Dapat Bonus Berganda

25 Dec

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap

TIGA drama lakonannya yang ditayangkan serentak pada waktu ini memberi bonus berganda buat pelakon muda berbakat, Nik Shahri’ah Nik Dir atau lebih dikenali dengan nama Nisha Dirr.

Di TV3, Nisha tampil menerusi dua drama bersiri popular iaitu Spa Q 2 yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang dan Ku Milikmu (Selasa jam 9 malam). Sementara di RTM2 pula, dia muncul dalam drama bersiri Noktah Dendam (Isnin hingga Rabu, jam 9 malam).

Kata anak bongsu daripada dua beradik ini, penayangan serentak tiga drama lakonannya memberi impak besar kepada karier lakonannya, selepas lama menyepi dan membawakan watak kecil.

“Saya sendiri tidak menyangka tiga drama bersiri ini ditayangkan serentak ketika ini dan ia platform terbaik untuk saya ‘memasarkan diri’ kepada peminat.

“Walaupun teruja dan seronok melihat lakonan saya ditayangkan serentak, namun ada juga peminat yang memberikan reaksi berbeza apabila memberitahu ia ‘menyusahkan’ mereka kerana tidak dapat menumpukan kepada sesuatu drama.

“Malah, ada yang keliru dengan watak berbeza dilakonkan saya kerana jarak masa tayangannya terlalu hampir,” katanya.

Begitu pun, Nisha berkata, dia tak kisah soal penentuan masa tayangan kerana ia hak stesen televisyen. Apa yang penting, ramai peminat memuji dan berpuas hati dengan lakonannya dalam ketiga-tiga drama berkenaan dan memberi reaksi positif.

Jika dalam Spa Q musim pertama lalu, Nisha berpeluang memegang watak antagonis yang gedik dan membuatkan orang menyampah, menerusi musim kedua kali ini, watak Tania dibawakannya banyak mengalami perubahan sesuai dengan jalan ceritanya yang lebih konflik, dendam dan emosi.

Kini Tania tidak lagi berpakaian caca marba, sebaliknya pandai bergaya. Namun karakternya tetap sama sebagai seorang yang gedik dan mengada-ngada. Malah kali ini juga, dia banyak menangis kerana sering kecewa dengan Dafi.

“Sebaik saja mendapat tahu Spa Q akan bersambung buat musim kedua, saya melonjak kegembiraan kerana dapat kembali bekerjasama dengan ramai nama besar dan kru sama. Hubungan kami memang mesra ibarat sebuah keluarga besar.

“Bagi saya, tidak timbul soal siapa lebih menonjol dan tenggelam kerana walaupun ramai nama besar berlakon, tetapi watak kami berbeza dan mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Sepanjang penggambaran selama tiga bulan di sekitar Sungai Buloh, Damansara dan Kuala Lumpur, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mempercepatkan durasi tayangan satu jam sebanyak 60 episod.

Selain mengekalkan barisan pelakon utamanya seperti Norish Karman, Azizah Mahzan, Zafrul Nadzarin, Fazren Rafi dan Faradhiya, ia juga memperkenalkan watak baru yang dibawakan Zizie Ezzete, Sharifah Sofia, Jasmin Hamid, Fouziah Gous serta penampilan khas penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang turut menyanyikan lagu tema Spa Q 2, Pada Cintanya.

Menerusi drama bersiri Noktah Dendam yang juga bersiaran sebanyak 60 episod, Nisha membawakan watak Salamiah, anak kepada tokoh korporat terkenal. Drama usaha sama dua negara itu diterbitkan Double Vision untuk RTM dan SCTV di Indonesia.

Apa yang memberansangkannya, dia berpeluang berlakon dengan ramai nama besar yang menjadi idolanya iaitu Datuk Aziz Sattar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Marissa Yasmin.

Ia mengisahkan dendam dua syarikat yang berlanjutan kepada masalah keluarga. Selain konflik perniagaan, ia juga dipenuhi plot sedih, kecewa dan pertelingkahan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: