Menaruh Harapan

6 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Riz dan Alyah.

Pertama kali digandingkan, Riz dan Alya berharap semuanya itu memberi tuah dalam dunia muzik

KOMPOSER Ajai menyatukan mereka buat julung kalinya. Ia seperti medan paduan antara Alyah dan Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz.

Lagu Ku Pinjam Satu Bintang menjadi pertaruhan Ajai buat mereka untuk dinyanyikan bersama dan klip videonya sudah dirakamkan di Jakarta pada Ogos lalu diarahkan Hedy Suryawan.

Sekali pandang, klip video itu persis gaya nyanyian Marcell dan Shanty dalam lagu Hanya Memuji.

Namun bukan hal itu yang mahu diperbesarkan sebaliknya keserasian Alyah dan Riz mengalunkan lagu itu wajar dipuji. Tidak salah percaturan Ajai menggabungkan mereka kerana komposer itu sendiri menyedari keserasian suara mereka.

Seperti Alyah, Riz juga menggunakan khidmat Ajai untuk menjadikan album sulungnya yang berkonsepkan pop berada di pasaran awal bulan ini. Menurut Riz, empat lagu sudah siap dirakamkan iaitu Bermula Semula, Harus Ku Yang Pergi, Hanya Sandiwara dan lagu duetnya dengan Alyah.

Di sebalik populariti dan tuah yang dikecapi menerusi program AF6, Riz masih gigih mengharungi kerjaya nyanyiannya.

“Saya ada menerima tawaran berlakon drama tapi belum bersedia lagi. Saya tidak mahu terkejar-kejar membuat dua perkara dalam satu masa. Biar saya fokus kepada nyanyian dulu dan apabila sudah betul-betul stabil barulah saya mencuba bidang lakonan,” kata Riz yang pernah menganggotai kumpulan Equal Star.

Mengenai Alyah, Riz mengakui tidak berapa biasa mendengar nama dan kelibat penyanyi yang mula melakar dunia seni sejak menjuarai pertandingan Bintang HMI 2000 ini.

“Apabila diberitahu Ajai berkenaan perancangan dengan Alyah, saya memang agak risau pada mulanya kerana belum pernah mendengar suaranya. Bimbang juga sama ada suara kami sesuai untuk digandingkan bersama.

“Banyak perkara berlegar-legar di fikiran saya, namun hasilnya kini ia sangat membanggakan. Dia (Alyah) memang sangat baik, peramah dan berbakat besar. Suaranya lantang, namun sebelum ini dia tidak mempunyai tuah untuk bersinar.

“Jujur memang saya takut juga berdepan dengan keadaannya yang belum berjaya untuk menyinar. Bayangkan dia yang sudah lama berada dalam bidang ini tetapi masih menghadapi kesukaran. Malahan dia sering dianggap seperti penyanyi baru pula. Tapi dia patut bersyukur kerana ketika berdepan dengan pelbagai masalah, abangnya pula sudi menerbitkan album untuknya,” kata Riz.

Tabah hadapi pelbagai dugaan

BAGI Alyah, dia berbangga kerana digandingkan dengan Riz. Menurutnya, ia satu peluang keemasan dan hanya menanti keajaiban untuk dirinya sendiri mengharapkan sinar baru dalam dunia yang diceburi ini.

Kata Alyah, album terbarunya yang menggunakan judul Alyah mengambil masa hampir setahun dan berkat bantuan serta inisiatif abangnya, Bob atau Muhammad Fazdil, dia kini merealisasikan impiannya yang sering terbantut.

Penyanyi berusia 27 tahun ini mengharungi perjalanan seni yang sangat berliku-liku. Pelbagai usaha dilakukan tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Alya pernah menyertai pertandingan realiti One In A Milliom musim pertama, tetapi tersingkir pada minggu keempat program itu.

Dia kemudian hampir menyertai kumpulan One Nation Emcee untuk bertanding dalam program Gang Starz musim kedua. Namun, pelbagai masalah timbul sehingga Alya berdepan dengan keadaan yang sukar menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Penyanyi ini juga pernah terbabit dengan Fabolous Cats untuk projek album sulung berjudul Fantastik tetapi sekali lagi terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan.

Selain kerjaya seninya, Alya juga menghadapi kisah peribadinya yang menyedihkan. Hubungannya dengan Irfan, jejaka Indonesia yang bekerja di Malaysia hanya bertahan selama tiga tahun. Jalinan cinta itu hampir mekar ke gerbang perkahwinan, namun entah apa silapnya beberapa hari sebelum kahwin, ia berakhir tanpa diduga.

“Hubungan Alyah dengan Irfan berjalan lancar tapi jodoh kami tak kuat untuk terus bersama. Tiba-tiba ia tak menjadi dan dia hanya mampu berkata kami sudah tidak serasi untuk meneruskan hubungan ke peringkat seterusnya. Ketika itu hanya tuhan saja yang tahu betapa pedih dan hancurnya hati Alyah.

“Selama ini apa yang Alyah lakukan tidak pernah berkesudahan dan Alyah sudah serik hingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Bukan terpalit dengan soal kerjaya dan perkahwinan yang tak menjadi, Alyah juga mengalami masalah kesihatan gara-gara memakan pil kurus,” katanya.

Berputus asa dengan pelbagai masalah yang dihadapinya, Alya memutuskan untuk berehat bersama keluarganya di Johor dan menguruskan kafe yang sudah beroperasi selama lapan bulan.

“Kafe itu berkonsepkan restoran dan karaoke yang kini diuruskan oleh kakak Alyah sebab Alyah kembali meneruskan kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Menidakkan apa yang berlaku kepadanya umpama badi, Alyah berpendapat mungkin belum rezekinya untuk terus menyerlah. Dia menyedari ada banyak kesilapan yang sudah dibuat, lalu peluang dan kesempatan baru ini perlu diambil dan dipergunakan sebaik mungkin.

Menurut Alyah, dia bersyukur dan bangga kerana mempunyai abang yang memahami keinginannya untuk menjadi penyanyi berjaya lalu membantu sebaik mungkin sehinggalah terhasil album yang dimilikinya sekarang.

“Ini peluang kedua dan mungkin terakhir Alyah untuk terus menyinar. Alyah mahu membuktikan kepada semua orang bahawa diri ini memang bersungguh-sungguh. Tawaran abang ini wajar Alyah ambil demi memperbetulkan keadaan dan memperkenalkan diri semula. .

“Mungkin juga selama ini nasib dan rezeki tak pernah berpihak kepada Alyah dan Alyah lihat ada juga artis yang sudah meningkat umur seperti Rozita Che Wan masih mampu meledak. Ia bergantung kepada tuah dan Alyah akan terus mencuba dan mencuba,” katanya yang kini mendapat sokongan 100 peratus daripada abang dan keluarganya.

PROFIL: Alyah Nama penuh: Noor Hasliah Abu Hasan

Tarikh lahir: 3 Januari 1981

Asal: Gelang Patah, Johor

Hobi: berenang, memasak, menyanyi dan mengembara

Idola: Celine Dion, Aishah, Sheila Majid dan Anita Sarawak

Pencapaian muzik Juara wirawan EON (1994) Juara Bintang Pepsi (1996) Juara Suara Johor (1997) Naib Johan Asia Bagus (1998)

PROFIL: Riz AF6 Nama Penuh: Mohammed Idris Mohd Zaizizi

Tarikh lahir: 19 Disember 1986

Asal: Gerik, Perak

Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia musim keenam Pernah menganggotai kumpulan Equal Star dan pernah menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama

Laman web: rizfc.forumotion.com

Ingin berduet dengan: Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Anuar Zain

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: