Kejutan Manis Buat Saida

16 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

KELUARGA besar Siti Nurhaliza.

Majlis hari lahir ke-32 bintang Akademi Fantasia itu diraikan di sebuah pusat karaoke di Pavillion, Jumaat lalu

SAAT manis buat Saida, bintang Akademi Fantasia musim keenam, apabila hari lahirnya yang ke-32 diraikan orang tersayang terutama suami dan anak-anaknya di sebuah pusat karaoke di Pavillion pada Jumaat lalu.

Kejutan hari lahir Saida itu dibuat secara sederhana oleh adik-beradiknya dan ternyata taktik kejutan itu dirancang baik tanpa menimbulkan syak wasangka tuan punya diri.

Kemanisan dan keceriaan berganda apabila adiknya, Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa turut meluangkan masa memeriahkan lagi majlis.

Lima minit detik jam 12 tengah malam, kehadiran Siti bersama Datuk K membawa sebiji kek sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir mengejutkan Saida sehingga air matanya bergenang. Turut hadir ahli keluarga, kenalan terdekat dan rakan artis seperti Reza dan adiknya, Sairah.

Menganggap sambutan malam itu sebagai kenangan paling manis dan hadiah yang cukup bermakna, Saida yang lebih mesra membahasakan diri sebagai Ida berkata ia bermula dengan ajakan suaminya untuk berkaraoke.


SAIDA dan Sairah akan muncul dengan album duo tidak lama lagi.

Ketika itu Ida sedang menonton pertandingan separuh akhir Muzik Muzik kategori Pop Rock. Mulanya, Ida menolak ajakan suami dengan baik, namun memandangkan ketiga-tiga anaknya (Siti Nurunnyssa, Anas dan Khalid) beriya-iya bersiap, Ida akhirnya tak sampai hati.

“Macam nak pengsan Ida tadi masa mula-mula membuka pintu (bilik karaoke) dan lihat ramai orang yang ada. Sebelum sampai ke sini, Reza (Era) ada SMS bertanyakan sama ada Ida tidak keluar melepak. Sesudah dibalas SMS, Reza SMS lagi dan berkata nak menyanyi.

“Dalam kehairanan, Ida membiarkan SMS keduanya begitu saja tanpa dibalas. Sekarang baru Ida mengerti rupa-rupanya Reza sendiri dijemput dalam pakatan kejutan hari lahir ini,” katanya di awal perbicaraan.

Mengharap sinar 2009 akan memberi isyarat terbaik di dalam pacuan kerjaya seninya yang baru bermula, sempena peningkatan umurnya, Saida yang sudah muncul dengan single pertama berjudul Sedalamnya Cinta berdoa moga kehidupan rumah tangganya akan berjalan dengan tenang serta bahagia hingga ke akhir hayat.


KEK rai ulang tahun
daripada Siti untuk
kakak tersayang.

Dengan bantuan syarikat milik Siti (Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd, SNP), Saida dan Sairah akan muncul dengan album duo tidak lama lagi. Selain berduet, Saida dan Sairah turut mempertaruhkan lagu solo dalam album itu. Siti turut diundang untuk berduet dengan mereka.

Perjalanan Saida masih jauh lagi untuk mengikut jejak adiknya, Siti yang sudah menerjah persada seni selama 13 tahun. Biarpun masih menjawat tugas sebagai Pengurus Kewangan di SNP, Saida positif untuk melakar nama sebagai penyanyi.

“Impian Ida nak cuba lagu berentak pop dance kerana nak buktikan kepada orang di luar sana yang Ida boleh menepis sikap malu. Berkat belajar menari sewaktu berada di Akademi Fantasia, ia mungkin boleh menjadi titik tolak untuk Ida menyuai padankan dengan nyanyian lagu rancak contohnya seperti lagu Britney Spears,” kata Saida yang setia disokong kelab peminatnya, Saida Fan Club (SFC).

Sewaktu majlis berlangsung, abang sulung mereka, Ayie turut menyumbangkan suara mendendangkan beberapa seleksi lagu. Siti, Sairah dan Saida turut bergabung suara menyanyikan lagu Dokter Cinta dendangan asal kumpulan Dewi-Dewi.

Siti turut berduet dengan Sairah menerusi lagu Mencintaimu. Melihat gabungan tiga beradik ini, Siti sendiri tidak menidakkan kemungkinan untuk mereka berpadu suara di dalam album.

“Tidak mustahil kami berkolaborasi apatah lagi kami di bawah naungan syarikat yang sama. Cuma yang perlu dititik beratkan ialah memilih lagu yang sesuai dengan keupayaan vokal masing-masing. Album duo mereka akan disiapkan sejurus selepas keluar album tradisional Siti berjudul Lentera Timur (dipasarkan dalam bentuk cakera padat saja pada 26 Disember ini) dan kemudian album kumpulan Coda sekitar Januari,” kata Siti yang menggunakan khidmat 99 peratus komposer Malaysia seperti M Nasir, Pak Ngah, Khairil Johari Johar, Johari Teh, Zul Mahat dan ramai lagi, manakala Katon dari Indonesia. Album memuatkan 11 lagu ini menjadikan lagu ciptaan Fauzi Marzuki berjudul Di Taman Teman sebagai single pertama.

Perlu kerja keras, tak boleh rasa selesa

SEBAGAI adik, Siti tumpang gembira dengan kejayaan kakaknya yang baru saja bermula. Doa Siti semoga kakaknya dimurahkan rezeki dan akan terus berjaya di dalam bidang seni yang diceburi. Apa yang penting, setiap yang dilalui Siti di awal rentak kerjayanya pasti akan dihadapi Saida juga.

Mengenai hasrat Saida untuk mencuba genre lagu rancak, pop dance, bagi Siti, dia tidak mempunyai sebarang masalah. Kata Siti, dia melihat potensi Saida menyanyikan lagu Dokter Cinta sewaktu masih kekal di Akademi Fantasia musim keenam, sebagai kekuatan andai kakaknya lebih cenderung menyanyikan lagu berentak sebegitu.

“Kak Ida (Saida) kena sentiasa bekerja keras dan tidak boleh rasa selesa. Dia kena sentiasa memperbaiki gaya dan teknik nyanyian serta rajin berlatih. Siti dulu pun perlu berlatih menyanyi supaya boleh mempertingkatkan mutu nyanyian dan teknik menyanyi dengan betul.

“Siti juga sentiasa menjadikan gaya nyanyian idola seperti Celine Dion dan Whitney Houston sebagai asas mempertajamkan proses melontarkan vokal dengan baik. Siti juga terhutang budi dengan komposer seperti Adnan Abu Hassan, Pak Ngah dan Aubrey Suwito yang banyak mengajar vokal kepada Siti. Harapnya apa yang dilakukan Siti akan dipraktikkan Kak Ida.

“Tak dinafikan Siti lihat Kak Ida lebih menyerlah menyanyikan lagu rancak berbanding rentak balada. Namun, apabila menyanyikan lagu rancak, kita kena pandai jaga pernafasan dan vokal. Selain itu, stamina pun kena jaga.

“Tidak salah pun kalau Kak Ida nak mencuba menyanyikan lagu berentak sebegitu. Mungkin apa yang dimaksudkannya dengan menyatakan minat terhadap genre muzik itu, Kak Ida mungkin lebih senang dengan irama muzik itu,” katanya yang belum pasti lagi dapat hadir ke majlis persandingan Mawi dan Ekin di Palace Of The Golden Horses.

INFO: Doa dan harapan insan tersayang

Mohd Ghazali Yahya Zikri (Suami Saida): Semoga dia (Saida) akan berjaya menggapai cita-citanya yang baru saja bermula, panjang umur dan dimurahkan rezeki. Kalau ada rezeki untuk menambah bilangan anak, apa salahnya. Tiga orang anak ini pun kira sudah memadai.

Ayie (abang): Mohon dia dan keluarga akan mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa: Doa moga dia diberikan kesihatan yang baik, kekal bahagia dengan keluarga dan berjaya dalam apa juga yang dicita-citakan.

Rozie (kakak ipar): Selamat meneruskan kerjaya baru sebagai anak seni dan cepat-cepat tambah bilangan anak.

Sairah (adik): Semoga hari lahirnya yang ke-32 ini akan terus menjadikan impian yang diingininya terus terlaksana. Mudah-mudahan 2009 akan menjadi tahun terbaik buatnya.

Reza (penyampai radio Era): Harapnya dia dan keluarga serta insan paling rapat di dalam hidupnya akan terus diberkati dan dilimpahi rahmat, murah rezeki dan selamat berjaya.

Berita Harian

One Response to “Kejutan Manis Buat Saida”

  1. siti December 18, 2008 at 5:15 pm #

    kenapa lebih muda saidah dari cek siti

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: