Sorotan Muzik 2008: Pasaran Muzik Masih Tak Menentu

23 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

KEBERANIAN Hujan membawa
muzik mereka keluar daripada kepompong underground
mencetuskan iklim baru
kepada pasaran tempatan.

Kemasukan karya asing, teknologi digital antara punca industri terjejas

IKLIM industri muzik sepanjang 2008 terus memperlihatkan suasana tidak menentu berikutan pasaran album secara fizikal yang menurun ke paras berbahaya.

Keadaan itu mendesak syarikat rakaman supaya lebih agresif memikirkan alternatif bagi memastikan muzik tempatan terus bernafas pada tahun mendatang.

Penguncupan pendapatan industri muzik terutama menerusi penjualan cakera digital dan kaset menjunam lebih 20 peratus sejak 2005 dengan mengaut pendapatan RM88 juta, terus memperlihatkan angka menakutkan.

Tahun ini, penjualan album secara fizikal cuma menjana RM66 juta. Jumlah itu diramalkan semakin mengecil pada 2009, kesan kepada perkembangan pasaran muzik digital yang sedang mengambil alih suasana industri.

Sejarah menunjukkan pendapatan industri muzik menurun secara purata 10 hingga 30 peratus setiap tahun menyebabkan tidak banyak syarikat rakaman berani membuat pelaburan besar untuk rakaman baru. Mereka sebaliknya terus menyandarkan harapan kepada penerbitan album kompilasi untuk menjana pulangan mudah.


APAKAH Mawi akan
terus kekal sebagai penyanyi lelaki paling
popular pada 2009?

Terus memberikan alasan iklim muzik yang kurang memberangsangkan sebagai punca enggan melakukan pelaburan besar, penggemar muzik sebaliknya terus dilambakkan dengan produk kompilasi yang dibuat semula menggunakan judul berbeza.

Lambakan album luar yang menguasai pasaran tempatan turut melemahkan peluang produk tempatan untuk berkembang, malahan menyebabkan khalayak kurang yakin kepada potensi lagu ciptaan sendiri.

‘Penjajahan’ bentuk baru itu mendorong Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di bawah naungan Freddie Fernandez bangun bersuara dan memperjuangkan sistem kuota penyiaran lagu 90:10 bagi memastikan lagu tempatan dimainkan secara tetap stesen radio tempatan. Cadangan itu dikemukakan Freddie kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, September lalu.

Bagaimanapun, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang menaungi 140 syarikat rakaman dan perniagaan tempatan mengambil pendekatan neutral berhubung isu itu. Mereka, pada masa sama cuba memperbanyakkan dialog dengan Persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM) dalam usaha menentukan hala tuju industri muzik negara ketika berdepan masalah genting ini.

Sebagai sebuah persatuan muzik, RIM pastinya ingin melihat industri muzik tempatan berkembang dan membesar, tidak hanya di negara sendiri malah menjangkau pasaran antarabangsa.

“Itu usaha kami dan penggiat industri muzik tempatan perlu lebih inovatif dalam menghasilkan karya dan tidak boleh lagi bersikap sambil lewa. Keutamaan RIM ketika ini adalah melihat stesen radio negara ini tidak kira dalam apa juga bahasa memainkan lagu ciptaan tempatan.

“Kami mahu galakkan stesen radio bahasa asing tidak hanya memutarkan lagu dalam bahasa itu saja, sebaliknya perlu lebih terbuka dan memainkan lagu bahasa

lain asalkan ciptaan tempatan,” kata Norman apabila diminta mengulas mengenai isu itu.

Biarpun ditentang sesetengah pihak yang memberikan alasan mana mungkin selera pendengar dikekang, malah sebagai pengguna mereka berhak memilih apa yang disukai namun cadangan Freddie ada asasnya.

Tidak perlu melihat jauh ke Amerika Syarikat, Indonesia saja sudah memadai untuk dijadikan contoh betapa mereka menghargai karya tempatan dan mengawalnya supaya tidak mudah dibolos karya luar.

Dalam kekalutan mengharungi cabaran industri muzik yang semakin genting, masih ada sinar apabila pendapatan dari media baru iaitu penjualan muzik secara digital menerusi medium seperti nada dering, internet dan sebagainya meningkat secara memberangsangkan.

Pada 2005, media baru mencatat pendapatan RM5.1 juta dan tahun lalu ia memperoleh RM16 juta. RIM mensasarkan pendapatan sehingga RM32 juta untuk 2008 berdasarkan kepada kecenderungan pasaran yang lebih terarah kepada media baru.

Kutipan royalti terdiri daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP), Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Malaysia Sdn Bhd (Prism) dan Badan Persembahan Awam Malaysia Sdn Bhd (PPM) juga menunjukkan peningkatan daripada RM25 juta pada 2002 kepada RM48.4 juta tahun lalu. Tahun ini sasaran dijangka mencapai RM50 juta.

Peningkatan itu diperoleh berikutan lebih banyak premis perniagaan awam dan stesen radio baru beroperasi, selain kejayaan MACP dan PPM meningkatkan kesedaran untuk membayar royalti.

Malah, Presiden PAIMM merangkap Pengerusi Prism, Datuk Aziz Bakar meramalkan, tidak mustahil dalam masa terdekat ini pendapatan ketiga-tiga badan itu mencecah pendapatan industri muzik.

Cabaran berterusan

CABARAN industri muzik tidak akan berhenti kerana masalah cetak rompak versi baru yang terus berleluasa berikutan aktiviti muat turun secara digital hasil karya tempatan dari laman web di internet. Pakej jualan telefon bimbit disertai kemudahan muat turun lagu secara percuma menyebabkan industri muzik di negara ini terus kerugian.

Tidak dinafikan dari segi promosi atau pemasaran, kaedah muat turun dan perkongsian fail muzik di internet banyak membantu kerana membolehkan sesebuah lagu dikenali

dengan lebih cepat.

Bagaimanapun, masyarakat perlu dididik supaya lebih bertanggungjawab dan mempertimbangkan pelbagai faktor lain termasuk kos tinggi yang ditanggung penggiat untuk menghasilkan sesebuah ciptaan.

Jika pengkarya tidak memperoleh keuntungan daripada apa yang mereka sumbangkan kepada industri, sukar bagi mereka untuk terus menghasilkan karya baru.

Malah, situasi itu juga membantutkan industri muzik tempatan untuk terus berkembang maju seperti diharapkan jika masyarakat terus menerus mengharapkan karya muzik percuma.

Sesuatu yang wajar juga diberi perhatian adalah persatuan hiburan tidak seharusnya terlalu memfokuskan perbincangan serta permasalahan kepada industri rakaman semata-mata hingga melupakan cabang muzik lain yang turut memberi sumbangan kepada pembangunan industri muzik.

Kemerosotan dalam industri muzik berlaku atas banyak faktor, antaranya ketiadaan kajian serta pelan pembangunan di samping sistem pemasaran dan pengedaran yang kurang berkesan menyebabkan ia terus merosot.

Tahun 2008 turut memperlihatkan kesungguhan serta harapan penggiat industri muzik untuk cuba meningkatkan saiz industri mencapai RM300 juta setahun menerusi kertas kerja yang dibentangkan M Nasir dan Setiausaha Majlis Muzik Malaysia (MMM), Ong Peng Chu pada Seminar Muzik Kebangsaan di Akademi Seni, Warisan dan Budaya (Aswara), Julai lalu.

Bagaimanapun, impian yang cuba dicapai itu disangkal Freddie yang melihat jumlah itu sebagai sesuatu yang tidak realistik berdasarkan pasaran muzik yang teruk menjunam.

Namun, Aziz mempertahankan sasaran itu akan dicapai sekiranya semua pihak agresif dan berani melakukan perubahan serta perancangan yang radikal.

Untuk mencapai usaha itu, kerajaan disaran menyediakan geran serta memberi insentif di samping melaksanakan pelan Dasar & Strategi Pembangunan Industri Muzik Malaysia secepat mungkin.

Pendapatan juga boleh dijana dengan mengenakan levi atas sebarang alat yang boleh merakam dan menyimpan perisian audio visual seperti yang dilaksanakan di negara Eropah sejak 2002. Pelaksanaan itu menghasilkan satu pertiga pendapatan royalti badan kutipan.

Meningkatkan kadar royalti daripada penyiar (stesen radio dan televisyen) dan tempat persembahan awam juga membantu industri untuk mencapai sasaran itu. Ketika ini, Malaysia antara negara paling rendah mengenakan kadar itu iaitu 0.6 peratus berbanding Singapura dengan dua peratus dan Eropah melebihi 10 peratus.

Peningkatan pendapatan juga boleh dijana jika Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membantu RIM supaya syarikat telekomunikasi lebih adil dalam pembahagian royalti kepada penggiat seni tempatan.

Di Jepun dan Korea Selatan, penerbit pengisian (syarikat rakaman) menerima 80 peratus daripada setiap langganan sedangkan di Malaysia, mereka menerima bayaran rendah iaitu antara 40 dan 50 peratus.

Ramalan dan aliran muzik pada 2009

PASARAN album secara fizikal diramalkan merosot, sebaliknya pendapatan industri dijangka meningkat berdasarkan kecenderungan pengguna kepada penjualan digital.

Tidak mustahil, dalam masa beberapa tahun mendatang penjualan album secara fizikal akan tinggal menjadi sejarah dan pasaran digital menguasai industri sepenuhnya.

Hal ini diperlihatkan kepada kecenderungan pengkarya yang lebih selesa menghasilkan single berbanding album penuh.

Selain menjana pendapatan pantas dan lumayan menerusi pasaran digital dan aktiviti muat turun, promosi kuat tanpa modal besar seperti putaran meluas yang diberikan stesen radio juga banyak membantu terutama kepada artis bebas untuk menggerakkan aktiviti nyanyian mereka.

Aliran muzik 2009 juga dijangka masih berpihak kepada artis berkumpulan berdasarkan kepada kekuatan dan populariti yang dibina sepanjang 2008.

Andai dua tahun lalu, industri muzik dilihat lebih dikuasai kumpulan muzik luar terutama Indonesia, 2009 akan memperlihatkan kemunculan lebih banyak kumpulan baru terutama daripada kelompok indie.

Bagaimanapun, persoalan serta permasalahan baru akan timbul iaitu bagaimana aspek kawalan mutu dan piawaian dapat dititikberatkan kerana sesiapa saja bebas merakamkan lagu jika mempunyai modal.

Tahun depan juga dijangka menyaksikan lebih banyak syarikat baru hadir mempertaruhkan pelbagai bentuk karya kreatif, bahkan mampu menyaingi kehebatan artis luar.

Tetapi, apakah kehadiran itu sekadar bermusim atau sebaliknya kerana sepanjang 2008, industri muzik masih gagal menggilap nama baru untuk menyerlah.

Nama seperti Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir, Mawi, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ramli Sarip dan Amy (Search) masih bertahan menjadi gilaan, manakala bintang yang dilakar menerusi pertandingan realiti seperti Mila, Stacy dan Ayu perlu terus berusaha keras untuk mendapat tempat di hati peminat.

Dalam kabus masih ada kemilau sinar namun apakah tiu hanya cahaya sementara? Jawapan ini ada pada penggerak industri muzik kerana mereka menjadi nadi untuk terus memastikan karya tempatan diminati dan dihargai.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: