Spa Q Kembali Beroperasi

11 Dec

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

PENGARAH bersama Spa Q, Hanafiah Shariff (kiri) dan Redza Fahmy Suib.

60 episod drama tampilkan kelainan dari segi jalan cerita, konflik

MENGANGKAT drama bersiri sebagai telenovela tempatan bukan seperti melahirkan drama biasa. Pelbagai aspek yang dilakukan tidak sama sekali menyamai pembikinan drama biasa.

Musim pertama lalu, slot Akasia menerusi TV3 berjudul Spa-Q yang diarahkan Zulkiflee R Shad disiarkan sebanyak 60 episod memperoleh jumlah penonton melebihi dua juta. Drama yang disiarkan empat kali seminggu itu turut meninggalkan impak yang besar sehingga tercetusnya idea untuk meneruskan kesinambungan bagi musim kedua sebagai telenovela.

Kini Spa Q musim kedua bakal menemui penonton yang akan meneruskan kesinambungan kisah Qistina bersama mengetengahkan isu dendam daripada watak utamanya yang dilakonkan oleh ramai pelakon jelita.

Telenovela yang bakal disiarkan bermula 15 Disember ini lebih meriah dengan penampilan ramai pelakon hebat dan jelita seperti Norish Karman, Zizie Ezette, Azizah Mahzan, Jasmin Hamid, Farahdhiya, Fouziah Gous, Zaris Nellydya, Sharifah Sofea dan Nisha Dirr. Selain itu Zaefrul, Fazren Rafi, Ifa Raziah, Liza Abdullah, Kanchana Devi, Faizal Yusuf, Ritz dan Fizo Omar.

Telenovela arahan tiga pengarah berpengalaman seperti Redza Fahmu Suib, Hanafiah Sharif dan Feroz Khan akan disiarkan sebanyak 60 episod dengan menampilkan kelainan dari segi jalan penceritaan dan konflik yang unik.


Jasmin Hamid

Menurut Redza Fahmy Suib, Spa Q adalah telenovela yang dilahirkan seperti telenovela dari negara luar.

“Kali ini kami ingin menekankan dari segi lakonan, elemen telenovela dan bukan seperti drama bersiri yang sedia ada. Konsepnya tetap sama seperti mana musim pertama lalu di mana masih mempertaruhkan wanita cantik yang berkerjaya dan mengharungi pelbagai konflik dan dendam.

“Namun perbezaannya ia mengekalkan kecantikan, keindahan seperti telenovela dari negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Mexico dan banyak lagi.

“Kami juga menekankan nilai artistik yang digabungkan dengan unsur telenovela dengan dinamik yang lebih cepat daripada drama,” katanya yang ditemui di majlis ramah mesra pelakon Spa Q musim kedua bertempat di Hotel Palace of The Golden Horses baru-baru ini.


ANTARA barisan pelakon yang membintangi telenovela Spa Q musim kedua.

Telenovela yang diterbitkan Global Station Sdn Bhd turut memperkenalkan ramai pelakon jelita berbanding musim lalu.

“Kali ini memang ramai pelakon tetapi kebanyakan mereka berbakat besar dan hanya melakonkan watak sampingan saja. Biarpun hanya melakonkan watak sampingan tetapi impaknya sangat kuat kerana setiap pelakon yang berpengalaman ini mempunyai karakter berbeza-beza.

“Dengan kemunculan pelakon yang berpengalaman ini kita tidak menghadapi banyak masalah dan kerja dapat dijalankan dengan cepat dan pantas,” katanya.

Jasmin kesal sikap pelakon baru

MENURUT Zizie Ezette yang sinonim melakonkan karakter jahat, watak yang diberikan bukan pilihannya.

“Saya anggap ini satu penghargaan kerana kalau tidak kerana bakat saya dipilih. Namun sebenarnya saya sudah cukup jemu untuk membawakan watak jahat. Mungkin muka saya ini nampak jahat dan sukar untuk membawakan watak yang lebih mencabar,” katanya.

Bagi Jasmin Hamid, berada di dalam produksi ini cukup menggembirakan dirinya kerana bekerjasama dengan ramai pelakon yang berpengalaman.

“Bagi saya apabila kita berada bersama orang yang bagus sudah tentu mudah untuk kita menjadi bagus. Cuma sedikit kesal apabila mendapati ramai pelakon baru yang tidak tahu menghormati pelakon yang lebih senior. Saya selalu mengingatkan pelakon baru ini agar selalu bertegur antara satu sama lain sekiranya ingin maju di dalam bidang ini.

“Ada kalanya saya agak tersentuh apabila ada pelakon baru yang menjadikan bidang lakonan ini sebagai hobi saja. Seolah-olah dia menghina saya dan rakan lain yang menjadikan lakonan ini sebagai karier profesional mereka. Periuk nasi kami hanyalah hobi mereka,” katanya yang menceritakan pengalaman lalu terbabit dalam beberapa produksi sebelum ini.

Spa Q musim ini turut membuat kejutan apabila buat julung kalinya penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza tampil dengan membawakan watak dirinya sendiri.

Siti pegang watak diri sendiri

PASTINYA ramai yang tertunggu-tunggu kemunculan Datuk Siti Nurhaliza dengan penampilan pertamanya sebagai aktres menerusi telenovela Spa Q musim kedua ini.

Jika dulu kita sudah menyaksikan Siti muncul sebagai pelakon teater dalam P Ramlee The Musical yang memegang watak sebagai Azizah dan kini percubaannya dalam telenovela pula. Mungkin dengan percubaan pertama ini juga Siti akan selesa untuk meneruskan bidang lakonan.

“Kemunculan saya hanya penampilan istimewa. Watak saya terlalu kecil sekadar merasmikan butik Spa Q di Langkawi.

“Ini juga berlaku secara kebetulan di mana pada masa itu saya tidak banyak komitmen di dalam nyanyian. Puan Zaiton sekadar bertanya sama ada saya ingin mencuba berlakon di dalam produksinya atau tidak. Saya terbabit di dalam produksi itu hanya setengah hari saja.

“Soal adakah saya ingin terbabit dalam bidang lakonan selepas ini rasanya belum lagi. Itupun akan saya pertimbangkan sekiranya watak, skrip dan yang berkaitan menarik perhatian saya.

“Buat masa ini saya masih lagi mahu menumpukan bidang nyanyian,” katanya yang ditemui sebaik saja majlis memperkenalkan Spa Q musim kedua selesai.

Siti yang memegang wataknya sendiri iaitu Datuk Siti berhasrat membantu perniagaan Spa yang dijalankan oleh Qistina. Dengan bantuan Datuk Siti, Qistina berjaya memperluaskan perniagaannya ke peringkat antarabangsa. Semasa hari bersejarah itu, Datuk Siti diundang oleh Qristina untuk merasmikan Spa itu.

Menerusi musim ini juga, Siti turut menyanyikan sebuah lagu yang berjudul Pada Cintanya sebagai lagu tema telenovela ini.

Menurutnya, dia berharap lagu Pada Cintanya akan mendapat tempat di hati pendengar seperti mana lagu Ku Mahu yang pernah dinyanyikan musim lalu.

“Sebenarnya lagu Pada Cintanya yang dicipta oleh komposer Audi Mok dan liriknya oleh Rina Khan dan saya sendiri ini baru saja saya terima. Semasa rakaman lagu ini dibuat saya hanya sempat menghafal lirik namun saya amat berpuas hati dengan keseluruhan produksi ini,” katanya.

Sementara itu, tahun 2009 akan menyaksikan pembabitan Siti secara aktif dalam bidang nyanyian selepas mengurangkan aktiviti seninya sebelum ini untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Sebelum ini pun memang Siti sudah mengurangkan aktiviti seni bagi menumpukan perhatian kepada keluarga. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dalam keadaan stabil.

“Siti akan muncul dengan album tradisional kontemporari terbaru pada bulan ini. Semua proses rakaman sudah selesai dan majlis pelancaran album itu akan diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: