Rabbani Aktif Aktiviti Sosial

5 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Kumpulan nasyid popular teruja menjayakan kegiatan mendekati masyarakat

SEJAK awal penubuhan lagi, kumpulan nasyid popular, Rabbani membulatkan niat di dalam hati untuk memanfaatkan pentas hiburan sebagai landasan menyebarkan mesej keislaman.

Berpegang kepada hadis Nabi SAW, “Sampaikan dariku walaupun hanya satu ayat”, Rabbani menggunakan segala aktiviti serta kebolehan untuk menyalurkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat menerusi lagu yang dibawakan.

Bagi mereka, seni juga berupaya menjadi landasan untuk mendekatkan diri kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti hiburan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengarah Urusan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd merangkap ketua kumpulan nasyid itu, Ustaz Asri Ibrahim berkata, mereka mula aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 1997.

Pelbagai aktiviti seperti kem percutian ketika musim persekolahan dan kegiatan kemasyarakatan lain, Rabbani berharap dapat menyumbang sesuatu kepada komuniti atas kapasiti populariti yang dicipta dalam bidang seni.

“Bagaimanapun, apabila Rabbani sudah mula sibuk dengan pelbagai undangan persembahan aktiviti seperti itu perlahan-lahan lenyap.

“Namun, kami sangat berterima kasih kepada Counsellor Worldwide (M) Sdn Bhd yang melihat keupayaan serta pengaruh Rabbani untuk dimanfaatkan dengan perlantikan sebagai duta modal insan.

“Tawaran yang diberikan memang dinanti Rabbani dan kami berharap dapat menjalankan segala perancangan dengan baik, malah membawa lebih ramai anggota masyarakat untuk terbabit sama dalam aktiviti seperti ini,” katanya.

Ditemui pada sidang media Perlantikan Rabbani Sebagai Duta Modal Insan dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Rabbani Productions (M) Sdn Bhd dan Counsellor Worldwide (M) Sdn Bhd, Ustaz Asri menyifatkan perlantikan mereka bukan melambangkan Rabbani sudah sempurna atau contoh layak dijadikan contoh terbaik.

Bagaimanapun, sebagai anggota masyarakat mereka cuba memainkan peranan dengan mempamerkan akhlak yang dapat dicontohi, di samping memanfaatkan populariti yang ada untuk berkongsi pengalaman dengan kelompok berminat.

“Perlantikan Rabbani juga menjadi permulaan kepada rakan artis lain untuk sama-sama menjayakan aktiviti seperti ini kerana selebriti itu sendiri ialah ikon dan idola masyarakat,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, Rabbani akan terbabit dalam pelbagai aktiviti yang dirangka Counsellor Worldwide, bahkan kekuatan serta pengalaman Ustaz Asri dalam mengendalikan pelbagai siri motivasi sebelum ini memberi keyakinan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

Pengurus Pemasaran Rabbani Productions, Azadan Abdul Aziz berkata, mereka dilamar sebagai duta modal insan Ramadan lalu selepas Counsellor Worldwide melihat sendiri perjalanan serta cara Rabbani menangani peminat dalam setiap persembahan.

Hasil perbincangan, Rabbani akan terbabit dalam empat aktiviti utama yang menumpukan kepada kelompok sasaran itu remaja di bangku sekolah dan penuntut institut pengajian tinggi.

Selain itu, mereka juga akan meluangkan masa dalam pelbagai aktiviti lain mengikut kesesuaian waktu.

“Dalam setiap siri program, Rabbani tidak akan terbabit sepenuhnya sebaliknya tanggungjawab itu akan dikongsi bersama penceramah lain yang mengkhusus kepada topik perbincangan.

“Komitmen kami lebih sebagai fasilitator, di samping menitikberatkan perkara asas dalam kehidupan insan seperti memperbetulkan solat dan hafazan yang menjadi faktor penting untuk seseorang insan menempa kejayaan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Azadan berkata, sebelum ini ketika menjayakan siri persembahan mereka turut mengambil kesempatan bertemu dengan peminat dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Biarpun hanya dijalankan pada waktu singkat, namun Rabbani terharu dengan maklum balas yang diterima malah ada yang terbuka dan sedia berkongsi masalah dengan mereka.

“Daripada situ, kami terfikir untuk memanfaatkan hiburan dalam menyalurkan mesej kerohanian kerana tiada siapa menafikan akan keperluan hiburan dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Album nostalgia dan konsert besar

BERALIH perbualan kepada karier seni, Asri berkata, mereka akan muncul dengan album baru iaitu rakaman semula lagu popular ketika bersama Nada Murni atas permintaan peminat.

Mengangkat judul, Nostalgia Nada Murni pembikinan album yang memuatkan 10 lagu itu sudah lama diusulkan peminat, cuma menanti masa yang sesuai untuk direalisasikan.

“Ketika itu, kami masih mempunyai kontrak bersama syarikat rakaman dan mereka sendiri mempunyai perancangan untuk Rabbani. Tetapi apabila bergerak sendiri, ia lebih memudahkan kami untuk memenuhi keinginan Rabbani serta peminat.

“Biarpun dirakamkan semula namun album ini tetap mengekalkan elemen nostalgia, bahkan susunan muziknya juga ringkas dengan tumpuan lebih kepada permainan perkusi.

“Begitu juga dengan penghayatan, kami tidak mengubahnya hanya kerana mahu memenuhi kehendak khalayak semasa. Elemen nostalgia ini memberi sesuatu yang berbeza untuk album terbaru Rabbani,” katanya mengenai produksi edaran Inteam Records itu.

Selepas menganjurkan Malam Sinar Maulidur Rasul, siri kedua konsert itu akan kembali menemui peminat di Stadium Malawati, Shah Alam bersama barisan artis Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Amy Search, Akhil Hayy dan Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood.

Sesuatu yang menarik bakal menanti pada malam 28 Februari itu, Rabbani dijangka akan berduet dengan penyanyi wanita popular itu untuk mengajak khalayak menghayati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: