Bicara Canseleri: Industri Kreatif

2 Dec


KAMPUS LUCT di Cyberjaya turut melambangkan idea kreatif dan inovatif.

Tenaga kerja di Malaysia sangat kecil berbanding negara luar

IKUTI pandangan Presiden Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing mengenai industri kreatif di negara ini dan pentingnya inovasi dalam menjana ekonomi kepada wartawan Pendidikan Berita Harian, Basir Zahrom.

INDUSTRI kreatif kini didominasi negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, sekali gus mampu menghasilkan banyak karya kreatif untuk tujuan eksport termasuk muzik, filem, pendidikan, rekaan dan multimedia.

Malah, kebanyakan produk yang kita gunakan juga hasil inovasi negara berkenaan. Misalnya apabila menonton televisyen kita lihat hasil kerja mereka serta produk lain yang tidak perlu disenaraikan.

Industri ini sememangnya terbukti menguntungkan kerana ia juga membabitkan pengeluaran produk ke luar negara, namun hakikatnya, di negara ini, kita masih gemar dengan produk pinjaman seperti bangunan, rumah dan sebagainya yang mana tidak mendatangkan keuntungan terutama ketika kegawatan ekonomi, berbeza dengan harta intelek dan karya kreatif kerana kebolehpasarannya lebih tinggi.

Jadi, daripada hanya mempunyai seorang Siti Nurhaliza dan Mawi, kita perlu melahirkan seratus orang seperti mereka, begitu juga juga dengan hero tempatan dalam lakonan serta pemain badminton, kita perlu 20 atau 30 orang jaguh.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah bersama generasi Felda pertama yang menamatkan pengajian di LUCT, London, baru-baru ini.

Di negara ini kita mempunyai kelebihan kita boleh rekodkan pelbagai jenis muzik, Melayu, Cina, India, Arab, Etnik yang tidak banyak terdapat di negara lain misalnya di China mereka hanya menghasilkan karya orang Cina, begitu juga di India dan Jepun. Jadi kita mampu menghasilkan karya gabungan budaya dan mengeksportnya, namun kita tidak melakukannya.

Kekurangan sokongan juga menjadi faktor mengapa industri ini tidak begitu menyerlah di sini. Jika di Amerika Syarikat kita boleh membuat pinjaman kewangan dari bank untuk menghasilkan filem kerana segala peralatan yang baik, lokasi cantik, pelakon berbakat yang perlu dibayar, ia mengambil masa lama dan kos tinggi. Jadi tidak hairanlah negara maju mampu menghasilkan filem ‘Blockbuster’ dan kemudian mengeksportnya serata dunia.

Di sini pula kita melakukannya dengan pantas kerana tidak mahu dibebani kos. Oleh sebab itu, kita tidak mampu melatih tenaga kerja yang cukup bagus untuk bersaing dengan dengan negara luar. Jadi, kita masih membeli barangan import daripada mengeksport hasil kerja sendiri.

Persoalannya, adakah kita tidak mampu mengeksport? Jika tidak, bagaimana LUCT mampu berada di lapan negara? pelajar kami datang dari 140 negara, laman web kami menerima 60 juta pengunjung setahun dari 190 negara daripada 194 negara seluruh dunia, namun ada negara yang tidak mendapat isyarat internet, ini bermakna kami menarik minat seluruh dunia. Kami sudah berada di peringkat global dan masyarakat luar tertarik dengan Malaysia, cuma kita yang sering berfikir yang kita belum cukup bagus.

Dalam pendidikan pula, kita kurang memberi tumpuan kepada program industri kreatif hanya kami yang berdiri sebagai sebuah universiti dan Universiti Teknologi Mara yang mempunyai sebuah fakulti dan beberapa kolej lain yang memperkenalkan jurusan rekaan multimedia.

Kami meletakkan seluruh industri di LUCT daripada rakaman muzik, penulisan skrip, rekaan multimedia, laman web, fesyen dan graduan kami mendapat permintaan tinggi kerana jumlahnya yang kecil setiap tahun. Sepatutnya kita memperbanyakkan lagi program pendidikan kreatif kerana kita bagus dalam kerja kreatif seterusnya menjadi pusat pengeluar produk kreatif yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada negara.

Sebagai permulaan, kita perlu bermula sejak di bangku sekolah rendah, malah pada peringkat prasekolah. Orang Malaysia Kreatif, tetapi kebanyakan kita menumpukan hanya untuk lulus peperiksaan berbanding negara lain yang menggunakan kreativiti mereka secara maksimum.

Berbeza dengan menjawab kertas peperiksaan, dalam kerja kreatif kita mempunyai bukan satu tetapi banyak jawapan betul dan orang kreatif akan memikirkan banyak jalan penyelesaian.

Jika anda meminta saya mencipta satu rekaan, saya akan cipta 20 atau 30, kemudian anda pilih satu, itu adalah proses kreatif dan rekaan dipilih itu adalah yang terbaik berbanding hanya satu rekaan yang tidak dibezakan.

Namun, sebelum menjadi pengeluar kita perlu menjadi pusat kreativiti serta inovasi terlebih dulu dan negara akan memerlukan lebih ramai orang yang kreatif, jika kita mempunyai orang yang biasa saja di negara ini, kita tidak akan maju.

Orang kreatif suka bersaing dan sebarang negara yang tidak inovatif akan ketinggalan dan setiap tahun menjadi semakin miskin kerana mereka bergantung pada produk import manakala negara maju akan terus mengeksport.

Menjadi negara inovatif sangat penting, namun orang yang terbabit di dalamnya di negara kita sangat sedikit dan industri kreatif yang juga nadi kepada inovatif juga sangat kecil.

Cuba kita fikirkan fakta ini bersama, enam bilion orang berkongsi bumi ini, separuh daripadanya (tiga bilion orang) masih dibelenggu kemiskinan, 1.3 bilion hidup dengan makan kurang daripada sekali sehari, 1.3 bilion tidak mendapat bekalan air bersih, dua bilion tidak ada kemudahan elektrik, tiga bilion tidak mendapat akses sistem kebersihan, empat bilion tidak pernah mendengar dering dail telefon bimbit dan satu bilion buta huruf, lebih buruk lagi mereka tidak mampu membaca nama sendiri dan kelaparan membunuh 30,000 orang setiap hari.

Sekarang fikirkan cerita sebaliknya, hanya 0.1 peratus populasi dunia mengawal 25 peratus aset yang ada pada 2004, 100 jenama terlaris dunia meraih keuntungan lebih daripada keuntungan yang dicipta oleh kombinasi 100 negara termiskin dan 50 juta orang terkaya di Eropah dan Amerika Selatan mempunyai harta lebih daripada pendapatan tiga bilion rakyat negara membangun.

Jelas di sini bahawa inovasi yang lahir daripada industri kreatif membawa jurang cukup besar dalam negara kaya dan miskin. Inovasi dalam erti kata yang mudah bermakna bergerak ke depan, mencipta kemajuan dan membolehkan evolusi dan transformasi sebagai hasil penemuan yang meninggalkan cara lama dalam menghasilkan sesuatu. Ia adalah perubahan kepada sesuatu yang lebih baik.

Namun tahap inovasi kita sangat rendah, hak milik harta intelek dalam negara sendiri adalah lebih rendah dan di luar negara ia hampir tidak wujud. Pada 2002, hanya enam peratus daripada 4,000 pemohon paten di negara ini adalah orang Malaysia manakala selebihnya orang luar.

Jadi tidak seperti negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan Singapura, Malaysia tidak berdaftar untuk peta inovasi dunia. Inovasi penting untuk maju, namun kita sering kali mengulangi kesilapan sama dengan tidak begitu menghiraukannya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: