Laman Santai Finas

20 Dec

Rap
HUJUNG minggu masa terbaik untuk berehat seisi keluarga. Justeru aktiviti hiburan diadakan pada hujung minggu mampu menarik ramai pengunjung untuk hadir. Dalam usaha kerajaan mengangkat seni hiburan di kalangan masyarakat, pelbagai aktiviti menarik diatur dari masa ke semasa.

Menerusi acara Laman Santai yang diadakan pada setiap Sabtu bertempat di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur, peminat seni berpeluang berhibur dan bertemu artis dengan lebih dekat.

Acara ini adalah inisiatif Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk memupuk sikap menghargai seni budaya negara menerusi persembahan pentas.

Menariknya, acara ini dianjurkan secara bergilir antara jabatan kerajaan di bawah KPKKW seperti Istana Budaya, Jabatan Muzium Negara dan Kraftangan Malaysia.

Untuk persembahan minggu ini, buat julung kali Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan acara ini.

Berdasarkan acara yang sama diadakan sebelum ini, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan. Antara artis yang pernah membuat persembahan adalah Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ahmad Jais, Jaclyn Victor dan Shidee. Acara ini bermula sejak Ogos tahun lalu dan diteruskan pada setiap bulan.

Untuk persembahan malam ini yang bermula jam 8 malam, Finas menganjurkan persembahan pentas bertemakan Lagu dan Filem. Selain persembahan pentas, acara ini turut menyelitkan trailer atau sedutan filem tempatan baru yang ditayangkan di pawagam dan akan datang.

Memberi keunikan pada persembahan nyanyian, lagu yang dipersembahkan mengikut zaman dari 60-an hingga masa kini. Antara artis yang terbabit untuk persembahan kali ini adalah Hail Amir, pasangan adik-beradik Latif dan Sofia Ibrahim, Mariani berduet bersama anaknya, Rozita Rohaizat, Fazli Zainal dan Nikki.

Bagi persembahan sedutan filem pula, antara filem yang akan diberi promosi adalah Brainscan 21: Aku Dan Topi Ajaib arahan Ahmad Idham dan Histeria (James Lee). Produser filem Brainscan 21: Aku Dan Topi Ajaib, David Teo dijangka hadir untuk mempromosikan filemnya sendiri dengan memberi penerangan filem itu dengan lebih mendalam.

Menambah kehangatan acara itu, pelawak Din Beramboi dan Sharifah Shahira digandingkan sebagai pengacara. Konsep persembahan mahu pengunjung berhibur sambil menikmati persembahan pentas. Tidak ketinggalan, cabutan bertuah turut diadakan dengan 20 hadiah menarik seperti buku dan cenderamata Finas, tiket wayang dan VCD filem Melayu diberikan pada pengunjung bertuah.

Di samping itu, gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata Finas juga disediakan. Persembahan dijangka berlangsung hingga 10.30 malam dan masuk adalah percuma.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: