'Kami Tetap Beri Ruang'

22 Dec

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
KONTROVERSI membabitkan berita disiarkan wartawan TV3 mengatakan media dihalau pada majlis sidang akhbar, akad nikah Asmawi Ani, 27, atau Mawi dengan pasangannya juga pelakon, Nora’Ashikin (Ekin) Rahmat, 29, kelmarin dipercayai boleh mencalarkan nama baik penyanyi itu.

Ramai pihak keliru apabila laporan seperti itu dibuat kerana sepanjang majlis pernikahan berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, Johor, kelmarin berjalan dengan lancar. Begitu juga dengan sidang akhbar.

Pergeseran yang kononnya timbul antara stesen televisyen gergasi iaitu TV3 dan Astro membabitkan hak tayangan eksklusif majlis pernikahan dan persandingan termasuk yang akan dilakukan di Felda Taib Andak, Kulai minggu hadapan dan Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur 11 Januari dikatakan sebagai puncanya.

Begitupun, bagi menjernihkan keadaan, Ketua Perniagaan Bahasa Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh yang hadir pada majlis persandingan Mawi dan Ekin di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) malam kelmarin, tampil memberikan penjelasan.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana Astro dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah memperoleh kontrak untuk menayangkan majlis membabitkan hari bahagia Mawi secara eksklusif.

“Hak tayangan eksklusif ini turut dilakukan membabitkan acara besar dunia. Sekiranya kontrak hak tayangannya diperoleh stesen televisyen tertentu, stesen televisyen lain tidak boleh menayangkannya.

“Mengambil contoh mudah perlawanan English Premier League (EPL), hak tayangan eksklusif diperoleh stesen televisyen sukan terkenal ESPN, stesen sukan lain tidak boleh menayangkannya. Malah undang-undang mereka lebih ketat, walaupun Berita Sukan ESPN bernaung di bawah satu bumbung tetapi mereka tidak mempunyai hak untuk menayangkan sedutan perlawanan berlangsung.

“Bagaimanapun dalam hal Mawi ini, kami masih lagi memberikan ruang kepada wartawan penyiaran TV3 untuk menemu bual pasangan pengantin baru ini. Menerusi maklumat diberikan kakitangan saya, wakil stesen televisyen itu dapat menemu bual Mawi dana Ekin hampir 30 minit.

“Saya turut difahamkan sebelum ini, wartawan TV3 ada menghubungi Maestro Talent and Management untuk membuat liputan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Bagaimanapun, pihak kami meminta mereka membuat satu surat permohonan rasmi, namun sehingga hari majlis berlangsung, ia tidak pernah dihantar kepada kami.

“Pada saya, kenyataan mengatakan mereka dihalau tidak berasas sama sekali kerana semua wakil media yang hadir membuat liputan majlis ini dilayan dengan baik,” katanya.

Katanya, hak eksklusif yang sudah diperoleh kontraknya harus dipatuhi. Malah, RTM sebagai rakan kongsi juga tidak dapat menayangkan majlis yang dirakamkan ini sepenuhnya kerana ia sudah tertakluk dalam perjanjian.

“Walaupun begitu, ada beberapa perkara kami masih lagi bertolak ansur dan ia harus dilakukan mengikut cara yang betul seperti menghantar surat permohonan atau sebagainya,” katanya.

Khairul turut menafikan apa yang dilakukan pihak TV3 boleh memberikan kesan kepada kerjaya seni Mawi pada masa depan seperti kemungkinan penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketiga itu akan digam stesen terbabit.

“Mawi masih lagi mempunyai permintaan dalam industri hiburan dan kerjaya seninya berkembang dengan baik. Saya tidak setuju jika perkara yang digembar-gemburkan ini memberikan kesan kepadanya. Lagipun, apa yang berlaku tiada kaitan dengan dirinya dan laporan itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Khairul turut menegaskan hak eksklusif diperoleh Astro ini turut membabitkan majlis persandingan Mawi di Kulai, Johor, tetapi stesen televisyen lain masih boleh datang untuk membuat liputan tetapi di Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur ia tidak dibenarkan.

Sementara itu, Khairul menolak dakwaan perkara ini timbul atas rasa ingin membalas dendam kerana sebelum ini, perkara sama pernah dilakukan TV3 kepada kakitangan Astro yang cuba membuat liputan majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza. Waktu itu stesen televisyen swasta pertama negara itu berjaya mendapatkan hak tayangan eksklusif majlis perkahwinan penyanyi popular itu.

“Mengapa perkara ini harus dibangkitkan, sedangkan ia perkara baik. Kami menayangkan majlis orang yang mahu membina masjid,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent and Management, Freddie Fernandez yang turut berada di lokasi sewaktu kejadian berlaku menafikan kenyataan kakitangannya mahupun pegawai keselamatan yang bertugas bertindak kasar dengan menghalau wartawan terbabit.

“Setahu saya, mereka hanya menyatakan sesiapa yang tidak mempunyai pas media tidak dibenarkan masuk ke dewan sidang akhbar. Bagaimanapun, mereka masih diberi peluang mengadakan temu ramah selepas itu,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: