Spektrum Ikram

27 Dec

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tatkala kualiti dan kreativiti menyatu, lahirlah pesona yang membuka 1,001 cerita…

TENTU ramai masih terkenang detik bersejarah persandingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, dua tahun lalu.

Persandingan gilang-gemilang yang mendapat jolokan ‘Wedding of the Year’ itu mendapat liputan luas media cetak dan elektronik rantau ini. Bukan saja seri mempelai menjadi topik hangat di warung kopi mahupun lobi hotel, malah foto indah yang diabadikan personaliti XY – Ikon Lelaki minggu ini mencuri perhatian.

Nyata majlis gilang-gemilang itu membuka ruang publisiti buat anak jati Kuala Lumpur ini dalam dunia fotografi kreatif tanah air. Tempoh 18 tahun mengabdikan diri dalam bidang fotografi nyata mematangkan Ikram.

Namun, biarpun sudah lama memegang lensa kamera, Ikram yang mencurahkan kreativitinya dalam penghasilan potret, penggambaran fesyen, fotografi seni halus dan majlis perkahwinan mengakui masih banyak yang perlu dilakukan.

“Bagi saya, setiap subjek fotografi adalah medium baru pelajaran. Tidak kiralah kita masih baru ataupun sudah lama dalam bidang ini, pembelajaran berterusan itu perlu untuk kita mencuba sesuatu yang baru.

“Bermula dari itu, pasti ada teknik terkini dan secara tidak langsung memberi idea baru serta pengalaman untuk dimanfaatkan,” katanya penuh bersemangat.

Setia menggunakan empat kamera digital jenis Nikon iaitu D70, D100 serta dua model D200, Ikram memulakan kerjaya awal sebagai pereka grafik pada 1989, sebelum berjinak-jinak menjadi pembantu merangkap jurugambar, setahun kemudian.

Menyedari minatnya lebih terarah dalam seni fotografi, bapa kepada empat orang cahaya mata ini memilih terus berkarya dalam dunia fotografi dengan sebuah syarikat penerbitan di ibu negara. Selain terbabit dalam tenaga kerja kreatif untuk penggambaran kulit muka depan majalah, Ikram juga terbabit dalam sesi fotografi fesyen dan grooming.

“Selepas 16 tahun bekerja untuk majalah, saya mengambil keputusan nekad bergerak sendiri dan memberi tumpuan untuk fotografi perkahwinan. Sesekali saya membuat grooming dan penggambaran fesyen jika ada tawaran.

“Alhamdulillah, setakat ini saya puas dengan apa yang saya lakukan. Saya juga mendapat maklum balas baik daripada pelanggan yang kebanyakannya diperkenalkan pelanggan lain,” katanya yang berhasrat mengadakan pameran fotografi seni halus ilham peribadinya suatu hari nanti.

Ditanya apakah beliau mewarisi bakat seni fotografi keluarganya, tanpa berselindung Ikram mengakui bapanya, Ismail Abu Bakar pernah bertugas sebagai penyunting untuk Filem Negara Malaysia.

Ikram teringat bilik gelap untuk memproses gambar di rumah yang dihuni keluarga ketika beliau masih kecil.

“Bapa ada juga membangkitkan mengapa gambar album perkahwinan yang saya abadikan mempunyai imej kasut, cincin, bunga dan banyak barangan lagi. Mengikut konteks sekarang, objek terbabit dianggap elemen kreatif melengkapi jalan cerita sebuah perkahwinan.

“Jika dilihat foto perkahwinan zaman dulu, ia hanya membabitkan imej penuh pengantin tanpa memfokuskan aksesori dan elemen penyeri lain,” katanya sambil tertawa mengenangkan perbualan dengan bapanya mengenai dunia fotografi sekarang.

Panjang lebar cerita suka duka yang direncanakan Ikram sepanjang mencongak perjalanan hidupnya sebagai jurugambar kreatif. Daripada kamera negatif filem hinggalah era digital, pemuda berusia 38 tahun ini terus ligat menyusun kata untuk tatapan pembaca XY – Ikon Lelaki…

Ceritakan serba sedikit latar belakang Ikram?

Sebenarnya, saya terbabit dalam dunia fotografi secara tidak langsung. Bermula sebagai pereka grafik, saya beralih kepada bidang fotografi kerana minat lebih ke bidang itu. Tetapi, saya bersyukur kerana bidang grafik banyak membantu saya tampil lebih kreatif dan menyunting gambar.

Berapa lama berkecimpung dalam bidang fotografi?

Sudah 18 tahun… Meskipun lama berkecimpung dalam bidang ini, saya tetap menganggap setiap penggambaran fotografi sebagai medium baru pembelajaran.

Apakah Ikram mempunyai trademark tersendiri?

Seperti tugasan fotografi perkahwinan, saya lebih cenderung menghasilkan jalan cerita dalam bentuk gambar yang dimuatkan dalam album perkahwinan. Selain itu, elemen kreatif sarat saya muatkan sebagai pelengkap tarikan sesiapa yang menatap album itu.

Kepuasan merakamkan gambar bagi Ikram?

Kepuasan bagi saya apabila orang lain menghargai hasil penat lelah kita mengabadikan kreativiti dalam bentuk gambar. Interaksi begitulah yang menyemarakkan lagi idea dan semangat untuk terus bekerja keras.

Antara fotografi di studio dan penggambaran di luar, yang mana memberi lebih kepuasan?

Jujurnya penggambaran luar lebih memberi kepuasan. Selain lokasi dan mood pencahayaan, kita dapat bermain pelbagai elemen untuk menghasilkan lebih cerita dalam gambar yang dirakamkan. Berbanding studio, lampu yang banyak mencorak hasil gambar.

Senario fotografi di Malaysia mengikut perspektif anda?

Saya lihat semakin ramai ingin menjadi jurugambar. Apatah lagi, ketika ini mudah mendapatkan hasil gambar kerana teknologi kamera digital yang membolehkan hasil foto terus dilihat. Ini suatu persaingan sihat sekali gus menunjukkan ramai peminat fotografi di Malaysia.

Siapa jurufoto idola Ikram?

Jurugambar kelahiran Amerika Syarikat, Patrick Demarchlier yang banyak terbabit dalam penggambaran fotografi fesyen. Beliau menerapkan elemen seni halus dalam foto yang diabadikan.

Boleh anda terjemah keindahan sesuatu sesebuah foto?

Seperti sebuah lukisan, sesuatu foto akan meninggalkan kesan andai kita mampu menterjemahkan perasaan, keindahan, kesedihan dari sudut pencahayaan dan warna untuk hasil penuh subjektif.

Terangkan personaliti Iqram?

Saya seorang yang sederhana serta merendah diri dalam pelbagai perkara.

Tugasan paling meninggalkan kesan mendalam dan meningkatkan portfolio Ikram?

Banyak antaranya persandingan mega Datuk Siti Nurhaliza yang banyak membuka ruang publisiti hasil kerja saya kepada selebriti lain seperti Nora Danish, Aleeza Kasim dan Erra Fazira. Banyak juga tawaran untuk perkahwinan orang ternama diterima.

Impian fotografi Ikram?

Saya mengimpikan mengadakan galeri fotografi berkisarkan gambar seni halus yang jarang diketengahkan di Malaysia. Ketika ini, masyarakat lebih tertumpu kepada galeri lukisan berbanding fotografi.

Hobi Ikram waktu lapang?

Saya suka bersantai bersama keluarga serta merakamkan gambar subjek dan alam semula jadi. Puas jika saya dapat merakamkan imej seni halus di mana sesuatu subjek itu dapat dicetuskan melalui elemen kreatifi.

Siapa yang memberikan sumber inspirasi buat Ikram dalam dunia fotografi?

Arwah ibu saya, Rahmah Lasim. Saya sentiasa ingat, arwah banyak berjasa kerana faham minat saya dalam dunia fotografi. Malah, beg kamera pertama milik saya bernilai RM60 adalah pemberian arwah.

Di manakah lokasi penggambaran fotografi di Malaysia yang menjadi kegemaran?

Saya memilih Bako Island di Sarawak. Saya temui lokasi hebat ini ketika mengikuti rombongan Tourism Malaysia ke Sarawak. Banyak lokasinya cukup menakjubkan untuk diterokai, apatah lagi untuk penggambaran fotografi.

Perkara yang mungkin orang tidak tahu mengenai Ikram?

Selain terbabit dalam fotografi perkahwinan, saya sebenarnya berminat merakamkan gambar seni halus. Saya mempunyai beberapa koleksi peribadi hasil penggambaran yang dilakukan pada waktu lapang. Antara lokasi kegemaran ialah di pantai Pangkalan Balak, Melaka yang sering dikunjungi ketika pulang kampung mentua.

Ikram dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Mungkin lebih banyak travel dan mengurangkan kerja seperti sekarang. Semestinya fotografi tetap menjadi keutamaan.

Pesan Ikram kepada penggemar fotografi?

Pertama sekali, mesti banyak melihat hasil gambar, kerap bertanya kepada jurugambar berpengalaman serta bijak mencuba sesuatu yang baru. Seperti kamera digital, dalam setahun begitu banyak model baru dipasarkan menyebabkan kita harus ke depan.

Biodata

Nama: Mohd Ikram Ismail

Umur: 38 tahun

Tarikh lahir: 25 April 1970

Tempat lahir: Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Tinggi: 160 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Emel: ikram_pro@yahoo.com

Laman web: http://www.IkramIsmail.net

Enam wajah fotogenik pilihan Ikram Ismail…

Datuk Siti Nurhaliza

Erra Fazira

Sofea Jane

Tengku Azura

Ida Nerina

Amber Chia

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: