Bakat Seni Kiky, Dimas

13 Dec

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap
UMPAMA bulan jatuh ke riba! Itulah perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan perasaan dua pelakon remaja yang meningkat dari Indonesia ini apabila diundang memeriahkan majlis Lord’s Tailor Brand new Look sempena ulang tahun ke-34 butik itu di Pusat Beli-belah Bangsar, baru-baru ini.

Menerusi acara itu, Dimas Beck yang popular menerusi filem Bukan Bintang Biasa dan aktor sinetron Olivia, Kiky Rizky, bukan saja berpeluang bertemu penyanyi idola mereka, Datuk Siti Nurhaliza tetapi juga bergaul dengan ramai selebriti tempatan, sekali gus mencari peluang mencipta nama di negara ini.

Ketika pertemuan dalam sesi fotografi khas yang diatur oleh Pengurus Publisiti, Billbora, dua jejaka kacak ini teruja menyuarakan keinginan mengembangkan bakat di Malaysia dan menyifatkannya undangan Lord’s Tailor satu penghormatan besar buat mereka.

Dimas berkata, perkara pertama terlintas di fikirannya adalah mengintai peluang menyanyi di negara ini kerana itulah impiannya selama ini. Anak didik Melly Goeslow ini berulang kali menegaskan mahu dikenali sebagai penyanyi di Malaysia meskipun di negara kelahirannya dia mula diperkenalkan sebagai pelakon.

“Saya difahamkan, ada perbincangan antara syarikat pengurusan saya iaitu DN Production dan syarikat rakaman Malaysia memasarkan album saya ke sini tahun depan. Saya berharap sangat ia dapat direalisasikan kerana teringin benar mengadakan persembahan di sini.

“Ini kunjungan pertama saya ke Kuala Lumpur dan tidak akan melepaskan peluang bersiar-siar di Bukit Bintang dan Menara Kembar Petronas. Saya juga mahu menikmati laksa,” katanya yang mula mencipta nama menerusi filem Bukan Bintang Biasa (BBB).

Sementara itu, ini kunjungan kedua Kiky kerana sebelum ini dia menghadiri majlis perkahwinan sahabat karibnya, Bunga Citra Lestari. Akui jejaka kacak ini, dia tidak pernah terfikir diundang ke Kuala Lumpur dan berterima kasih kepada Lord’s Tailor dan Billbora.

“Menerusi acara ini saya dapat mengenali artis Malaysia dengan lebih dekat. Saya difahamkan, sinetron Olivia ditayangkan di sini dan berharap penonton suka lakonan saya.

“Dalam kunjungan lalu saya tidak sempat bersiar-siar, tetapi kali ini saya menetap lebih lama dan dapatlah menikmati keindahan Kuala Lumpur,” katanya.

Berkongsi pengalaman mula bertapak sebagai anak seni, ia bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi rupa dan penampilan sangat diberi penekanan.

Jelas Dimas Beck, penerbit akan melihat gambar dan andai menepati cita rasa mereka, baru dipanggil menjalani uji bakat. Ia prosedur yang biasa dipraktikkan produksi negaranya.

“Saya menceburi dunia lakonan tiga tahun lalu. Ketika itu saya bimbang tidak diterima peminat, tapi alhamdulillah, berkat bimbingan Melly yang ketika itu menerbitkan filem BBB, saya dapat mengikis perasan itu sedikit demi sedikit.

“Banyak yang saya belajar daripada Melly, antaranya jika mahu melakukan sesuatu, lakukan yang terbaik. Selain itu jangan segan berguru dengan pelakon lebih senior. Ilmu yang diperturunkan dapat membentuk kita menjadi pelakon lebih baik.

“Menerusi pengalaman mereka juga, kita akan jadi manusia yang lebih bersyukur,” katanya yang kini kencang dengan tawaran sinetron.

Menurut Kiky, pada awal pembabitan, dia hampir berputus asa apabila sering dimarahi pengarah. Sebagai orang baru dia memerlukan bimbingan, tetapi lain pula jadinya.

“Kalau saya buat salah, pengarah sepatutnya beritahu kerana daripada situ saya boleh perbetulkan. Ini tidak, saya dibiarkan dan asyik dimarahi. Selepas beberapa sinetron, saya dapat menyesuaikan diri dan mula yakin dengan kemampuan diri. Syukur, kini saya diterima dalam industri,” katanya yang murah dengan senyuman.

Dua aktor meningkat naik ini mengaku bukan mudah mengekalkan populariti kerana persaingan persada seni Seberang sangat sengit. Naik turun perkara biasa, justeru mereka harus tahu mengemudi kerjaya supaya terus mendapat tempat di hati peminat.

Prinsip mereka, jangan sesekali mendabik dada apabila berada di puncak kejayaan dan jauhi sikap sombong. Mencipta nama dalam bidang glamor banyak cabarannya, termasuk dihimpit kontroversi dan cemuhan. Kerana itu mereka perlu sentiasa bersedia menelan apa saja dugaan, meskipun ia jelek.

Pelakon remaja ini juga tidak pernah mengehadkan bakat, sebaliknya turut dikenali sebagai penyanyi dan hos. Dimas pernah menyumbangkan suara dalam album runut bunyi filem BBB menerusi lagu Maafkan dan kini muncul dengan single terbaru, Ada Kamu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi legenda, Irianti Erning Praja pada 1988.

“Sudah tiga minggu lagu ini diputarkan di radio dan tersenarai dalam beberapa carta. Kiky pula pernah merakam satu lagu yang dimuatkan dalam album Ten Male Sinetron Artist.

“Sama seperti saya, dia juga berhasrat merakam album penuh. Sebagai rakan seperjuangan, saya sentiasa mendoakannya,” kata hos program muzik Inbox ini.

Persahabatan dua anak muda ini terjalin menerusi sinetron Doo Bee Doo. Apabila mengetahui Kiky tidak menggunakan khidmat pengurus, Dimas memperkenalkan Kiky kepada pengurusannya yang dikendalikan oleh Deddy Nur.

“Saya kini bernaung di bawah pengurusan sama dengan Dimas dan Rafi Ahmad. Semakin hari kami semakin akrab dan saling menyokong karier masing-masing.

“Dengan adanya Deddy, perjalanan seni kami berkembang dengan pantas, malah siapa sangka berkat usaha samanya dengan Billbora, kami dapat mendekati industri seni Malaysia,” kata Kiky. – (Terima kasih Billbora kerana mengatur pertemuan)

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: