Fragmen: Pengajaran Hak Siaran Eksklusif Perkahwinan

24 Dec

zainuri@bharian.com.my

MAWI dan Ekin

SEINGAT kita, tidak ada dan belum pernah terbaca ada mana-mana stesen televisyen antarabangsa yang membuat hak siaran secara eksklusif acara atau majlis perkahwinan bintang terkenal Hollywood seperti Catherine Zeta-Jones, Julia Roberts, Johnny Depp, Sharon Stone dan Nicole Kidman.

Apa yang biasa kita baca ialah selebriti terkenal Hollywood ini memberikan hak eksklusif mengenai kisah peribadi mereka dengan majalah dan akhbar tertentu dengan sejumlah bayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Hak siaran eksklusif yang kita tahu selalunya membabitkan acara sukan seperti liga bola sepak terkemuka di Eropah dan temasya Sukan Olimpik. Apabila siaran ini dipegang secara eksklusif bermakna mana-mana stesen televisyen lain yang mahu menyiarkan liga bola sepak itu atau acara di temasya Sukan Olimpik mesti mendapatkan keizinan secara formal daripada pemegang hak itu.

Di negara kini, hak siaran secara eksklusif penyiaran majlis perkahwinan artis sudah dimulakan oleh TV3. Dua tahun lalu, stesen televisyen ini secara rasmi memegang hak eksklusif perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Tahun ini, giliran Astro pula membuat tindakan yang sama apabila memegang hak siaran secara eksklusif majlis perkahwinan Mawi dan Ekin.

Dua tahun lalu, Astro tidak mempunyai saluran berita yang khusus seperti sekarang apabila stesen televisyen berbayar itu sudah ada Astro Awani. Ketika itu, Astro hanya mempunyai beberapa program hiburan dalam saluran Astro Ria.

Oleh itu, perasaan kecil hati atau geram kerana tidak dapat membuat liputan perkahwinan Siti Nurhaliza tidaklah terlalu dirasai. Masyarakat hari ini seolah-olah ketawa apabila melihat pertelingkahan antara TV3 dan Astro berhubung dengan majlis perkahwinan Mawi.

Sama ada TV3 atau Astro, liputan yang dilakukan memang dianggap keterlaluan. Kedua-duanya membuat sanggup membuat siaran secara langsung. Ini tidak termasuk Mawi di majlis pengumuman menetapkan tarikh perkahwinan dan menghadiri kursus pra-perkahwinan.

Apa pun, sebenarnya, ia tidaklah penting sangat. Bagi kita siaran secara eksklusif ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek. Selain untuk mendapatkan rating penonton sebanyak yang boleh, ia sebenarnya memberikan publisiti meluas kepada stesen TV terbabit.

Memang ada kelebihannya acara perkahwinan seseorang itu disiarkan di TV kerana penonton boleh melihat dengan lebih jelas dan dekat suasana majlis itu.

Apa yang penting sekarang, biarlah jangan ada lagi mana-mana stesen TV memegang hak siaran eksklusif untuk perkahwinan mana-mana artis. Kita kena terima hakikat, dunia hiburan di Malaysia tidaklah sebesar mana. Dunianya sangat kecil. Walaupun boleh berkompromi dan membuat liputan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan, cara seperti ini menyebabkan ada pihak yang tetap berasa tersinggung juga.

Dalam kenyataan balasnya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan seolah-olah mempertikaikan mengenai etika liputan yang diberikan oleh Astro. Kita tidak faham apa sebenarnya yang dipertikaikan. Tapi sudah pasti, sebagai pemegang hak eksklusif, sudah tentu antara acara yang tidak dibenarkan untuk dirakamkan oleh TV3 ialah majlis pernikahan Mawi.

Dalam setiap majlis perkahwinan orang Melayu, acara akad nikah pengantin lelaki adalah kemuncaknya. Bagaimanapun, kalau ini dianggap sebagai ‘babak’ paling eksklusif bermakna tidak ada stesen TV lain berhak untuk menyiarkan acara itu.

Tanpa babak pernikahan, sudah tentu penonton tertanya-tanya di mana dan bila Mawi dinikahkan?

Kegagalan mendapatkan acara penting itu menimbulkan rasa marah dan emosional kepada wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan pernikahan penyanyi itu. Ini menyebabkan pada Sabtu lalu, dalam berita Buletin Utama terkeluar ungkapan kenyataan “… membuat liputan perkahwinan anak raja lebih mudah daripada majlis perkahwinan Mawi..’.

Laporan yang dibuat seolah-olah majlis pernikahan itu kecoh kerana wartawan TV3 dihalang membuat liputan itu. Kita yang menonton berita itu, berasakan tidaklah kelam kabut seperti yang digambarkan. Mawi adalah penyanyi popular. Dia dan keluarganya mahu majlis perkahwinannya berjalan secara teratur dan lancar. Ramai wakil media akan berpusu-pusu hadir untuk membuat liputan. Bagi memastikan keadaan itu, sudah tentu ada beberapa peraturan perlu dipatuhi, termasuklah wakil media.

Kenyataan yang berbau sangat emosional ini sekali lagi mengelirukan penonton dan seterusnya merosakkan kredibiliti Buletin Utama pula. Ini kerana daripada perspektif penonton apakah benar membuat liputan perkahwinan anak raja itu mudah, iaitu tanpa undangan secara rasmi, tanpa perlu ada protokol dan boleh ‘main serbu’ saja?

Banyak pengajaran yang diperolehi daripada insiden ini. Kita berasakan tidak perlulah ada mana-mana stesen TV untuk membuat liputan memegang hak eksklusif majlis atau acara membabitkan perkahwinan artis. Lainlah yang berkahwin itu adalah personaliti terkenal daripada stesen TV terbabit.

Lagipun, jika benar Mawi atau ada artis lain itu adalah hak masyarakat, jangan ada mana-mana stesen TV mengadakan perjanjian dengan artis terkenal untuk mendapatkan hak siaran eksklusif. Ia sebenarnya boleh dianggap sebagai menghalang kebebasan media untuk membuat laporan berita, biarpun ia hanya majlis perkahwinan seseorang artis.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: