Rindu Dengar Takbir

8 Dec

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

“LABBAIKALLAHUMMALABBAIK” (Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu).
Kalimah keramat memuji Tuhan yang satu ini tidak putus-putus diucap jutaan umat Islam terpilih sepanjang menunaikan fardu haji.

Pagi ini di saat kita meraikan Aidiladha dengan penuh keriangan, hati penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, tersentuh apabila mendengar kalimah itu kembali berkumandang.

Melihat visual disiarkan menerusi berita mengenai jutaan umat Islam bertamu di Baitullah, membuatkan hatinya terusik.

Masih hangat di ingatan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu akan saat-saat manis apabila berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu akhir Disember lalu.

Siti ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa, ibu, Siti Salmah Bachik dan abangnya, Saiful Bahri (Ayie) mengerjakan ibadat haji selama dua minggu.

Berkongsi pengalaman, Siti yang ditemui di lokasi rakaman klip video lagu runut bunyi filem seberang, Perempuan Berkalung Serban, baru-baru ini berkata, apabila takbir bergema perasaan rindunya pada Tanah Suci mula bertandang.

“Saya sendiri berasa seronok dan tumpang gembira apabila tahun ini turut dikhabarkan beberapa teman artis seperti Datuk Sheila Majid dan Aznil Nawawi sedang berada di Makkah untuk menunaikan haji.

“Doa saya untuk mereka agar segala urusan di sana berjalan lancar dan selamat kembali.

“Sekurang-kurangnya nanti kami dapat berkongsi pengalaman indah dan manis sepanjang berada di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Siti turut meluahkan kesyukuran apabila sepanjang dia dan suami mengerjakan ibadat haji tahun lalu segala ibadat wajib dapat dilakukan dengan lancar.

“Selalunya pelbagai cerita yang kita dengar membabitkan dugaan dan cabaran yang harus dilalui, namun saya sendiri tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran. Ternyata Allah memudahkan perjalanan dan niat kami.

“Saya berterima kasih kepada wakil Tabung Haji yang ada bersama-sama kami kerana membantu memudahkan urusan dengan memberikan bantuan dan khidmat nasihat.

“Sepanjang hari dilalui di sana dipenuhi dengan amal ibadat. Paling menyentuh perasaan apabila saya menyaksikan jutaan saudara sesama Islam dari seluruh pelosok dunia berkumpul di Arafah sebelum berarak ke Makkah.

“Begitu juga sewaktu melaksanakan ibadat melontar. Di sana kita dapat lihat bagaimana umat Islam benar-benar berjuang dan berjihad. Mujur kebanyakan jemaah tempatan mematuhi saranan yang diberikan pihak Tabung Haji bagi mengelaknya berlaku sebarang perkara tidak diingini.

“Suami sendiri turut merancang agar ibadat kami dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kami mempunyai pelan penyelesaian sekiranya berlaku masalah.

“Bagaimanapun, sekarang hendak melaksanakan ibadat haji semakin senang kerana banyak kemudahan sudah dibangunkan kerajaan Arab Saudi.

“Tidak seperti sebelum ini. Contohnya tempat melontar sudah dibesarkan dan jadual bagi setiap jemaah bagi beberapa benua sudah ditetapkan. Ia secara tidak langsung menjadikan ibadat dilaksanakan dapat dilakukan dengan sempurna dan lancar,” katanya.

Siti sekali lagi menegaskan agar ibadat yang dilakukan tidak dijadikan isu oleh beberapa pihak dengan mempertikaikan pemergiannya yang singkat dengan jumlah perbelanjaan dikeluarkan bagi memperoleh pelbagai kemudahan.

“Bukankah yang penting adalah niat hati kita untuk beribadat kerana di penghujungnya apa yang kita lakukan, itulah yang dinilai Tuhan.

“Sebelum ini kebanyakan daripada kita tidak pernah berkira untuk berbelanja besar apabila melancong ke luar negara. Pada saya, apa salahnya sekiranya kita melakukan perkara sama demi mencari keredaan Allah,” katanya.

Setahun sudah berlalu, selepas pulang dari menunaikan haji, Siti yang kini popular dengan lagu Wanita, dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan menguruskan suami dan rumah tangga.

Katanya, memang aktiviti seninya dikurangkan kerana harus mengikut suami yang banyak urusan di dalam mahupun luar negara.

Begitupun, ia bergantung kepada rezeki, mungkin sepanjang tahun ini tawaran yang diterima tidak sibuk seperti dulu dan album Hadiah Daripada Hati diedarkan sebelum saya ke Tanah Suci.

“Namun berbeza dengan tahun baru bakal tiba ini apabila saya dihujani banyak tawaran di saat. Saya sendiri bakal mengedarkan album berkonsepkan pop Melayu dan tradisional dua minggu lagi.

“Beberapa bulan lalu saya banyak menerima tawaran berlakon filem, tetapi kerana jadual penuh ia terpaksa ditolak.

“Terbaru, pengarah filem Ayat-Ayat Cinta melamar saya untuk mendendangkan lagu runut bunyi filem terbaru arahannya yang bertemakan ketuhanan, Perempuan Berkalung Serban.

“Saya mendendangkan lagu pernah dinyanyikan Opick, Ketika Cinta dan satu lagu ciptaan sendiri, Batasku Asaku. Kedua-dua klip videonya dibuat di sini.

“Pada peringkat awal, saya meminta agar penerbit filem ini meminta lagu dari Melly Goeslow yang menghasilkan lagu Ayat-Ayat Cinta untuk saya nyanyikan sebagai lagu latar filem itu, tetapi sayangnya dia sibuk.

“Sebagai penyelesaian, saya katakan kepada pihak produksi yang saya mempunyai satu lagu yang dicipta sendiri dan belum digunakan sekiranya mereka berminat.

“Saya hantar menerusi e-mel dan mungkin sudah tertulis ia rezeki saya, mereka menerimanya dan lirik dihasilkan pencipta di sana dan disusun semula oleh produksi penerbitan filem,” katanya.

Apa yang membimbangkan Siti saat ini ialah filem itu akan ditayangkan di Indonesia pada akhir bulan ini sama dengan album terbarunya dipasarkan di sini.

“Mujur konsep runut bunyi filem itu berbeza dengan lagu dimuatkan dalam album terbaru saya memandangkan filem Perempuan Berkalung Serban akan ditayangkan di sini Januari nanti.

“Begitupun saya menganggap dua lagu runut bunyi filem itu hadiah dari saya buat peminat di seberang yang mungkin merindui kemunculan saya dengan buah tangan baru.

“Waktu sama saya punya satu lagi lagu baru yang bakal menjadi lagu latar drama Spa-Q. Nampaknya sepanjang tahun depan, saya kembali sibuk dengan pelbagai aktiviti seni,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: