Konsert Jom Heboh Dua Generasi

13 Dec

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Rap
KONSERT ‘Jom Pi Penang’ di perkarangan Stadium Batu Kawan, Nibong Tebal minggu lalu bersempena Karnival Jom Heboh TV3, cukup istimewa apabila menggabungkan dua generasi muzik di satu pentas.

Garapan gabungan elemen irama 60-an dan era terkini menghiburkan pengunjung apabila penyanyi evergreen, Jeffrydin dan vokalis Kristal, Razlan berkongsi pentas dengan lagu lama, Kenanganku yang diberi sentuhan irama muzik terkini.

Persembahan yang disaksikan lebih 30,000 penonton itu juga adalah konsert terbesar Jom Heboh sepanjang tahun ini selepas Melaka, Perlis, Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuantan dan Sarawak.

Kehadiran Jaclyn Victor, Stacy, Nubhan, Awie, Fazli Zainal dan penampilan pertama, Farahdhiya di samping Ally Iskandar sebagai pengacara, mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Kemunculan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy dengan dua lagu, Aku Stacy dan When I Grow Up dengan penuh bertenaga serta kawalan vokal yang mantap, benar-benar membuatkan penonton bersemangat untuk terus berhibur.

Pentas bagaikan hampir runtuh apabila Stacy bersama penari iringannya menunjukkan kebolehan menari lagu irama rancak di setiap pelusuk pentas.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan Farahdhiya yang kini lebih dikenali sebagai pelakon menerusi siri Spa-Q. Agak lama tidak menyaksikan gadis kacukan Melayu-Inggeris ini di pentas.

Turut memeriahkan persembahan, Fazli Zainal dengan lagu Mentera Sakti diikuti bintang AF6, Nubhan yang menggantikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang tidak dapat hadir selepas menerima berita kematian bapa mentuanya, Mohammad Jiwa Abdullah pada pagi 22 November lalu.

Bintang muda dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menyampaikan dua lagu termasuk lagu popular Othman Hamzah dan Jamal Abdillah iaitu Gadis Melayu dan lagu yang menaikkan namanya, Ada Untukmu.

Selain persembahan bersama Kristal, Jeffrydin juga membuktikan orang lama tetap ‘berbisa’ apabila menyampaikan lagu pop yeh yeh, Siti Haida dan Mas Mona diiringi band pimpinan Edrie Hashim. Suasana pekarangan stadium bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Kehadiran vokalis Wings, Awie dengan gaya rocker sambil memakai topi koboi menyampaikan lagu Layang-Layang Terputus Tali dan Terima Kasih tambah menghangatkan suasana.

Awie sempat berseloroh dengan penonton apabila muncul sebagai Drakulat Van Listerooy, wataknya dalam filem Antoo Fighter. Dia mengejutkan penonton dengan kehadiran Drakulat yang muncul tiba-tiba menyanyi di pentas.

Selain Awie, turut mempromosikan Antoo Fighter arahan Azizi Chunk Adnan ialah kumpulan baru, Cap Ayamz yang dianggotai Azizi sendiri bersama Asrulhisyam Ahmad (Black), Delaila Adnan, Rashidi Rashid dan Jebon dengan lagu Hidup Satu Perjuangan.

Kumpulan yang menyanyikan lagu dari filem Antoo Fighter itu menjadi pembuka tirai persembahan konsert. Mereka kini sibuk dengan promosi filem terbaru Grand Brillance Sdn Bhd (GBSB) yang ditayangkan di pawagam sejak 27 November lalu.

Dengan kehadiran kostum wira penentang jembalang menghangatkan pentas konsert ditambah aksi bersahaja Ally Iskandar memakai kostum berkenaan disambut gelak ketawa penonton.

Fazli Zainal, Farahdhiya dan Jaclyn Victor mengambil tempat dengan lagu Lambaian dan Jatuh Cinta diikuti Bertahta Di Hati daripada Farah Dhiya serta vokal mantap juara Malaysia Idol (MI) dengan lagu Mercy, Dambaran Cinta dan Satu Harapan.

Jaclyn turut berpadu suara dengan Stacy dengan lagu Persembahan Dari Hati sebelum persembahan terakhir Kristal dengan lagu Seragam Hitam, Memburu Impian dan lagu kontroversi Cinta 3 Segi.

Persembahan bunga api selama lima minit sambil diiringi lagu tema Jom Heboh dinyanyikan barisan artis menjadi penutup tirai tepat jam 11 malam.

Pulau Pinang menjadi lokasi kedua terakhir Karnival Jom Heboh sebelum penutup di Bukit Jalil pada 20 dan 21 Disember ini.

Karnival meriah ini turut meraikan majlis penyerahan sumbangan Tabung TV3 Bersamamu kepada dua rumah kebajikan iaitu Wisma Yatim Perempuan dan Pemulihan Dalam Komuniti, Kampung Pertama yang masing-masing menerima RM10,000.

Majlis Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Mengulas mengenai Jom Heboh 2008, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, TV3 bersyukur kerana Jom Heboh masih diminati dan terus dikunjungi.

“Lebih menggembirakan apabila melihat orang ramai bersama keluarga mempunyai satu tempat riadah serta mengisi waktu lapang sambil menikmati pelbagai aktiviti, permainan, jualan dan sebagainya.

“Seperti tahun lalu, TV3 turut menjalankan tanggungjawab khidmat masyarakat dengan menyediakan Tabung TV3 Bersamamu di semua lokasi Jom Heboh 2008.

“Tabung ini dibawa kakitangan TV3, artis dan personaliti di sekitar pekarangan dan gerai bagi memudahkan pengunjung menghulurkan derma ikhlas mereka dan hasil kutipan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: