Lagu Selesa Hampakan Juri

7 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

HATTAN tidak berpuas hati dengan persembahan peserta pada minggu ketujuh.

Liza Hanim dan Hattan mahu peserta MyStarz LG bawa lagu yang lebih mencabar

TUJUH minggu bersiaran, lapan peserta masih meneruskan perjuangan namun perjalanan panjang itu belum memadai untuk mengangkat prestasi mereka ke tahap yang diharapkan.

Itu yang berlaku pada persaingan minggu ketujuh Konsert My Starz LG yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad lalu apabila kebanyakan peserta gagal memberikan persembahan meyakinkan serta memuaskan hati juri profesional.

Apa yang menghampakan dua juri tetap, Liza Hanim dan Hattan apabila kebanyakan peserta salah memilih lagu, bahkan masih bersandar kepada lagu selesa yang langsung tidak memberi cabaran dalam penyampaian mereka.

Di sebalik kelemahan itu, Liza mengakui, kebanyakan peserta semakin prihatin dengan teguran yang diberikan malah cuba memperbaiki kekurangan pada persaingan bertemakan Cinta itu.

“Perubahan memang jelas tetapi agak mengecewakan apabila persembahan peserta pada minggu ini kurang memberangsangkan. Mereka tahu di mana kemampuan sebenar tetapi entah kenapa masih enggan mencuba lagu yang lebih mencabar.


MIMIE bangkit
daripada kelemahan
dan tampil meyakinkan
dengan Janji Kekasih.

“Ramai memilih lagu yang selesa untuk dinyanyikan tanpa menyedari ini adalah pertandingan di mana mereka harus membuktikan segala kelebihan yang ada,” kata Liza.

Pandangan yang sama turut dikongsi Hattan yang menyelar peserta kerana enggan keluar daripada kepompong keselesaan mereka.

Beberapa peserta seperti Wana atau nama sebenarnya, Noriezuana Syed Shafudin umpamanya, kata Hattan, mempunyai julat suara yang besar malangnya enggan mencuba lagu yang menguji kemampuan sepenuhnya.

Lagu Rembulan nyanyian asal Krisdayanti yang menjadi pilihan peserta dari Skudai, Johor itu disifatkan Hattan tidak mempunyai sebarang keistimewaan walaupun Wana memiliki mutu vokal membanggakan.

“Kebanyakan peserta memilih lagu yang selamat menyebabkan persembahan pada malam ini hanya seperti sebuah showcase. Tidak nampak kesungguhan mereka untuk menonjolkan kekuatan vokal walaupun mempunyai peluang melakukannya,” kata Hattan.

Penyanyi berpengalaman itu turut menyelar kecenderungan peserta memilih lagu penyanyi dari Indonesia, sedangkan komposisi tempatan juga mempunyai pelbagai pilihan lagu yang mencabar kekuatan vokal.

Menyifatkan tiada peserta yang menawarkan persembahan mengujakan, Hattan berkata, peserta perlu bijak menggunakan kesempatan yang ada dan mempamerkan kelebihan bakat yang mereka miliki.

Pada malam persembahan yang menampilkan Elyana sebagai artis undangan, kelebihan berpihak kepada Mohd Azri Abdullah atau Azri yang membawakan lagu Sempurna daripada Andra & The Backbone apabila dipilih juri memenangi Persembahan Terbaik.

Kemenangan itu memberi ruang selesa kepada peserta berusia 21 tahun itu kerana terselamat daripada penyingkiran pada minggu akan datang.

Andai Azri berada pada kedudukan selesa, nasib tujuh peserta lain pula masih terumbang-ambing namun finalis seperti Mimie dan Wana dijangka akan terselamat berdasarkan kepada prestasi persembahan yang dipamerkan.

Liza sendiri menyifatkan Mimie atau nama sebenarnya, Norshamimi Ahmad Haris menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding persembahan minggu lalu.

Biarpun tidak terlepas daripada melakukan kesilapan terutama dari segi pernafasan, Mimie yang memilih Janji Kekasih dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza berjaya menyuntik penghayatan dan tenaga dalam persembahannya.

Agak malang bagi Fiona Anak John Nolly atau Fiona kerana Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa yang menjadi pilihannya kurang berkesan, membuatkan dia kemungkinan berada pada kedudukan bahaya.

Juga kurang berjaya memberi persembahan mengesankan ialah pemenang Persembahan Terbaik pada minggu lalu, Wan Nashrinie Zafri atau Nashrin yang memilih lagu Anuar Zain, Ketulusan Hati.

Juri jemputan, Adnan Abu Hassan menegur Nashrin supaya memilih nada lagu bersesuaian dengan kemampuan suaranya untuk menampilkan nyanyian selesa.

Hattan juga memberikan pandangan yang sama kerana setiap minggu katanya, Nashrin berdepan masalah terutama ketika melontarkan suara pada bahagian korus lagu.

Mohd Hairi Kenneith (Hairi), Mohd Faoruk Jayfiena Ermand (Feroq) dan Cassandra Daniel Manja atau Cassie turut berdepan masalah dalam persembahan mereka, namun apakah penonton akan terus memberikan peluang kepada mereka bertiga?

Selain juri yang mewakili 70 peratus pemarkahan, 30 peratus lagi diputuskan penonton menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: