Spa Q Hanya Kebetulan

9 Dec

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

APABILA Datuk Siti Nurhaliza tergolong dalam barisan pelakon bersiri hit, Spa Q yang bakal memasuki musim kedua pada 15 Disember ini, ia seolah menjelmakan satu persepsi baru, adakah selepas ini, penyanyi berprofil tinggi ini akan membuka lebar jendela hatinya untuk mencuba lakonan ke dalam karier seninya.

Sudah tak terbilang agaknya bunga bangsa bersuara emas ini dilamar sebagai penyeri dunia lakonan, namun sehingga ke hari ini, wajah figura bernama Siti Nurhaliza ini belum lagi menghiasi mana-mana drama mahupun filem.

Sudah terang lagi bersuluh, saham Siti terlalu mahal untuk lakonan. Dan dari dahulu mula langkah diatur dalam dunia seni sehinggalah ke hari ini, nyanyian masih tidak bertepi dalam kembara seni Siti Nurhaliza.

Cuma sekali, kelibat Siti terselit menerusi sebuah filem pendek, Zaleha Ayam Patah yang dibikin oleh Uniputra Production, anak syarikat Universiti Putra Malaysia (UPM) beberapa tahun sudah.

Itupun Siti sekadar muncul sebagai penyanyi lagu-lagu zapin dalam satu babak pertunjukan zapin yang menjadi inti cerita. Siti hadir tanpa watak mahupun dialog dan menyanyi dalam persembahan yang turut menyaksikan komposer Pak Ngah sebagai salah seorang pemuzik.

Menjelaskan kemunculannya yang masih kekal membawa status dan gelaran Datuk Siti Nurhaliza menerusi drama bersiri terbitan Global Station itu, terjun ke lokasi penggambaran drama hanyalah satu kebetulan buatnya.

“Alahai, saya buat penampilan istimewa sahaja, jadi diri sendiri. Cuma dalam babak perasmian spa baru sahaja, dialog pun sikit-sikit saja,” luah Siti merendah diri.

Menerima tawaran Spa Q 2 kerana produksi ini milik kakak ipar sendiri iaitu Zaitun Mohamad Jiwa, Siti tidak melihat perkara itu sebagai satu perkara yang perlu diungkitkan.

“Saya buat sebab ada kelapangan, seperti yang saya katakan tadi, itu sekadar kebetulan. Lagipun untuk musim pertama tahun lepas saya terlibat sebagai penyanyi lagu tema Ku Mahu dan saya masih menyanyikan lagu tema yang baru untuk musim kedua ini. Jadi tak salah kalau saya terbabit,” kata Siti yang muncul dengan lagu terbaru Pada Cintanya yang menjadi lagu tema Spa Q 2.

Harapan Siti, untuk lagu tema baru Spa Q 2 ciptaan Audi Mok lirik oleh Rina Khan dan Siti sendiri itu akan diterima peminat seperti mana Ku Mahu sebelum ini.

“Saya baru dapat dan baru sahaja selesai rakaman lagu berkenaan Ahad lalu (30 November). Lagu Pada Cintanya sebuah lagu yang agak rancak, macam lagu Ku Mahu juga,” jelas Siti yang angun dalam jubah putih berhias tudung merah jambu ketika hadir semasa sesi ramah mesra bersama pelakon drama berkenaan di Seri Kembangan, baru-baru ini.


PENGLIBATAN dalam Spa Q 2 menimbulkan persoalan sama ada Siti bakal berlakon secara serius pada masa akan datang.

Biarpun watak cameo untuk siri ini, penantian peminat untuk melihat Siti tampil sebagai pelakon semakin menjadi kenyataan ditambah lagi dengan khabar angin, kononnya Siti akan berlakon filem terbitan Adnan Abu Hassan berjudul Bunian.

“Perbincangan saya dan Adnan adalah untuk lagu tema kerana Bunian sebuah filem animasi. Untuk lakonan suara, saya masih tidak memberikan apa-apa persetujuan,” katanya sambil menjelaskan buat masa ini, dia tidak pernah terfikir serius berlakon memandangkan nyanyian masih menjadi keutamaannya.

Selain untuk lagu tema Bunian, Siti juga terbabit dengan sebuah produksi filem dari Indonesia berjudul Perempuan Berkalung Sorban yang bakal ditayangkan di Indonesia 24 Disember ini.

Dalam satu laporan daripada web SCTV, untuk filem yang bertemakan keislaman itu, Siti juga sudah menjalani satu pembikinan klip video dan terlibat dengan rakaman album runut bunyi filem itu di Jakarta, baru-baru ini.

Lebih mengujakan Siti lagi, tahun 2009 yang sedang mengintai memberikan semangat baru buatnya untuk kembali merancakkan aktiviti seni yang lewat kebelakangan ini agak perlahan disebabkan banyak agenda peribadi yang harus diselesaikan.

“Tahun 2008, Siti sibuk dengan benda lain, pergi haji dan banyak hal ini, tapi sekarang saya seronok dan tak sabar. Album baru pun dah melepasi proses mastering dan hampir siap sepenuhnya. Insya-Allah, dalam masa dua atau minggu lagi ia akan dilancarkan dan dipasarkan,” luahnya menguntum senyum.


SITI bergambar bersama pelakon Spa Q 2 yang bakal menemui penonton 15 Disember ini.

Berkonsepkan tradisional kontemporari, album terbaru daripada Siti ini dijangka penuh variasi apatah lagi komposer terkenal, M. Nasir turut berkompromi untuk Siti menerusi lagu Ada Masa Mata, lirik oleh Ad Samad.

Selain itu, Siti turut menggunakan khidmat komposer terkenal lain antaranya Johari Teh, Johan Nawawi, Adnan Abu Hassan, Datuk Shuhaimi Mohd Zin dan Zul Mahat bagi memberikan kesan istimewa album berkenaan kelak.

Sebuah lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara yang berjudul Cinta Ini juga menjadi antara sandaran Siti Nurhaliza kali ini.

Sebelum menoktahkan bicara dan meminta diri untuk bergegas menghadiri satu majlis perkahwinan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), Siti sempat berpesan. Katanya: “Rezeki saya masih sebagai seorang penyanyi dan tahun 2009 ini, peminat bakal menyaksikan Siti yang mereka mahukan walaupun tidak seperti yang mereka ketahui selama ini.”

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: