Bagaikan 3 Beradik

8 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Aida Radzwill, Eja dan Fouziah Gous bagaikan tiga beradik apabila ditemukan dalam satu sesi fotografi di Butik Lynda Rahim baru-baru ini

SEAKAN merestui dan mengambil berkat kedatangan Aidiladha yang jatuh pada hari ini, sesi fotografi yang berlangsung lima hari sebelumnya berjalan dengan lancar. Buat semua pembaca setia Berita Harian, khususnya ruangan sisipan ini, Hip mengucapkan selamat Hari Raya Korban dan semoga kita meraikannya dengan penuh rasa kesyukuran.

Sesi fotografi menggandingkan tiga pelakon tiga generasi, lewat 80-an diwakili aktres hebat, Aida Radzwill, Eja (90-an) dan generasi 2000, Fouziah Gous hampir tak jadi gara-gara kesihatan Aida yang tidak mengizinkan sehari sebelum berlangsungnya fotografi.

Namun, kerana tidak mahu mengecewakan hasrat Hip, isteri kepada Joe Radzwill ini menggagahkan diri dan syukur kesihatannya semakin bertambah baik. Pertemuan Aida dan Eja juga mengubat kerinduan mereka selepas pulang dari Tanah Suci Makkah pada Oktober lalu untuk penggambaran drama Tasbih Cinta arahan Erma Fatima dan sekali gus mengerjakan umrah.

Ibarat tiga adik beradik anggun dengan busana rekaan Lynda Rahim, suasana riuh rendah jelas kedengaran sehingga terserlah keakraban masing-masing. Paling mengharukan, Fouziah, 26, berkata dia tidak menyangka berpeluang bergandingan dengan Eja, 35, dan Aida, 51.

“Ia satu pengalaman dan memori manis apabila saya berada di sisi mereka,” kata Fouziah ringkas. Baru tiga tahun merentas onak seni, pembabitan Fouziah dalam bidang seni terlalu kecil berbanding Eja dan Aida yang masing-masing sudah 11 dan 20 tahun bergelar anak seni.

Berkongsi rasa yang sama, bukan mudah sebenarnya untuk ketiga-tiga pelakon ini mengukuhkan tapak dan legasi seni mereka hingga saat ini. Sempena Hari Raya Korban ini, Hip berkongsi sudut pandangan mereka mengenai pengorbanan dan hijrah.

Aida akui pernah lalai dengan hal duniawi

BAGI Aida Radzwill yang kini tampil dengan imej bertudung sejak lima bulan lalu, ketika bulan Rejab menjelma, ia adalah satu hijrah dan transformasi yang sangat terpuji. Berubah kerana dorongan Yang Maha Esa, Aida kini semakin dekat dengan Tuhan.

Katanya, perubahan bukan berlaku secara mendadak atau drastik, sebaliknya ia berlaku peringkat demi peringkat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Apa yang terjadi kini juga umpama hikmah yang memerlukan pengorbanan besar, yakni menutup aurat kerana ia satu tuntutan wajib bagi mereka yang beragama Islam. Mengakui ada yang tidak menyenangi dengan imejnya kini, dia juga sering diuji dengan pelbagai dugaan.

“Saya bertudung bukan sekelip mata sebaliknya selepas dua tahun baru saya mengambil langkah berbuat demikian. Permulaan saya ke arah itu bermula dengan keinginan untuk mengaji al-Quran dan saya mengaku terlalu lalai dengan hal duniawi hingga mengabaikan soal akhirat. Saya ibarat seperti budak kecil yang baru nak belajar mengaji dan saya dibantu seorang ustazah yang disyorkan adik saya.

“Daripada bab mengaji, saya mula memperbetulkan amalan solat dan selesa memilih baju berlengan panjang kerana tidak mahu mendedahkan aurat. Saya berubah tanpa paksaan sesiapa dan di awalnya hanya suami dan adik saya saja yang tahu niat saya sedangkan keluarga saya tidak tahu.

“Ada juga pihak produksi drama yang tidak tahu saya sudah mula bertudung dan atas perbincangan mengikut kesesuaian watak dan imej saya, ada yang boleh dibawa berbincang. Ada juga yang meminta saya buka tudung kerana tidak sesuai dengan tuntutan watak dan apa yang boleh saya lakukan ialah menolaknya dengan baik. “Dugaan itu sentiasa berlaku di mana-mana saja dan kita sebagai hamba-Nya kena cekal menghadapinya dengan tenang. Tuhan sayang kita sebab itu kita diuji,” jelasnya penuh syukur sambil memberitahu setiap daripada kita pasti akan berkorban untuk mendapat keredaan-Nya dan berada di sisi orang beriman.

Sudah puas bergaya dan bereksperimentasi dengan pelbagai fesyen, kata Aida, zaman itu sudah berlalu baginya. Namun, ungkapnya, bertudung bukan alasan untuk tidak terus mengekalkan gaya selagi masih menutup aurat. Biar sudah bertudung, tawaran berlakon masih lebat diterimanya.

“Alhamdulillah, rezeki itu masih ada untuk berlakon. Ada beberapa drama yang saya masih terikat dengan penggambaran seperti Rozana yang bakal mengisi slot Samarinda di TV3. Begitu juga dengan Laila Majnun untuk slot Lagenda TV3. Drama Tasbih Cinta akan disambung penggambarannya di Malaysia pada tahun depan. Insya-Allah, saya akan terbabit dengan drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dan juga drama arahan Rashid Sibir pada 2009.

“Hakikatnya bukan mudah untuk saya terus kekal dalam dunia seni kerana semakin lama pasti akan ada saingan. Lagi lama kita di dalam industri, maka kita perlu mempamerkan kualiti lakonan yang baik. Hidup ini umpama putaran roda, saya sedar diri dan umur sudah meningkat apabila sudah mula menerima watak pembantu. Kita harus bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya yang hidup bahagia bersama suami tercinta sejak hampir tujuh tahun.

Korban privasi apabila jadi artis

BAGI Eja pula, setiap langkah hidup manusia pasti akan diselit dengan pengorbanan dan erti bertolak ansur yang sering melengkapi. Pengorbanan ini bersifat subjektif, ia termasuklah berkorban hati, jiwa, perasaan dan masa. Hal ini juga bukan hanya membabitkan diri sendiri, ia turut merangkumi pengorbanan terhadap orang yang disayangi.

Begitu juga dengan kisah Eja yang sering dipersoalkan mengenai kehidupan peribadinya, namun apa terjadi, alhamdulillah ia ditangani dengan baik oleh wanita kelahiran Petaling Jaya ini.

Kata Eja lagi, sebagai manusia biasa, dia pasti melakukan hijrah ke arah yang lebih baik daripada semalam.

“Apabila menjadi artis, korban hidup yang paling besar dihadapi ialah apabila privasi mula hilang. Setiap langkah kanan apabila keluar rumah, saya perlu berhati-hati dalam setiap tingkah bicara dan perbuatan. Setiap pandangan masyarakat terhadap kita harus diambil kira. Kalau buruk, kita cuba ubah dan jika baik serta diterima, alhamdulillah. Itulah bayaran yang harus diterima apabila bergelar selebriti.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak mampu lari daripada melakukan kesilapan. Namun, saya sentiasa berdoa supaya setiap doa dimakbulkan dan dosa serta khilaf diampuni. Dengan harapan kita akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Hijrah mencakupi banyak aspek, begitu juga halnya dengan soal keperibadian kita. Setiap kita mahu melakukan kebaikan dan kebajikan untuk diri dan orang lain.

“Pengalaman lalu sering mematangkan kita untuk terus melancarkan kehidupan. Kita bukan sempurna dan sentiasa ingin memperbaharui ke satu fasa demi fasa yang lebih molek. Hidup ini tidak perlu statik dan anjakan paradigma harus dilancarkan. Bermula daripada hati dan niat yang baik, insya-Allah iringi dengan usaha dan perbuatan yang positif,” ungkapnya bersungguh.

Menyambut raya korban di Selangor, seperti kebiasaan Eja dan keluarganya akan melakukan ibadat korban mengikut perkongsian beramai-ramai. Pertengahan Disember ini ketika Krismas hingga sambutan tahun baru, Eja akan bercuti ke luar negara.

Ketika ini juga, Eja sibuk terbabit dengan penggambaran Spa Q musim kedua sebagai Datuk Rohani. Ada beberapa babaknya juga membabitkan kemunculan Datuk Siti Nurhaliza sebagai cameo.

Kalau tiada aral melintang, 10 Disember ini, Eja akan terbabit dengan sebuah penggambaran telefilem. Dan seperti Aida, Eja juga akan menyudahkan baki penggambaran drama Tasbih Cinta di Malaysia. Episod satu hingga lima drama ini sudah dirakamkan di Tanah Suci Makkah. Dua filem lakonan Eja yang bakal ke pawagam 2009 ialah Janin dan Maut.

Mahu pelihara maruah keluarga

TAHUN ini, Fouziah beraya di Bangkok daripada 7 hingga 9 Disember untuk menyelesaikan urusan pembikinan filem terbarunya arahan Prof A Razak Mohaideen yang menggunakan isu kembar siam. Biarpun tidak dapat meluangkan hari mulia ini bersama keluarga tercinta, pintasnya, dia akan cuba meluangkan masa untuk keluarga pada hari lain. Fouziah juga bakal menyambut hari lahirnya yang ke-26 pada 11 Disember ini.

Seperti Eja dan Aida, Fouziah juga mengorbankan masa berkualiti untuk keluarga demi mencari rezeki yang halal. Ketika menjadi pramugari dulu, dia harus terbang jauh dari pandangan keluarga dan sangkanya apabila mula berlakon sepenuh masa, masa itu akan digunakan untuk bersama keluarga.

“Tetapi tidak, masa saya dengan keluarga juga agak terbatas, namun saya tidak menyesal kerana inilah namanya rezeki. Penat sekalipun balik daripada penggambaran, saya akan tetap berjumpa dengan mak, ayah dan adik beradik yang lain. Saya lebih rapat dengan emak kerana dia umpama kawan baik, manakala bapa tidak beberapa sihat sangat.

“Kepercayaan keluarga tidak sesekali saya calar. Setiap kali keluar rumah, saya akan pastikan diri ini tidak menyakiti hati mereka. Saya akan elak perkara yang boleh menjatuhkan nama keluarga. Saya melakukan ini bukan untuk orang lain, sebaliknya untuk diri dan keluarga.

“Saya juga semakin matang dan bersyukur setiap langkah saya sentiasa disokong ahli keluarga. Seperti orang lain, saya juga inginkan perubahan dalam hidup. Itu satu perkara normal dalam kehidupan,” katanya.

Jika tahun 2008 dianggap sebagai tahun memasar dan memperkenalkan dirinya, 2009 bakal menjadi saksi sebagai tahun untuk dia terus memperkukuhkan kerjaya. Niatnya murni hanya ingin membantu keluarga yang banyak berjasa di dalam hidupnya.

“Saya lebih bersyukur kini kehidupan saya lebih teratur. Paling penting, saya dapat berkongsi rezeki dengan keluarga terutama emak. Pengorbanan ibu saya tiada nilainya jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit. Inilah waktunya untuk saya membalas jasa dan budi mereka,” kata Fouziah yang sudah letih dan lali untuk menjelaskan bahawa antaranya dengan Iqram memang tiada apa-apa dan hanya kawan baik.

PROFIL : Eja
NAMA SEBENAR: Siti Shahrizah Saifuddin
NAMA KOMERSIAL: Eja
TARIKH LAHIR: 18 Januari 1972
ASAL: Petaling Jaya, Selangor.
STATUS: Pelakon.
DRAMA: Demi Rahsia, Tasbih Cinta, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Rindu Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Mya Zara, Seputih Qaseh Ramadan, Sadiq & Co dan Wadi Unung.
FILEM: Sara, Ana
k Mami The Movie, Bilut, Misi 1511, Kayangan, Maut, Sepi dan Janin.

PROFIL: Fouziah Gous
NAMA SEBENAR: Nor Fouziah Mohd Gous
NAMA PANGGILAN: Fouziah Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic
DRAMA: Demi, Sangga Saadah, Qa’naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Sutera Maya dan 3 Hero Pencen Dalam Kain Ketat Isabella.
FILEM: Bujang Senang, Otai, Sifu & Tongga, Maut, Rasukan Ablasa, Skrip 7707.
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene), ASK2007

INFO: Aida RadzwillNAMA PENUH: Khalidah Adibah AhmadNAMA KOMERSIAL: Aida Radzwill
TARIKH LAHIR: 11 Ogos 1957TEMPAT LAHIR: Negeri Sembilan

Penghargaan: Lokasi dan tajaan busana Aidiladha: Lynda Rahim, Kuala Lumpur, No 26, Jalan 1/1A, Taman Dagang, Ampang, Selangor (017-3227597).

Pakaian kasual hitam, Aida Radzwill: Hajaba (03-22875736)

Pakaian Eja: Khoon Hooi Star Hill, aksesori: Suhara Jewel, Bangsar Shopping Centre

Solekan Aida Radzwill (Wan Azlan, 017-2518270), Eja ( Bosco, 016-6091614) dan Fouziah Gous (Sheila, 017-6538413).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: