Jangan Cepat Melatah

19 Dec

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin & Zaidi Mohamad
serima@bharian.com.my, zaidim@bharian.com.my

BUKAN mudah menggabungkan dua personaliti popular ini lantaran masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Andai Datuk Siti Nurhaliza kini sibuk dengan statusnya sebagai isteri, Mawi pula semakin sibuk menghitung hari bergelar suami.

Malah, ketika mereka disatukan dalam satu fotografi khas sewaktu perasmian cawangan dan wajah terbaru Lord’s Tailor di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC), yang turut diserikan dengan kehadiran pelakon sedang meningkat, Diana Danielle, baru-baru ini. Siti sempat mengusik penyanyi itu berdarah manis kerana esok Mawi bakal bergelar ‘Raja Sehari’. Mengenakan busana tajaan butik terkemuka itu, aura dan gaya mereka terserlah dengan pesona yang cukup tersendiri.

Elemen populariti sudah lama mendakap kehidupan mereka serta menjadi kegilaan ramai ini mempunyai satu lagi persamaan iaitu tidak dapat lari dan lekang dari kontroversi. Si manis Siti yang sudah lebih sedekad mengharungi asam garam dunia seni, bagaikan sudah lali dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan dirinya.

Bagi Raja SMS, Mawi pula, kontroversi adalah sebahagian rencah kehidupan anak seni.

Sementara pelakon jelita Diana pula, masih cuba menyesuaikan diri dengan kontroversi yang dianggap baru dalam hidupnya. Selama tiga tahun mempertahankan nama baiknya, baru kini nama Diana menjadi buruan media untuk mendapatkan cerita panas berhubung kejadian yang berlaku antara dia dengan bekas kekasihnya, Shamsul Yusof.

Akui Diana, dia memang sangat teruja digandingkan dengan dua nama besar kebanggaan Malaysia ini. Debaran memuncak di hatinya, namun sebagai golongan muda, Dia juga tidak menafikan sering belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Mawi semakin matang

HAMPIR empat tahun bergelar anak seni, banyak yang sudah dilalui oleh bintang yang digilap daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini. Di awal langkahnya sebagai anak seni, dia agak seperti sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya.

Namun kini, Mawi semakin matang menangani kontroversi yang mendatang. Selain semakin bijak menjawab soalan media, jejaka berusia 27 tahun itu juga tidak mudah melatah dengan provokasi media.

Menurutnya, keputusan untuk berkahwin bukan jalan untuk menutup atau mengelak sebarang kontroversi. Sebaliknya, kata Mawi, berkahwin atau tidak, kontroversi tidak pernah berhenti menyerang seseorang yang bergelar selebriti.


SELEBRITI merasmikan cawangan terbaru Lord’s Tailor di Bangsar, baru-baru ini.

“Saya cukup lali dengan kontroversi. Berkahwin bukanlah jalan penyelesaian kepada kontroversi. Saya percaya masih adalah lagi kontroversi yang dikaitkan dengan saya sekali pun apabila sudah berkahwin nanti,” katanya yang sedih mengenangkan bapanya Ani Ahmad tidak dapat menyaksikan hari bersejarahnya nanti.

Penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu tidak lupa mengundang bekas tunangnya, Nor Diana Mohd Naim serta suaminya Suhaimi Saad ke majlis resipsinya yang bakal diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses pada 11 Januari depan. Bagaimanapun kata penyanyi itu, kad undangan untuk majlis di Kuala Lumpur masih belum diedarkan lagi.

Dia yang kelihatan segak dengan sut daripada Lord’s Tailor berkata, dengan tempoh pernikahannya kira-kira 24 jam lagi, dia menjadi semakin berdebar lebih-lebih lagi apabila ada yang bertanyakan soalan itu kepadanya.

Siti Nurhaliza idola Diana

BERBEZA dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi, Diana Danielle pula kini sedang rancak dengan perancangan untuk meluaskan bakatnya dalam seni suara pula.

Gadis berusia 17 tahun sedang mengintai peluang pasaran muzik di Indonesia apabila cubaannya sebagai penyanyi kali ini turut menggunakan khidmat komposer terkemuka dari sana seperti Tompi, Pasha (vokalis Ungu) dan Glen Fredly.

Bahkan, Diana juga akan turut memuatkan dua lagu ciptaannya sendiri di dalam albumnya nanti.

Dan, pada 22 Disember nanti, Diana memulakan penggambaran filem Kecoh Betul terbitan Sri Saheb Productions di sisi pelawak generasi baru, Nabil. Menyusul selepas Kecoh Betul, dia meneruskan kerjaya lakonannya dengan membintangi filem Magika.

Lebih selesa berbicara soal kerjaya, Danielle secara tulus mengaku mahu menamatkan kontroversinya dengan bekas kekasih, Syamsul Yusof. Katanya, dia tidak mahu cerita itu mengganggu perjalanan seninya.

“Kehidupan harus diteruskan. Yang berlalu biarlah berlalu. Saya mengakui agak melatah dalam berdepan kontroversi ini. Kini, saya semakin kuat dan mula belajar cara terbaik untuk berdepan dengan apa juga masalah mendatang.

“Saya juga kena berhati-hati dalam memberikan kenyataan, apa yang patut di cakap dan sebaliknya. Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apa yang terjadi mematangkan diri saya daripada segi mental dan emosi. Selepas ini, saya tidak boleh terlalu mudah memberikan cinta kepada seseorang dan pengalaman lalu mengajar saya erti kehidupan sebenarnya,” katanya.

Diana berkata Siti Nurhaliza adalah sumber inspirasi kerjaya seninya. Katanya, apa yang mengagumkannya terhadap Siti dan Mawi ialah cara mereka menghadapi pelbagai kontroversi dengan tenang serta tidak emosional.

“Datuk Siti menjadi idola saya dan apa yang pernah dialaminya berhubung soal kontroversi perlu dicontohi hinggakan beliau mampu berjuang mempertahankan kerjaya seninya. Saya melihat kontroversi yang dihadapi oleh Datuk Siti dan Mawi cukup hebat dan teruk tetapi mereka masih mampu tersenyum.

“Kekuatan mereka memberikan motivasi kepada saya untuk terus tegar dalam dunia seni,” katanya penuh makna.

Siti teruja nanti album terbaru

KONTROVERSI kata Siti, adakah lumrah yang perlu dilalui setiap selebriti. Jiwa remaja yang sentiasa bergelora.

“Kontroversi adalah satu perjalanan hidup yang perlu dilalui. Apa saja cabaran yang mendatang perlu dilalui sebaiknya. Apabila sesuatu itu berlaku kepada kita, jangan menoleh kebelakangan sebaliknya teruslah memandang ke hadapan,” kata Siti.

Malah, penyanyi yang sudah lebih dua tahun berumah tangga bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkongsi pandangan mengenai alam perkahwinan bersama Mawi yang bakal mendirikan masjid bersama Nora’Ashikin Rahmat atau Ekin, esok.

“Perkahwinan satu tanggungjawab besar. Ketika hidup sendiri kita tidak perlu memikirkan orang lain, apabila sudah kahwin kita perlu memikirkan pasangan kita. Namun, saya yakin Mawi bersedia untuk hadapi semua itu. Sebab itulah dia mengambil keputusan berkahwin.

“Dunia percintaan dan perkahwinan adalah berbeza. Apabila berkahwin, pernikahan itu bermaksud tanggungjawab untuk masa depan. Kita harus menerima apa juga keadaan pasangan seadanya,” kata penyanyi yang bakal muncul dengan album terbarunya yang berkonsepkan tradisional kontemporari pada 27 Disember ini.

Beliau yang sudah lebih empat tahun tidak muncul dengan album berkonsep sedemikian, nyata tidak sabar lagi untuk memperkenalkan album itu. Album yang mendapat khidmat komposer ternama seperti M Nasir, Zul Mahat, Khairy Johari Johar, S Atan, Johan Nawawi, Pak Ngan dan ramai lagi itu memuatkan sebanyak 11 buah lagu.

Kesibukan dengan kehadiran album terbaru dan keadaan kawasan berhampiran tempat tinggalnya di Bukit Antarabangsa yang baru saja ditimpa bencana tanah runtuh menyebabkan penyanyi itu terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti ke Amerika Syarikat selama dua minggu yang dijadualkan sebelum pelancaran albumnya.

Bagaimanapun, kata penyanyi itu dia dan keluarga masih merancang untuk bercuti bagaimanapun ia hanya akan dilakukan di pusat peranginan dalam negara saja.

Info Datuk Siti Nurhaliza

Terus unggul diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-11 menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)

Isteri kepada Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K

Kakaknya, Saida dan adiknya, Saerah juga mengikuti jejaknya bergelar penyanyi.

22 November lalu, bapa mentuanya, Muhammad Jiwa Abdullah menyahut panggilan Ilahi akibat sakit tua.

Info perkahwinan Mawi-Ekin

20 Disember 2008 – majlis akad nikah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, jam 11 pagi

20 Disember 2008 – majlis resepsi keluarga Ekin di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, jam 8 malam

27 Disember 2008 – konsert khas Mawi bersama rakan Akademi Fantasia di Padang Awam, Felda Taib Andak, Kota Tinggi, Johor, jam 8 malam

28 Disember 2008 – majlis resepsi keluarga Mawi di Padang Awam, Felda Taib Andak, jam 2 petang, diikuti persandingan di Dewan Serba Guna, Felda Taib Andak mulai jam 2.30 hingga 4.30 petang

11 Januari 2009 – majlis resepsi istimewa jemputan VVIP dan VIP di Palace of the Golden Horses

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: