Siti, Datuk K Minta Bantuan Pakar Geologi

12 Dec

Teks & foto oleh Haswari Ali
Pakaian Dato’ Siti Nurhaliza oleh Lord’s Tailor

KUALA LUMPUR, 12 DIS 2008:  Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, pada 6 Disember lalu turut memberi kesan mendalam kepada penyanyi tersohor Dato’ Siti Nurhaliza.

Meskipun kediamannya yang terletak tidak jauh dari kawasan malapetaka itu belum terjejas, penyanyi itu tetap memikirkan kemungkinan yang berlaku serta mengambil langkah-langkah keselamatan.

Ketika ditemui portal murai.com.my sempena wajah baru butik Lord’s Tailor di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) petang semalam, Siti berasa hiba dengan kejadian itu yang turut menimpa kediaman sepupunya serta penduduk di kawasan berkenaan.

Kata Siti, bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti tanah di persekitaran kediamannya itu, dia dan suaminya, Dato’ Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) akan memanggil pakar geologi untuk memantau kawasan itu.

“Setakat ini kami belum berpindah kerana kawasan kediaman Siti tidak terjejas. Kami tinggal di kawasan tanah rata dan tidak ada bukit yang tinggi berhampiran rumah Siti.

“Bagaimanapun Siti dan suami tetap mengambil langkah berhati-hati. Suami Siti sudah membuat rondaan di sekitar rumah bagi memastikan tiadanya keretakan. Kami juga akan meminta nasihat pakar geologi bagi memastikan kawasan rumah kami itu benar-benar selamat untuk didiami,” katanya.

Bercerita tentang pengalamannya ketika malapetaka itu, Siti berkata, dia sungguh cemas apabila diberitahu tentang kejadian itu oleh suami dan sepupunya awal pagi.

Bagaimanapun dia bersyukur, apabila mengetahui rumah sepupunya itu terselamat tetapi tetap menjemput mereka tinggal di rumahnya.

“Apabila dapat tahu berita itu, Siti memang takut. Kemudian kami keluarga pergi ke sana untuk melihat apa sebenarnya yang telah berlaku. Kemudian kami terus membawa mereka tinggal di rumah kami buat sementara waktu. Sekarang mereka sudah tinggal bersama mertua mereka,” jelas Siti.

Berikutan tragedi itu, Siti terpaksa membatalkan percutiannya ke Amerika syarikat (AS) kerana mahu mengambil langkah berjaga-jaga dan memberikan tumpuan kepada keluarga.

Siti dan Datuk K dijadual berangkat ke AS untuk bercuti selama 2 minggu sebelum penghujung Disember ini.

“Dalam keadaan sekarang, kami fikir eloklah dibatalkan saja. Sebagai ganti, Siti akan bercuti dalam negara saja. Bukan 2 minggu tapi seminggu saja di Sabah,” katanya yang kelihatan ayu dengan busana kombinasi merah jambu dan putih.

Album baru Lantera Timur dipasarkan 26 Disember

Dalam pada itu, Siti begitu teruja menantikan kelahiran album terbarunya, Lantera Timur yang bakal menemui peminat pada 26 Disember ini.

Lantera Timur yang membawa maksud Cahaya Timur adalah buah tangan terbaru Siti selepas lebih 4 tahun tidak melahirkan album penuh berlatar belakangkan muzik tradisional.

Siti berkata, album berkenaan akan menampilkan 11 lagu baru dengan barisan komposer handalan seperti M Nasir, Pak Ngah, Zul Mahat, Khairi Johari Johar, Johari Teh, Fauzi Marzuki, S Atan, Adnan Abu Hassan dan Katon Bagaskara.

“Konsep album ini adalah tradisional kontemporari. Siti harap album ini akan mendapat sambutan yang baik daripada peminat Siti. Harap-harap mereka akan berpuas hati,” katanya.

Jelas Siti, perancangan untuk melahirkan Lantera Timur sudah dirancang 2 tahun lalu. Bagaimanapun dia masih kekurangan material sehinggalah projek itu dilaksanakan dengan bantuan MACP.

Murai

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: