Sabar Senjata Siti

9 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Siti Nurhaliza

Sudah 14 tahun dalam dunia seni, penyanyi pujaan ramai ini berpegang kepada resmi padi, semakin tunduk makin berisi

KEMBARA seni figura terkenal tanah air ini sudah melewati angka 14 tahun apabila 2009 datang menyingkap tirainya. Sepanjang tempoh itu terlalu banyak kenangan manis dan pahit dilalui penyanyi yang begitu pemurah dengan senyuman ini.

Suka dan duka silih berganti. Gosip, kontroversi, sensasi sentiasa menjadi rempah ratus dalam kehidupannya. Namun biar dilanda badai, nama Datuk Siti Nurhaliza masih tetap ampuh serta teguh berdiri menjadi sebuah monumen.

Datanglah berapa ramai penyanyi baru pun, namun sehingga kini masih belum ada satu pun yang mampu menggantikan tempatnya. Jauh sekali untuk bersaing kerana apa saja yang membabitkan Siti Nurhaliza, rezeki selalu saja berpihak padanya.

Ada apa dengan Siti sehingga dia diangkat sebegitu rupa. Apakah kerana kelunakan suaranya atau kerana personaliti yang dimilikinya membuatkan sehingga kini peminat masih sayang lagi padanya. Duduk bersembang bersama penyanyi itu di satu petang yang hening dan mendamaikan memberi peluang kepada penulis mendasari hati wanita ini.

Banyak yang dibualkan termasuk soal kerjaya dan kisah peribadinya yang sehingga kini masih tidak jemu-jemu didamba peminat. Hadir ditemani pengurus yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak serta dua pembantu peribadi, Siti yang sudah siap berdandan begitu rancak bercerita sekali gus membongkar satu demi satu kisah hidupnya sebagai tatapan pembaca setia Hip.

Biarpun ada di antara pertanyaan agak sensitif namun Siti tetap Siti, setiap pertanyaan dijawab sebaik mungkin tanpa sebarang rungutan atau menunjukkan reaksi kurang senang. Barangkali itulah kelebihan Siti membuatkan dirinya terus disenangi dan menjadi kesayangan ramai sehingga kini.

Mencungkil rahsia lebih sedekad bergelar anak seni, Siti berkata pengalaman banyak membantunya menghadapi pelbagai halangan yang merintang. Hanya pengalaman dan berbekalkan kesabaran saja membuatkan dia berjaya merentasi kesukaran itu.

Masih terbayang bagaimana Siti terpaksa berdepan dengan ujian hebat, sejak melangkahkan kakinya ke bidang seni hinggalah berdiri kukuh di tempatnya sekarang. Dari kisah enggan bergambar dengan artis lelaki hinggalah kontroversi rumah tangganya yang dikatakan berantakan, semua itu ditangani Siti dengan penuh ketenangan.

“Siti akui bukan mudah untuk sampai ke peringkat seperti ini. Laluan Siti penuh dengan ranjau dan duri. Pelbagai cabaran terbentang di depan mata. Namun apabila Siti mengambil keputusan untuk mencari rezeki dalam bidang ini, Siti harus bersedia menempuh pelbagai halangan termasuk dilanda pelbagai gosip panas.

“Namun senjata Siti adalah kesabaran. Malah itulah yang Siti praktikkan dari mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini sehinggalah sekarang. Kalau bukan kerana sabar sudah lama Siti berundur dalam bidang ini,” ujar Siti mengimbas memori lalu.

Mungkin apa yang dilakukan Siti ini boleh menjadi contoh kepada penyanyi generasi baru supaya mereka tidak lekas melenting apabila ditegur media. Seelok-eloknya pesan Siti, ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi, bukan resmi lalang, tegak berdiri bukan saja tiada isi tetapi juga tiada pendirian.

Begitupun bukan sekadar kesabaran yang menjadi benteng, kata penyampai lagu Biarlah Rahsia ini kerana beliau juga beruntung dengan apa yang dikecapinya kini adalah berkat daripada kerja keras mereka yang berada di sekelilingnya.

“Syukur alhamdulillah kerana sepanjang perjalanan karier Siti selama ini, semuanya berjalan dengan baik. Siti kuat untuk terus berada dalam bidang ini semuanya kerana mereka yang berada di sekeliling Siti.

“Keluarga Siti, suami, kakitangan SNP, media dan peminat, mereka ini banyak berjasa kepada Siti. Mereka ini menjadi pemangkin dan sayap Siti. Jadi Siti amat berterima kasih pada mereka,” ujarnya dalam nada teruja.

Selamat datang usia 30

PADA Ahad ini, bersamaan 11 Januari Siti akan menyambut ulang tahunnya yang ke 30 dan Hip menyambutnya lebih awal dengan menyediakan kek untuk penyanyi ini sewaktu sesi fotografi ini dijalankan. Jika insan lain agak bimbang dan sedih untuk meninggalkan usia 20-an namun perkara itu tidak berlaku kepada isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini.

Jelas Siti dia amat menanti-nantikan usia 30 kerana baginya, usia itu melambangkan kematangan dalam dirinya.

“Ia bagaikan satu peningkatan dalam diri Siti dan paling penting Siti dapat rasakan tahap kematangan Siti semakin meningkat. Dulu Siti masa masih bergelar pelajar, rasa tak sabar nak capai usia 21 tahun kerana ingin mendapatkan kunci kebebasan.

“Tapi yang lebih seronok apabila mencecah usia 30 ini adalah Siti semakin memahami selok belok industri seni dan banyak menimba pengalaman baru terutama dalam dunia perniagaan.

“Dan yang lebih membuatkan Siti teruja adalah Siti berjaya menunaikan impian untuk mengerjakan haji sebelum usia mencecah angka 30. Itulah juga impian Siti paling besar yang dimakbulkan Tuhan,” cerita Siti sambil menghirup minuman sejuk yang terhidang di depan mata.

Menyedari yang kerjaya seninya agak perlahan sekitar tahun lalu, Siti juga berazam untuk memacu kariernya dengan lebih laju tahun ini apatah lagi apabila album terbarunya yang berkonsepkan etnik kontemporari sudah pun berada di pasaran 26 Disember lalu.

“Tahun lalu Siti memang banyak memberi tumpuan kepada kehidupan berumah tangga dan menyesuaikan diri dengan status sebagai seorang isteri. Jadi dengan kehadiran Lentera Timur nanti, Siti akan lebih aktif dan Insya-Allah Siti akan berusaha menunaikan hasrat peminat supaya mengadakan konsert.

“Bagaimanapun, untuk tahun ini, menerusi badan amal Yayasan Nur Jiwa, Siti akan mengadakan persembahan berbentuk majlis makan malam. Untuk acara amal itu, Siti kini sedang berusaha mencari penaja untuk majlis itu nanti dan harap ia akan mendapat sokongan mana-mana syarikat korporat supaya acara itu menjadi kenyataan,” kata Siti sambil memberitahu yang dia masih belum membuat keputusan sama ada untuk membuat majlis sambutan ulang tahun atau tidak tahun ini.

Album duet dengan Krisdayanti

HUBUNGAN antara Siti dan penyanyi dari seberang ini begitu erat bagai isi dengan kuku, sesuai dengan gelaran diva yang diberikan peminat kepada mereka berdua. Bukan saja cantik, malah mereka berdua juga mempunyai vokal yang cukup hebat dan populariti mereka masih di kemuncak walaupun kedua-duanya sudah bergelar isteri.

Justeru bagi mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin serta mengukuhkan lagi jambatan persahabatan antara mereka, Siti berkata dia dan Kris akan dipertemukan dalam sebuah album duet.

“Album ini macam projek khas dari kami. Sebenarnya sudah lama terdetik untuk menghasilkan album istimewa ini cuma pada ketika itu Kris masih lagi terikat dengan syarikat rakaman Warner Music.

“Kini kontrak dia sudah tamat dan sekarang bernaung di syarikat sendiri. Jadi inilah masanya kami tunaikan impian kami,” ujar Siti mengenai album yang akan diterbitkan secara usaha sama antara komposer Malaysia dan Indonesia ini.

Apa kata Siti Nurhaliza Tudung dan bertudung – Siti sedar ramai yang mempertikaikan cara pemakaian tudung Siti. Tapi seperti yang pernah Siti katakan sebelum ini, biarlah Siti pakai apa yang Siti rasakan selesa. Mungkin ini satu permulaan buat Siti sebelum Siti membuat perubahan yang lebih besar ke atas tudung Siti

Anak – Sehingga kini Siti dan suami tidak pernah jemu berusaha. Kalau masa mula-mula dulu Siti begitu tertekan dengan soalan mengenai zuriat, kini tidak lagi. Bagi Siti, itu semua urusan tuhan.

Kurus – Siti memang hendak kurus dan ini semua berlaku kerana Siti menjaga pemakanan dan bersenam. Siti tak melakukan proses sedut lemak seperti yang digembar-gemburkan. Ini pun salah satu doa Siti ketika menunaikan haji tahun lalu.

Gosip – Perkara lumrah bagi artis dan Siti sudah bersedia menghadapinya sejak bergelar anak seni. Bagi Siti, gosip tidak akan ada hentinya.

Lentera Timur – Sebuah hadiah yang cukup istimewa untuk peminat selepas empat tahun tidak muncul dengan album berkonsepkan tradisional. Biarpun ia berkonsepkan etnik kontemporari namun ia masih mengekalkan ciri-ciri tradisional di dalamnya.

ABPBH 2008 – Satu acara yang mengangkat populariti artis berdasarkan pilihan pembaca. Perlu diteruskan kerana bukan saja memberi pengiktirafan pada artis tapi turut menjadi medan mengeratkan hubungan artis dengan peminat mereka.

Berita Harian

2 Responses to “Sabar Senjata Siti”

  1. hentam January 10, 2009 at 4:12 pm #

    syabas ni fesyen ala2 orang Eurasian kat Melaka. kalau diorang joget2, tutup kepala tiga suku ni memang tak tinggal. keep it up tok ti!

  2. kekwa January 12, 2009 at 4:27 pm #

    Perasan je lobih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: