Dunia Mawi: Aidiladha Di Kampung

13 Dec

Rap
ASSALAMUALAIKUM. Alhamdulillah, meskipun sibuk dengan persiapan perkahwinan, saya masih berkesempatan menyambut Aidiladha di kampung halaman selama tiga hari.

Seronok dapat berkumpul bersama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga. Selain menyelami erti pengorbanan yang menjadi inti pati sambutan perayaan ini, saya berpeluang meninjau persiapan perkahwinan di Felda Taib Andak.

Ternyata penduduk kampung sangat komited dan tidak kisah bekerja keras untuk memastikan segala urusan berjalan lancar. Malah, kakak dan adik saya sanggup bersengkang mata hingga lewat pagi semata-mata mahukan yang terbaik buat saya dan bakal isteri.

Saya terharu dengan pengorbanan ikhlas keluarga dan penduduk kampung. Mereka sudi meluangkan masa dan tenaga untuk majlis ini. Terima kasih tidak terhingga, hanya Allah SWT dapat membalas jasa baik mereka.

Rabu lalu, saya dan Ekin mengabadikan gambar kulit muka depan majalah perkahwinan kami yang akan ada di pasaran tidak lama lagi. Sesi fotografi ini dilakukan dengan penuh teliti dan memakan masa panjang. Banyak perkara dititikberatkan termasuk solekan, pakaian, gaya dan pencahayaan.

Memandangkan sebelum ini kami sudah merakam gambar bersama, jadi tidaklah kekok sangat bila diminta melakukan beberapa gaya. Sesekali hati dicuit perasaan lucu bila penata rias meminta kami memberikan gaya terbaik. Apa tidaknya, terasa seperti merakam gambar pada hari perkahwinan, walhal ia hanya untuk kulit muka depan majalah.

Tidak sabar saya melihat hasilnya dan diharap peminat suka gambar ini. Jangan ketinggalan mendapatkan majalah ini apabila ia dipasarkan kelak. Majalah ini menceritakan secara eksklusif bagaimana bibit percintaan kami bermula hinggalah ke persiapan dan perjalanan majlis perkahwinan kami.

Majalah ini dibuat khas untuk peminat yang setia menyokong saya meskipun kembara seni saya penuh dengan onak duri. Insan bernama Asmawi Ani ini tidak pernah kering dengan kontroversi dan cemuhan, tetapi mereka (peminat) tetap setia di sisi.

Sesungguhnya, sokongan itu menjadi penawar segala duka dan kesedihan. Pernah satu ketika saya tersungkur tidak berdaya tapi kerana semangat mereka, saya bangkit semula.

Ucapan terima kasih tidak mampu membalas budi baik peminat, malah kasih sayang mereka sangat saya sanjung dan itu antara hadiah paling berharga dalam lipatan hayat saya.

Sebelah malam pula saya bergegas ke Stadium Bukit Jalil untuk mengikuti raptai acara University Asean Game (UAG) 2008 yang berlangsung semalam.

Inilah julung kalinya saya terbabit dengan program besar-besaran anjuran universiti. Dalam acara ini saya diminta menyanyikan satu lagu.

Khamis lalu, saya menghadiri majlis perasmian wajah baru Lord’s Tailor yang menyambut ulang tahun ke-34 di Pusat Membeli-belah Bangsar (BSC).

Majlis yang bermula jam 3 petang itu dihadiri ramai artis dan model ternama tanah air. Tidak ketinggalan dua pelakon remaja popular Indonesia, Dimas Back dan Kiky Rizky.

Saya, Datuk Siti Nurhaliza dan Diana Danielle mengetuai acara memotong riben bersama 25 lagi selebriti lelaki. Terima kasih diucapkan kepada penganjur kerana memberi penghormatan ini.

Lord’s Tailor sememangnya terkenal dengan rekaannya yang berbeza dan menjanjikan keselesaan kepada pelanggan. Jahitannya sangat kemas, malah pertama kali menggayakan baju dari butik ini saya sudah jatuh cinta.

Tahniah diucapkan kepada warga kerja Lord’s Tailor dan diharap jenama ini terus unggul dan menjadi pilihan utama mereka yang mementingkan gaya.

Sampai di sini saja, insya-Allah kita bertemu lagi di ruangan sama minggu depan. Sekian, wassalam.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: