Impian Mawi Tercapai

3 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KEHADIRANNYA dinanti peminat yang membanjiri Padang Awam Taib Andak, sejak petang lagi meskipun kelibat pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin muncul kira-kira jam 11.40 malam pada konsert yang dinamakan Gempak Rewang Mawi & Ekin yang berlangsung Sabtu lalu.

Mengubat penantian hampir 5,000 penduduk kampung termasuk peminat yang menantinya sekian lama, Mawi akhirnya menghiburkan mereka dengan dua lagu. Salah satunya daripada album Qasidah keduanya, Ana Habibi dan satu lagi, Angan dan Sedar yang disampaikan bersama artis jemputan.

Pemuda kelahiran Felda Taib Anak itu menyatakan persembahan yang diadakan sempena perkahwinannya bukanlah konsert peribadi. Bagaimanapun, Mawi berbangga dapat menjayakan konsert berkenaan meskipun tidak terbabit membuat persembahan secara menyeluruh.

Bagi Mawi, konsert itu ibarat mimpi jadi kenyataan kerana sudah lama sebenarnya mengimpikan sebuah persembahan besar diadakan di kampung halamannya.

“Saya berterima kasih kepada Astro kerana jika tidak kerana usaha mereka, mungkin perkara ini tidak jadi kenyataan.

“Tidak dilupakan juga pihak Maestro, artis yang terbabit, penaja dan terutama sekali penduduk Felda Taib Andak yang terbabit menguruskan persiapan majlis selama dua hari ini (konsert dan persandingan),” katanya.

Gempak Rewang Mawi & Ekin, dikelolakan bekas peserta Raja Lawak iaitu Along daripada kumpulan Cham, Angah dan Mie. Acara nyanyian diserikan dengan persembahan bintang realiti Akademi Fantasia (AF), Farah AF2, Zahid (AF2), Yazer (AF3), Faizal (AF4), Nadia (AF6), Toi (AF6) dan Zila (AF4).

Persembahan pembukaan dimulakan pemain angklung negara, Toi yang membawakan lagu, Hanya Kau Yang Mampu dipopularkan Aizat (AF5) dan Panahan Asmara.

Diikuti Zila yang melontarkan suara merdunya mirip Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Pastikan dan Zapin Usik Mengusik yang disampaikan bersama tiga pengacara majlis.

Acara diteruskan apabila pengacara mengundang empat penonton lelaki dan dua perempuan naik ke pentas dan meminta mereka melakukan aksi silat pulut sementara Zila dan Angah menjadi pengantin olok-olok.

Sesudah itu, majlis diteruskan lagi dengan acara hiburan iaitu persembahan daripada kumpulan 3G dianggotai tiga kanak-kanak perempuan cukup berbakat besar. Difahamkan mereka juga adalah peminat setia Mawi.

3Gs yang membawa maksud ‘glamour, girls dan gorgeous’ menyampaikan lagu Di Akhir Garisan yang pernah dipopularkan Nora, Ning Baizura, Ziana Zain dan Desy Fitri termasuk Dokter Cinta, lagu hit kumpulan Dewi Dewi.

Yazer mencuri tumpuan menerusi lagu Cinta Zaman Berzaman dan Ada. Walaupun kurang sihat, penyanyi itu berjaya memberi persembahan bertenaga. Cuma cara nyanyian dan bahasa tubuhnya terlalu dipengaruhi M Nasir.

Daripada ‘slow rock’ beralih kepada muzik yang lebih rancak dan segar dengan persembahan itu ditangani Nadia membawakan lagu Kalut Lagi Mengarut sebelum kembali semula pada genre sebelumya, melalui lagu Dua Insan Bercinta,

dipopularkan ratu rock, Ella.

Sekian lama menyepikan diri, bekas juara AF4, Faizal yang kelihatan sedikit susut, muncul membuat persembahan sempena malam ‘tribute’ buat pasangan mempelai. Faizal menyampaikan lagu Malam Kekasih dan Joget Kenangan Manis.

Kemudian, segmen sketsa sekali lagi mengambil alih pentas namun kali ini membawakan tema Joget Lambak yang mengundang penonton terdiri daripada empat wanita.

Dalam kerancakan pengacara dan penonton bergurau senda, tidak semena-mena ‘speaker’ yang berada di tengah pentas terjatuh hingga membuatkan sebahagian penonton khususnya di barisan hadapan terkejut.

Selain pengacara yang bertindak cemerlang kerana berjaya menghidupkan suasana, sekali gus memecahkan kesunyian malam, pujian juga harus diberikan kepada Fara AF2 yang cukup bijak berinteraksi dengan penonton ketika menyampaikan lagu Gembira Hidup Ini dan Koi Mil Gaya.

Suasana romantis menyelubungi Felda Taib Andak, apabila pasangan bercinta, Zahid dan naib juara Malaysian Idol, Nita berpadu suara mengalunkan lagu popular Ari Lasso/Bunga Citra Lestari, Aku Dan Kamu.

Nita yang jauh lebih tinggi daripada teman lelakinya itu hampir hilang tumpuan dan seakan mahu ketawa dengan usikan buah hatinya.

Persembahan yang berlabuh sekitar jam 12 malam itu turut menyaksikan Zahid dan Nita menyampaikan lagu solo masing-masing. Zahid mendendangkan lagu Cik Mek Molek sementara Nita mempertaruhkan Bintang.

Semua artis yang terbabit dalam persembahan malam itu antara rakan artis yang dekat di hati Mawi. Harian Metro difahamkan, wujud rasa kurang senang di kalangan segelintir penduduk kampung dengan pihak Maestro.

Melalui kain rentang yang tertera di sebuah kedai berdekatan padang, mereka menyatakan semua perancangan majlis bukan di bawah urusan Maestro.

Punca sebenar kekeliruan ini tidak dapat dipastikan tetapi sepanjang konsert berlangsung, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Bahkan suasana malam di Felda Taib Andak terus rancak dengan persembahan tradisional masyarakat Johor, ‘kuda kepang’.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: