Tarikan Suara Buluh Perindu

15 Dec

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Lontaran dan kawalan vokal yang baik, penampilan yang menarik serta aura yang terserlah raih tumpuan penonton

TIDAK ramai penyanyi tanah air masa kini yang mampu membuatkan tetamu sesuatu majlis berhenti menjamu selera sebaik saja mereka melontarkan suara menyanyikan sesebuah lagu.

Sering kali, kelihatan tetamu yang datang bagai tidak menghiraukan kemunculan penyanyi undangan, tatkala mereka sibuk menikmati hidangan ataupun berbual bersama rakan. Faktor kehebatan vokal, pemilihan lagu, penampilan dan sebagainya mungkin antara sebab mengapa kebanyakan penyanyi gagal menguasai sesuatu majlis yang menampilkan mereka sebagai artis undangan.

Namun, keadaan berbeza buat permata dunia muzik tempatan, Datuk Siti Nurhaliza. Wanita anggun ini mempunyai kuasa untuk menghentikan selera makan tetamu, dek kelunakan suara buluh perindunya. Ketika yang sama, tidak kurang mereka yang terpegun dengan kejelitaan penyanyi ini yang bagaikan seiring dengan kemerduan suara dimiliki.

Pada majlis makan malam gala Franc Vila, jenama jam mewah terkemuka dari pencipta berasal dari Sepanyol itu, Siti sekali lagi memukau hadirin dengan kelunakan suaranya sewaktu mengalunkan tujuh lagu pilihannya pada malam berkenaan.

Sebaik saja sekumpulan peragawan dan peragawati menamatkan langkah mereka menggayakan pelbagai reka bentuk menarik jam jenama berkenaan, termasuk koleksi El Bandido, tetamu yang hadir tiba-tiba memberikan perhatian kepada penyanyi ini yang menuruni tangga bergerak sambil menyanyikan lagu Nirmala diiringi beberapa penari.

Selama 40 minit berikutnya, tepukan demi tepukan diterima puteri pop Malaysia ini sebaik saja dia menamatkan persembahan yang bermula kira-kira jam 10 malam.

Kelihatan juga sebahagian tetamu meninggalkan meja makan untuk menonton dengan lebih dekat aksi artis yang paling banyak menerima anugerah di Malaysia itu.

Pada malam berkenaan, isteri ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini memilih untuk menghiburkan tetamu termasuk Tuanku Pemangku Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Puan Muda Negeri Sembilan, Tunku Nurul Hayati Tunku Bahador, bersama seleksi lagu berbahasa Melayu dan Inggeris, sesuai dengan suasana majlis itu sendiri.

Selepas Nirmala, penyanyi wanita paling masyhur tanah air itu meredupkan keadaan dengan irama cinta nyanyian asal Beyonce, Flaws and All, diikuti rentak segar sepanjang zaman, Getaran Jiwa dan lagu merdu When You Tell Me That You Love Me.


SITI menyampaikan tujuh lagu pada persembahannya sempena majlis makan malam gala Franc Vila.

Penyanyi ini tidak lupa menghangatkan suasana bersama lagu rancak petikan album Hadiah Daripada Hati, Ku Mahu, sebelum mengundang peniup seruling terkenal, Andrea Griminelli, mempersembahkan lagu Legenda bersama-samanya. Siti mengakhiri nyanyiannya dengan lagu malar hijau nyanyian Oleta Adams, Get Here.

Faham atau tidak barisan lirik yang dinyanyikan Siti, semua itu tidak menghalang hadirin berhibur dan terpesona bersama persembahannya. Betapa, lontaran dan kawalan vokal yang baik, penampilan yang menarik serta aura yang terserlah mampu meraih tumpuan tidak berbelah bagi buat penyanyi ini.

Sekali-sekala Siti mencelah di antara lagu dengan bicara ringkasnya, sama ada berterima kasih kepada tetamu yang setia bersamanya atau memperkenalkan irama pilihan berikutnya. Berkomunikasi dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu, Siti tampak selesa dan penuh yakin sepanjang berada di pentas utama.

Maka usah cemburu jika artis dari Kuala Lipis ini akhirnya berupaya mengumpul rezeki yang bukan sedikit hasil nyanyiannya kerana dia ada magis yang jarang sekali dimiliki kebanyakan artis di luar sana. Lagi pun, tiada makna sambil lewa dalam bekerja buat penyanyi ini.

Nyata, kemunculan wanita berbakat besar ini di pentas persembahan melengkapkan acara makan malam penuh gemilang berkenaan. Tetamu yang kebanyakannya segak dan menawan dalam busana hitam serta merah, sesuai tema acara, bukan hanya dijamu dengan lima hidangan istimewa daripada tukang masak yang diterbangkan khas oleh Franc, Chef Evaristo Miralles, dari Valencia, Sepanyol, mereka juga dihidangkan dengan sebuah persembahan yang benar-benar memikat.

Siti ialah antara penyanyi yang diundang menjayakan A Journey Through Time II yang dipersembahkan oleh Starhill Gallery. Acara yang berlangsung selama 11 hari bermula 4 Disember itu turut menyaksikan persembahan artis antarabangsa, Russell Watson (4 – 7 Disember) dan Andrea Griminelli (11 – 14 Disember).

Seorang lagi bintang tempatan, Ning Baizura, turut beraksi selama dua malam, pada 8 dan 9 Disember.

A Journey Through Time II ialah acara pameran dan jualan jam tangan serta barangan perhiasan daripada jenama mewah terkenal dunia. Selain Franc Vila, antara jenama yang mengambil bahagian pada kali ini ialah Blu, Bvlgari, Chronoswiss, Chopard, Girard-Perregaux, Gucci, Harry Winston, Jean-Mairet & Gillman, Louis Vuitton, Panerai, Rolex, Scalfaro, Visconti, Boucheron, Korloff, Mouawad dan banyak lagi.

Turut hadir pada majlis makan malam berkenaan ialah Pengarah Urusan Kumpulan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Luxury Concepts, Frank Low.

INFO: Album studio Siti

1996: Siti Nurhaliza

1997: Siti Nurhaliza II

1997: Cindai

1998: Adiwarna

1999: Pancawarna

1999: Seri Balas (duet bersama Noraniza Idris)

2000: Sahmura

2001: Safa

2002: Sanggar Mustika

2003: E.M.A.S

2003: Anugerah Aidilfitri

2004: Prasasti Seni

2006: Transkripsi

2007: Hadiah Daripada Hati

Album rakaman secara langsung:

2001: Konsert Mega Siti Nurhaliza, Bukit Jalil 2001

2002: Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza – Untukmu Sudir

2004: Siti Nurhaliza Live In Concert 2004

2005: Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall London

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: