Jarus Emas: Wartawan Kena Lick

28 Dec

oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

Rap
IKUT kata hati, nak saja pergi majlis nikah Mawi dan Ekin. Jika majlis kahwin artis popular begini, saya tidak kisah korbankan status, sebaliknya sedia memerah keringat bersama ‘anak buah’.

Ketika Datuk Siti Nurhaliza bersanding dengan Datuk K di Kuala Lipis, saya dijemput sebagai tetamu, tetapi sengaja gatal nak rasa bagaimana wartawan sekarang buat liputan kahwin artis ‘top’.

Lagipun dah lama saya tidak turun padang. Suasananya tidak jauh berbeza dengan pelbagai liputan majlis kahwin artis dan selebriti lain yang pernah saya buat pada era 1980-an dan 1990-an. Peminat barangkali tidak tahu betapa sukar dan peritnya buat liputan artis ternama berkahwin seperti Mawi atau Siti.

Baca akhbar, tatap majalah dengan gambar warna warni, nampak seperti mudah bahan disajikan itu. Hakikatnya jika hanya serbu tembok ke majlis artis ternama kahwin, kempunan atau gigit jarilah wartawan berkenaan, apatah lagi bagi pihak yang mensyaratkan tag atau tanda nama pada wartawan.

Saya kaitkan hal kahwin artis popular ini berikutan timbul kekecohan pada majlis nikah Mawi dan Ekin di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru. Bukan mahu menangguk di air keruh, namun apa terjadi boleh kita ambil iktibar, terutama wartawan generasi baru dengan pihak yang mempunyai hak ekslusif.

Saya mula dimaklumkan tindakan tuan rumah tidak benarkan wartawan TV3 ke majlis akad nikah melalui SMS seorang VVIP dari stesen swasta itu. Ikutkan saya tidak kena mengena dengan majlis itu, tetapi dek SMS serta kekecohan terjadi, tidak pasal-pasal saya kena pantau keadaan dari KL.

Penerbit Melodi, Nas Ahmad, mula bertanya apakah saya ada di Johor Bahru atau KL, sebabnya satu sesi interbiu akan dibuat bersama pengarang hiburan akhbar tempatan berikutan kekecohan yang tercetus.

Selang kemudian Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah, mula bertanya apa yang berlaku di majlis Mawi dan Ekin. Dia pula ada di Kuala Kangsar, semestinya saya di KL yang kena.

Untuk mengulas sesuatu isu tanpa mengetahui situasi sebenar, kalut dibuatnya. Apatah lagi ia membabitkan stesen lain iaitu Astro, tidak dapat tidak komen diberi umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak. Sama ada TV3 dan Astro harus dijaga.

Saya hubungi wartawan hiburan Harian Metro (HM), Rudy Imran di lokasi untuk mengetahui apa sebenarnya terjadi. Jelasnya, pihak HM dan akhbar serta majalah lain tidak pula dihimpit masalah.

Malah, kata Rudy, mereka semua mendapat eksklusif sepanjang majlis itu. Sebaik diminta komen program Melodi, yang saya jelas, apa terjadi pada majlis itu lebih kepada perang media elektronik, bukan cetak. Dulu TV3 dapat hak eksklusif ke atas Siti, kini giliran Astro dengan Mawi.

Cuma dalam menangani situasi begini, bagaimana kedua-dua stesen gergasi ini dapat menanganinya secara lebih rasional supaya tidak merugikan bukan saja stesen itu, bahkan peminat kedua-dua pihak.

Sekalipun Mawi dilahirkan melalui Akademi Fantasia dari Astro, pada waktu sama usah lupa peminatnya di TV3 juga mahu menonton detik bersejarah itu, tambahan pula Mawi finalis Juara Lagu.

Cuma saya tidak dimaklumkan, kekecohan wartawan itu terjadi di Masjid Abu Bakar. Dulu Siti nikah di Masjid Wilayah Persekutuan. Bila masjid diperdagangkan dek tuntutan komersial atas hak eksklusif, seharusnya kita menuntut pihak jabatan agama memikirkan kembali apa yang kena dan tak kena.

Fitrah orang Melayu itu menjunjung adat. Yang dituntut dalam majlis kahwin adalah ziarah menziarahi, tentulah sesuatu yang aneh dalam masyarakat kita bila terlalu banyak artis dicap hak eksklusif, penyudahnya tanpa disedari kita sendiri yang mengorbankan nilai murni dalam budaya kita.

Saya berpendapat, katakan jika ada artis terkenal lain seperti Mawi dan Siti (nampak belum ada) bernikah kelak, pihak yang ada hak ke atas artis berkenaan cubalah mengatur majlis itu bukan di tempat membabitkan orang ramai seperti masjid, paling sesuai di dewan dan afdal di rumah saja.

Pihak media yang membuat liputan besar begini, patut rangka strategi Plan A, B dan C sebelum melangkah. Umpama dalam kes Mawi dan Ekin, saya difahamkan seorang wartawan wanita cuba memberi tagnya pada wartawan TV3 kerana dapat berasakan pihak itu pasti menghadapi masalah.

Malangnya pihak itu tidak mahu mengambil tag kerana yakin mendapat ‘lampu hijau’, penyudahnya diberi ‘lampu merah’. Apabila peluang Plan A sudah tiada, harapan perlu ada untuk Plan B dan C.

Saya tidak tahu cara wartawan TV bertugas, tetapi sekadar berkongsi info mengenai cara dapatkan banyak bahan membabitkan artis terkenal berkahwin. Ketika majlis sanding Siti di Kuala Lipis, saya hantar dua wartawan, Yani dan Nasif. Untuk ‘back up’, dua wartawan dari Kuantan turut bekerjasama.

Belum pun tiba Kuala Lipis, saya boleh kumpul banyak bahan rencah sebab saya ke sana secara konvoi dengan dua ‘bodyguard’ Siti. Oleh kerana mereka khuatir saya sesat, saya dibekalkan walkie talkie. Pelbagai cerita dari perbualan mereka saya dengar dan boleh dijadikan bahan.

Tidak perlu menerima arahan, wartawan dari Kuantan pun mengumpul bahan sendiri dengan mencari rakan sekolah Siti, tok batin (orang Asli), perang dua hotel dan pelbagai lagi.

Pelbagai plan lain dirangka andai apa dimahukan gagal, dan hasilnya melalui guru silat Datuk K yang dipanggil cikgu Mazlan (Zahalan Man) yang kebetulan tinggal di hotel sama, kami mendapat Teks Mas Kahwin yang kemudian dikupas ayah Siti, Tarudin Ismail sebab hatinya terbuka menerima pinangan Datuk K.

Natijahnya, menjadi pengamal media, ada kala kita mendapat layanan Kelas A, ada ketika tiada kelas langsung, namun kerana kelicikan kita, tanpa kelas pun kita boleh menjadi yang terbaik.

ADAM: Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru 2009 buat pembaca Jarumemas.

Harian Metro

2 Responses to “Jarus Emas: Wartawan Kena Lick”

  1. Short Talker December 29, 2008 at 11:28 am #

    Aku dengar ramai yang tak senang budak kecil membaca doa selepas majlis akad nikah Mawi dan Ekin. Mungkin nampak cute, tapi majlis yang cukup serius sebegitu tidak patut ‘dicutekan’. Wallahuallam.

    – Short Talk –

  2. zed January 1, 2009 at 3:12 pm #

    ape salahnye budak kecik bace doa,kalau bacaannye betul..kalau org tua/dewasa bace doa x betul pun buat ape…sekurang2nye kite tau ade lagi pelapis2 utk jadi tukang bace doa,tukang jadi imam…yg penting bacaan,bukan umur weh…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: