya supaya berhenti menjadi ‘public figure’ Rabu lalu, tetapi saya memujuk dan memintanya bertenang.

“Kemudian kami berbincang bagaimana cara terbaik menghentikan sebarang gosip,” katanya dalam sidang media bersama suami tercinta, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K di Balai Berita di sini, malam tadi.

Sejak kebelakangan ini, gosip tersebar luas di media cetak dan Internet mengenai keretakan rumah tangga mereka.

Antara dakwaan yang dibuat pihak tertentu, Siti sudah memfailkan perceraian, bahkan turut menyebut Datuk K menghadiahkan sebuah kereta mewah jenis BMW kepada seorang pelakon yang juga bekas pramugari.

Penyanyi yang baru melancarkan album tradisional, Lantera Timur, itu turut melahirkan simpati terhadap suaminya gara-gara gosip itu yang mencalarkan imej serta kredibiliti Datuk K sebagai seorang ahli perniagaan.

Datuk K yang berada di sisi Siti pula mengakui, dia meluahkan pandangannya itu kepada Siti kerana tertekan dengan spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

“Sebelum ini, media pernah mengusik saya dalam ruangan gosip, tetapi saya tidak pernah mengendahkannya atau melenting. Bagaimanapun, tuduhan kami bercerai sesuatu yang melampau.

“Untuk pengetahuan, sepanjang perkahwinan kami tidak pernah bergaduh kerana Siti seorang yang sangat bertoleransi. Saya amat menyayangi isteri saya, saya bahagia dan gembira bersamanya.

“Untuk lukakan hati dia, nauzubillah saya tidak akan sekali-kali melakukan perkara itu. Sebab itu saya tidak faham kenapa orang memfitnah saya kononnya ada ‘affair’ dengan perempuan lain sedangkan boleh dikatakan setiap masa Siti ada bersama saya,” katanya.

Datuk K berkata, cerita tidak berasas yang disebarkan membuatkan dia sering menerima pandangan serong, terutama daripada golongan wanita serta peminat Siti.

“Saya selalu berurusan dengan pihak kerajaan serta swasta, jadi setiap kali mengunjungi jabatan kerajaan mahupun syarikat pasti ada melihat saya dengan wajah sinikal, terutama orang perempuan,” katanya.

Datuk K juga menegaskan, jika penyebaran fitnah mengenai rumah tangga mereka berterusan, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan maruahnya.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang jika berita yang disiarkan tidak benar dan mengaibkan maruah saya.

“Di sini saya merayu kepada pihak media seandainya mereka ingin menulis sesuatu berita yang diambil daripada Internet, bertanyalah kebenaran itu kepada kami terlebih dulu sebelum menyiarkannya,” katanya.

Berikut temubual wartawan dengan Siti

WARTAWAN (W): Sepanjang perkahwinan, Datuk pernah mencurigai suami?

SITI (S): Setakat ini, belum pernah kerana suami saya seorang yang jujur. Sebelum berkahwin lagi sampailah sekarang dia tidak pernah berahsia dengan saya.

W: Datuk Khalid dikaitkan dengan ramai artis wanita antaranya pelakon Rozita Che Wan, adakah Siti kecewa dan berhasrat menemui wanita yang dikaitkan dengan suami?

S: Waktu gosip dengan Rozita tersebar, Siti sebenarnya tidak kisah kerana menganggap ia satu lagi gosip yang sengaja diada-adakan. Malah, sedikitpun tiada perasaan marah pada Rozita dan tidak pernah terniat untuk berjumpa atau ingin menghubunginya kerana saya merasakan tiada apa yang perlu diselesaikan.

W: Siti langsung tidak tertekan?

S: Siti sudah lalui banyak benda dan sudah lali dengan gosip. Cuma apabila membabitkan perkahwinan, ia sangat sensitif kerana rumah tangga membabitkan perasaan dua insan, orang yang kita cintai malah, mengheret sama nama keluarga kedua-dua belah pihak. Tambah membuatkan Siti sedih, isu sebegini diperbesarkan padahal tiada apa-apa yang berlaku.

W: Bagaimana reaksi keluarga mendengar cerita seperti ini?

S: Keluarga alhamdulillah, mereka dapat menerima kerana mereka tahu gosip yang disebarkan tidak benar. Mak mentua Siti sendiri tinggal dengan Siti dan dia tidak pernah bertanyakan apa-apa kerana dia tahu bagaimana hubungan kami. Tekanan mungkin datang apabila kawan rapat dan kenalan yang asyik bertanyakan sejauh mana kebenaran cerita ini sampaikan ada yang sanggup ke rumah kami untuk melihat sendiri apa yang terjadi.

W: Siti ada mengesyaki sesiapa yang menjadi dalang menyebarkan berita tidak berasas ini di Internet?

S: Tidak baik kita mengesyaki orang. Tapi Siti sedar ramai tidak senang dengan perkahwinan kami. Entahlah, kadang-kadang itu orang yang baik dengan kita pun boleh buat cerita.

W: Bak kata orang, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Begitu juga dengan gosip yang tersebar di laman web, pasti ia dari sumber tertentu. Apa komen Siti?

S: Siti akui sesetengah cerita di Internet ada kesahihannya, namun dalam hal rumah tangga kami tidak benar sama sekali. Ada pihak cuba ambil kesempatan menjadikan kami bahan untuk dipersendakan. Kami adalah mangsa keadaan.

W: Gosip ini tersebar di saat Siti melancarkan album terbaru, Lantera Timur. Barangkali ada orang terdekat sengaja mereka gosip ini untuk meraih publisiti?

S: Siti tidak pernah guna cara kotor untuk dapatkan publisiti dan itu bukan cara Siti bekerja. Bagi saya cara sebegitu sedikitpun tidak membantu melariskan jualan album, sebaliknya membuatkan orang terus lupa mengenainya.

W: Pesanan Siti kepada mereka yang menyebarkan fitnah?

S: Sudah-sudahlah, henti-hentikanlah memfitnah rumah tangga kami. Hukum memfitnah orang, besar dosanya. Benarkan kami hidup seperti orang lain. Selain itu, Siti juga mengharapkan jasa baik pihak wartawan supaya bertanyakan kesahihan sesuatu gosip kepada kami terlebih dulu sebelum menyiarkannya.

Harian Metro

3 Responses to “Siti Rela Turut Kehendak Suami”

  1. hanis January 11, 2009 at 4:22 pm #

    satu kehilangan besar wat kite kalo siti benti nyanyi. tapi sokong dengan siti sbg tanda protes kpd orang yang buat fitnah tu. wartawan selalu buat cerita tak betul sbb nak femeskan diri sendiri. Bukan ada bukti pun. Suka-suka je nak wat fitnah.

  2. preston January 13, 2009 at 2:33 pm #

    bini mithali ke?

  3. Puteri Dhayana January 14, 2009 at 9:44 am #

    Satu kehilangan besar kalau CT betul2 nak bersara dari menyanyi hanya kerana gossip2 yang melanda rumahtangga beliau akhir2 ni.
    Datuk K seharusnya telah lama bersedia dengan perkara sebegini semasa mula2 beliau ingin memperisterikan CT yang sememang artis dan menjadi perhatian masyarakat.
    Sebagai masyarakat yang hidup dizaman serba canggih ini janganlah menokok tambah perkara yang mereka masih kurang pasti.Biarlah mereka berdua menangani masalah mereka seperti pasangan2 lain.
    Betul atau salah semua tu bukan kita yang menaggungnya, ct atau datuk K juga yang merasainya sendiri.
    Jadi jangan kepoh boleh tak.

    Tetap mahukan ct masih meneruskan karier beliau dengan restu suami.
    Wartawan pun memainkan peranan penting, kalau cerita tu cerita yang sama n masih samar2 ceritanya tak payahlah anda siarkan hanya kerana nak melakukan suratkhabar kalian.

    Jangan marah sekedar nak cakap secara general sebab kadang2 kesian jugak kat artis2 yang asyik kena aje, walaupun tak dinafikan kekadang memang mereka yang mahukan semua tu,Tapi tak semuakannnnnnn.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: